Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat KF-21 Boramae Dilengkapi Radar AESA Berjaya Lakukan Penerbangan

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi perolehan pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), kejayaan penerbangan pertama pesawat KF-21 Boramae dengan radar AESA itu menunjukkan kemajuan dalam pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

0 3,638

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat generasi 4.5 buatan industri pertahanan Korea Selatan sendiri, KF-21 Boramae telah berjaya melakukan penerbangan ujian menggunakan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) keluaran tempatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi perolehan pertahanan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), kejayaan itu menunjukkan kemajuan dalam pembangunan pesawat pejuang itu.

Pesawat prototaip KF-21 yang ketiga berlepas  daripada Sacheon, kira-kira 300km daripada Seoul pada 10 pagi dan menyelesaikan penerbangan selama 84 minit, menurut DAPA.

DAPA memilih syarikat tempatan, Hanwha Systems untuk membangunkan radar AESA bagi pesawat KF-21.

Pada Ogos 2020, prototaip radar AESA bagi pesawat generasi 4.5 yang dipanggil “F-22 versi Asia”  itu telah didedahkan pada awam buat pertama kali.

KF-21
Pesawat prototaip KF-21 Boramae

 

Menurut Hanwha Systems, radar AESA bagi pesawat KF-21 itu disifatkan sebagai “mata dan otak pesawat” yang membolehkan ia “melihat” dengan lebih jauh segala bentuk ancaman yang mendatang.

“Radar AESA KF-21 adalah satu daripada sensor avionik yang paling penting yang melaksanakan pelbagai misi seperti pemantauan, pengesanan sasaran udara dan darat serta menghasilkan imej-imej video,” menurut syarikat Korea Selatan itu.

Selain membekalkan radar AESA untuk pesawat KF-21, Hanwha Systems juga menghasilkan sistem Electro Optical Targeting Pod, Infra Red Search and Track (IRST) dan Multi-Function Primary Cockpit Display.

Pihak DAPA menggunakan pesawat khas (test-bed aircraft) Boeing 737 untuk mengadakan ujian terhadap radar AESA yang dibangunkan oleh Hanhwa. 

Radar AESA bagi KF-21 itu direka untuk mengesan dan mengenalpasti pelbagai sasaran serentak pada tertentu (kemampuan sebenar masih dirahsiakan).

FA-50
Radar AESA yang dibangunkan oleh Hanwha Systems untuk pesawat KF-21 “Boramae.”

 

Pembangunan radar AESA bagi pesawat KF-21 itu merupakan cubaan kali pertama Korea Selatan terhadap pembuatan radar AESA yang kini merupakan komponen penting bagi pembinaan pesawat-pesawat termoden dunia.

Berbanding radar PESA (Passive Electronically Scanned Array), radar AESA mempunyai pelbagai kelebihan termasuk jarak pengesanan sasaran yang lebih jauh dan tepat walaupun sasaran itu bersaiz kecil,  sukar dikesan oleh musuh serta kemampuan ia untuk menahan daripada tindakan “jamming” oleh musuh.

Sebab itu, negara-negara di dunia  ini mahukan pesawat pejuang mereka dilengkapi dengan radar-radar AESA.

Bagaimanapun, untuk menghasilkan radar AESA adalah amat susah dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kemampuan untuk membangunkan radar AESA.

 Malah Russia juga dikatakan berhadapan dengan kesukaran untuk menghasilkan radar AESA.

AESA
Pesawat test-bed Boeing 737 yang digunakan untuk menguji radar AESA dibangunkan oleh Hanwha Systems.

 

Pesawat pejuang KF-21 Boramae yang dibangunkan oleh Korea Selatan dengan kos sebanyak US$6.67 bilion (RM26.7 bilion) telah melakukan penerbangan sulungnya pada Julai tahun lepas.

Penerbangan sulung pesawat prototaip KF-21 itu berlaku kira-kira tujuh tahun selepas program pembangunan pesawat itu bermula pada Disember 2015.

Penghantaran pertama pesawat KF-21 kepada Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) dijangka pada tahun 2026 menggantikan pesawat F-5 dan Phantom miliknya yang telah berusia.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat selepas itu.    

Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...