Kilang Peluru Automasi Tinggi Pertama Malaysia Beroperasi Kapasiti Penuh: Ketech Asia Hasilkan 130 Juta Peluru Setahun
Operasi penuh kilang peluru Ketech Asia di Kuala Lipis menandakan lonjakan kritikal ke arah kedaulatan bekalan peluru negara ketika konflik Rusia-Ukraine menggugat rantaian bekalan global.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak dirasmikan pada tahun lepas, kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia) di Kuala Lipis, Pahang kini beroperasi dalam keadaan kapasiti penuh.
Bercakap kepada Defence Security Asia baru-baru ini, Pengurus Pembangunan Perniagaan Ketech Asia Amer Hafeez berkata, kilang tersebut kini beroperasi untuk menghasilkan sebanyak 130 juta butir peluru-peluru kaliber 9mm dan 5.56mm setahun untuk pasaran tempatan.
“Sekarang kita sudah run at full capacity. Which is yearly capacity (kapasiti tahunan) around 130 million rounds. For combination of two calibers. 9mm and 5.56mm,” kata beliau tentang kilang peluru itu yang memiliki 120 pekerja warga tempatan sepenuhnya.

Kapasiti pengeluaran sebanyak 130 juta peluru setahun itu kata beliau, hanya mampu menampung kira-kira 10 peratus daripada keperluan peluru dalam negara yang dianggarkan sebanyak 1 billion peluru setahun.
Menurut Amer, kilang juga bercadang mengeluarkan peluru-peluru 7.62mm bagi kegunaan mesingan dan raifal sniper, sekaligus meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran tahunannya.
Selain itu terdapat juga potensi untuk menghasilkan peluru berkaliber 12.7mm, katanya.
Kilang peluru milik Ketech Asia itu menurut beliau berkemampuan menghasilkan di antara 230 juta hingga 300 juta peluru setahun bagi menampung keperluan pelanggan jika menggunakan tiga syif, tetapi ia turut bergantung kepada bekalan bahan-bahan mentah seperti Black Powder yang terpaksa diimport daripada luar negara, katanya.
Black powder penting dalam penghasilan peluru kerana ia berfungsi sebagai bahan pemacu (propellant) yang menghasilkan tenaga letupan terkawal untuk menolak projektil keluar dari laras senjata dengan kelajuan dan tekanan yang ditetapkan.
Apabila pencetus senjata ditekan, black powder yang dinyalakan oleh primer akan terbakar secara pantas dan konsisten, menghasilkan gas bertekanan tinggi yang menukar tenaga kimia kepada tenaga kinetik projektil.
Kualiti dan formulasi black powder menentukan kestabilan tekanan dalaman, yang secara langsung mempengaruhi ketepatan tembakan, kelajuan muncung (muzzle velocity), jarak efektif serta keselamatan senjata dan penembak.
Disebabkan keadaan geopolitik antarabangsa yang semakin celaru dengan konflik Rusia-Ukraine dan pertembungan kuasa besar dunia, bekalan bahan mentah bagi pembuatan peluru termasuk Black Powder adalah semakin tidak stabil.
Bekalan black powder menjadi sukar akibat konflik Rusia–Ukraine kerana perang berskala besar itu telah menyerap kapasiti pengeluaran bahan letupan dan propelan Eropah secara besar-besaran untuk memenuhi keperluan ketenteraan domestik dan sokongan kepada Ukraine.
Sejak perang tercetus, banyak negara pengeluar bahan kimia dan bahan letupan mengalihkan keutamaan pengeluaran mereka kepada stok strategik nasional, sekali gus mengurangkan atau membekukan eksport ke pasaran antarabangsa.

Konflik tersebut juga menyebabkan gangguan rantaian bekalan bahan mentah utama seperti potassium nitrate, sulfur dan arang berkualiti tinggi, yang digunakan dalam pembuatan black powder, akibat sekatan ekonomi, sekatan logistik dan kekangan pengangkutan.
Selain itu, lonjakan permintaan global terhadap peluru dan bahan propelan—bukan sahaja dari Ukraine tetapi juga negara NATO yang sedang mengisi semula stok—telah mewujudkan persaingan sengit untuk sumber yang terhad.
Dalam persekitaran geopolitik yang tegang ini, pengeluar black powder lebih cenderung mengikat kontrak jangka panjang dengan kerajaan sendiri atau sekutu strategik, menjadikan pembeli dari negara bukan konflik seperti Malaysia berdepan masa menunggu yang lebih panjang, kos lebih tinggi dan ketidakpastian bekalan.
Mengenai pasaran luar negara bagi peluru-peluru yang dihasilkan oleh kilang peluru milik Ketech Asia itu, buat masa ini kata beliau, fokus mereka adalah pasaran dalam negara walaupun menerima minat yang tinggi daripada pihak luar terhadap peluru-peluru keluaran mereka.
“Walaupun pihak-pihak luar menunjukkan minat yang tinggi terhadap peluru-peluru keluaran Ketech Asia, tetapi kita tumpukan kepada pasaran dalam negara, sebelum kita go for higher caliber (peluru),” kata Amer.
Selain itu katanya, syarikat juga berusaha untuk menguasai sepenuh jaringan eko-sistem penghasilan peluru supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar seperti penghasilan dalam negara Black Powder.
Pihaknya menurut beliau, sedang bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tempatan untuk menghasilkan Black Powder daripada hampas kelapa sawit dan ujian awalan telah diadakan yang menunjukkan potensi bahan itu tetapi kajian serta ujian lanjut perlu diadakan.
Kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia milik Ketech Asia, yang terletak di Kuala Lipis, Pahang telah dirasmikan Februari tahun lepas oleh Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kilang dengan keluasan 100 ekar ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Ketech Asia untuk memenuhi keperluan agensi pertahanan dan keselamatan negara.
Semasa majlis perasmian kilang itu tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Ketech Asia Mohd Nahar Nasir berkata kilang peluru Ketech Asia di Lipis, Pahang itu telah dibangunkan sejak 2022.

“Perasmian kilang ini bukan sahaja memperkukuhkan komitmen kami terhadap pembangunan industri pertahanan negara, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” kata beliau.
Dengan lebih sedekad pengalaman dalam industri pertahanan, Ketech Asia memberi tumpuan kepada pengeluaran peluru serta menyediakan penyelesaian senjata, aksesori, dan logistik kepada pelanggan.
Kilang yang mengeluarkan peluru pelbagai variasi untuk 9mm, 5.56mm dan 7.62mm ini dilengkapi dengan teknologi terkini dan kepakaran yang membolehkan syarikat ini menghasilkan produk peluru berkualiti tinggi.
Mohd Nahar berkata, misi Ketech Asia adalah untuk menjadi peneraju dan ikon teknologi ketenteraan ASEAN menjelang tahun 2030.
Sebagai sebuah syarikat industri pertahanan Malaysia, Ketech Asia menurutnya, turut menyediakan pelbagai produk senjata api, kelengkapan, dan aksesori berkualiti tinggi.
Kilang peluru automasi tinggi ini menggabungkan kemampuan pemprosesan yang canggih dan pengubahsuaian dalaman yang disesuaikan untuk menghasilkan produk berkualiti terbaik, menurut beliau.
“Kami komited untuk menetapkan penanda aras dalam pelbagai segmen industri dengan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi. Ketech Asia akan terus memperluaskan inventori senjata api dan menawarkan pelbagai kelengkapan serta aksesori yang pelbagai tanpa menjejaskan kualiti,” katanya.
Mohd Nahar berkata, perasmian kilang peluru automasi tinggi pertama Malaysia itu mencerminkan usaha berterusan Ketech Asia untuk menyokong pertahanan negara melalui teknologi yang inovatif dan komitmen terhadap pembangunan yang mampan.
Pembinaan peluru terbabit katanya,menyumbang kepada beberapa perkara secara tidak langsung seperti penglibatan secara terus bakat anak tempatan dalam proses pembuatan mengikut piawaian NATO melalui kolaborasi antara Ketech Asia Sdn Bhd dan Atesci dari Turkiye, yang melibatkan perkongsian pengetahuan dan ilmu dalam proses pengilangan peluru.
“Secara langsung dapat melatih anak tempatan secara mendalam di industri persenjataan, di mana Malaysia kekurangan tenaga mahir dan separa mahir yang khusus. Pada masa yang sama akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.”
Pengoperasian kilang peluru berkapasiti tinggi ini turut dilihat sebagai komponen kritikal kepada agenda kedaulatan pertahanan negara dalam mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan strategik ketika krisis keselamatan serantau atau global.
Keupayaan pengeluaran domestik berskala besar seperti ini memberi kelebihan strategik kepada Angkatan Tentera Malaysia dan agensi keselamatan dalam mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembekal luar.
Dalam konteks keselamatan serantau Asia Tenggara yang semakin kompleks, kehadiran kemudahan industri peluru tempatan berteknologi tinggi ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain industri pertahanan yang berdaya tahan dan berdikari.
Pelaburan berterusan Ketech Asia dalam automasi, pemindahan teknologi dan pembangunan sumber manusia tempatan juga selari dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem industri pertahanan yang mampan dan berorientasikan eksport pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, kejayaan operasi kilang ini bukan sahaja menyokong keperluan taktikal jangka pendek, tetapi turut meletakkan asas strategik jangka panjang bagi industri pertahanan Malaysia dalam landskap geopolitik global yang semakin tidak menentu.
Inisiatif pengeluaran peluru secara tempatan ini turut memperkukuh konsep “strategic stockpiling” negara dalam memastikan kesinambungan bekalan kritikal ketika sekatan eksport atau gangguan logistik antarabangsa.
Kebergantungan minimum kepada sumber luar dalam penghasilan amunisi asas memberi ruang kepada perancangan operasi ketenteraan yang lebih fleksibel dan berdaya tahan dalam senario konflik berpanjangan.
Pada masa sama, pembangunan keupayaan industri peluru tempatan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan rantaian industri sokongan termasuk metalurgi, bahan kimia khas dan kejuruteraan ketepatan tinggi.
Keupayaan Ketech Asia untuk menskalakan pengeluaran melalui sistem berbilang syif juga membuka ruang kepada Malaysia untuk bertindak balas dengan pantas terhadap lonjakan permintaan strategik pada masa hadapan.
Dalam jangka panjang, kewujudan fasiliti ini meletakkan asas penting kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab industri pertahanan serantau yang mampu memenuhi keperluan domestik serta pasaran terpilih antarabangsa.
— DEFENCE SECURITY ASIA
