Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

K’jaan Perlu Jelaskan “Beberapa Persoalan” Berhubung Pendedahan Bekas Pengarah Perisikan Tentera

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengggesa Cawangan Khas (SB) PDRM untuk menyiasat dakwaan itu, yang berisiko mengancam keselamatan negara.

0 4,170

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan perlu tampil ke depan untuk menjelaskan beberapa persoalan berhubung pendedahan oleh bekas pegawai kanan perisikan tentera berkenaan tindakan “individu dan organisasi asing” memberi bantuan dan sokongan moral kepada ahli-ahli politik di Malaysia.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengggesa Cawangan Khas (SB) PDRM untuk menyiasat dakwaan itu, yang berisiko mengancam keselamatan negara.

Presiden Patriot Mohd Arshad Raji berkata, beberapa persoalan yang perlu dijelaskan termasuklah risiko terhadap keselamatan negara, perincian berkenaan aset dan wang tunai, pihak yang terlibat, serta sama ada dakwaan perhubungan itu adalah arahan daripada parti atau bukan.

“Ahli Patriot kekal komited dengan patriotisme dan keharmonian negara kerana ini adalah tonggak utama dalam misi dan perkhidmatan kita.

“Ada unsur keselamatan negara yang serius (dalam dakwaan itu), termasuk kebimbangan berkenaan kedaulatan negara, yang perlu dijaga oleh setiap warga pada setiap masa.

Patriot
Presiden Patriot Mohd Arshad Raji

 

“Patriot menggesa semua agensi keselamatan negara untuk bekerjasama dalam menangani perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail mendedahkan bahawa pihak perisikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai maklumat dan bukti-bukti yang kukuh tentang tindakan sesetengah ahli politik negara ini yang sering mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berpengaruh di luar negara terutamanya Amerika Syarikat.

Menurut beliau ahli-ahli politik tempatan itu juga menerima “bantuan dan sokongan moral” daripada pihak-pihak asing itu.

Bercakap dalam satu temuramah khas dengan akhbar tempatan, Mingguan Malaysia, beliau bagimanapun enggan mendedahkan identiti ahli-ahli politik tempatan itu yang terlibat dengan “kegiatan” itu.

“Saya mahu sebut pun susah (tertawa). Cukuplah setakat itu, tak perlu sebut. Cuma memang jelas, sewaktu dia berada di beberapa negara, kita juga buat pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya. Tapi kita tak tahu apa yang dibincangkan.”

“Tapi memang ada perjumpaan dengan beberapa orang yang mendapat sokongan secara moralnya dari luar negara,” kata beliau dalam temuramah itu.

Perisiakan
Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd Salleh Ismail.

 

Mohd Salleh berkata, perisikan tentera mempunyai maklumat dan bukti yang kukuh tentang pertemuan itu daripada tarikh pertemuan, lokasi serta identity pemimpin politik terbabit yang mengadakan pertemuan dengan pihak asing itu.

“Sewaktu dia berada di beberapa negara, kita buat pemantauan. Siapa yang dia jumpa dan sebagainya…” kata beliau.

Dalam pada itu, Arshad berkata sebagai veteran yang dulu berkhidmat dalam pasukan keselamatan, pihaknya sedar ada ahli politik yang berhubung dengan kakitangan kedutaan luar, sementara pihak perisikan tentera mengekalkan hubungan dengan tentera luar negara atas dasar perkongsian maklumat.

“Tetapi apa yang di luar kebiasaan adalah dakwaan (Mohd Salleh) bahawa ada ahli politik menerima dana tunai, aset fizikal dan sokongan moral daripada pihak luar yang tidak dinamakan.

“Apabila tawaran sebegitu diberikan kepada ahli politik, dan lebih-lebih lagi secara kerap, ada sebab untuk mempersoal jika ada sesuatu yang tidak betul berlaku antara ahli politik dan pihak luar itu,” katanya lagi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...