Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerajaan UAE Berminat Sertai Program Pembangunan Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye, KAAN

Kerajaan Turkiye dan Turkish Aeropsace Industries (TAI) sedang mencari rakan kongsi kepada program pembangunan pesawat pejuang KAAN itu, yang merupakan jawapan Ankara terhadap tindakan Amerika Syarikat mengeluarkannya daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 dan melarangnya daripada memiliki pesawat pejuang itu.

0 4,140
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Arab Saudi menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN, kini Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula menyatakan ia berminat untuk “melabur” dan menyertai program pembangunan pesawat pejuang itu.
Program pembangunan pesawat pejuang KAAN itu dilaksanakan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Semasa perbincangan peringkat tertinggi di antara kedua-dua pihak, pegawai-pegawai UAE telah menyatakan minat mereka terhadap KAAN dan menyatakan hasrat mereka untuk turut sama terlibat dengan program pembangunan pesawat pejuang itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TAI Mehmet Demiroglu kepada media baru-baru ini.
Dengan UAE telah menutup hasratnya untuk memiliki F-35, KAAN berkemungkinan adalah peluang tunggal negara Arab Teluk kaya-raya itu memiliki pesawat pejuang generasi kelima, kerana ia tidak akan membeli pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan China seperti J-35A atau buatan Russia, Su-57 Felon.
Kerajaan Turkiye dan TAI sedang mencari rakan kongsi kepada program pembangunan pesawat pejuang KAAN itu, yang merupakan jawapan Ankara terhadap tindakan Amerika Syarikat mengeluarkannya daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 dan melarangnya daripada memiliki pesawat pejuang itu.
Dibawah program pembangunan pesawat pejuang F-35, Turkiye yang menjadi rakan kongsi sepatutnya membeli 100 buah pesawat pejuang itu.
KAAN
Pesawat pejuang KAAN sedang menjalani ujian Afterburner.
Bagaimanapun berikutan tindakan Turkiye membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia, negara Mediterranean itu telah dikeluarkan daripada program pembangunan F-35 dan dilarang membeli pesawat pejuang itu.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh TAI itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye. 
Pada akhir tahun lepas,  Arab Saudi dilapor menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
KAAN
“KAAN”
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikatakan telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Lawatan Putera Turki ke Turkiye itu telah memberikan beliau dan delegasi Arab Saudi dengan maklumat terkini tentang kemampuan pesawat pejuang KAAN itu serta cadangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara berkenaan pesawat pejuang generasi kelima itu, “ menurut laporan media pertahanan antarabangsa.
Kerjasama itu berkemungkinan melibatkan pemindahan teknologi dan pembuatan pesawat pejuang generasi kelima itu dalam negara.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan Arab Saudi dan Turkiye mahu mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua kuasa serantau itu.
Bulan lepas, media melaporkan bahawa Turkiye dan Pakistan akan memperhebatkan lagi perbincangan tentang kerjasama di dalam bidang pertahanan dan teknologi termasuk potensi eksport pesawat pejuang generasi kelima KAAN dibangunkan oleh Ankara kepada  Islamabad.
KAAN
“KAAN”
Dua tahun lepas, Pakistan juga dilaporkan telah menyatakan bahawa beberapa sub-sistem yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima KAAN buatan Turkiye itu diperbuat di negara Asia Selatan itu.
Selain itu,  kemudahan pemasangan pesawat itu (production line) juga akan dibina di Pakistan, untuk menghasilkan pesawat KAAN yang bakal digunakan oleh tentera udara negara itu, sebagaimana didakwa oleh media negara itu.
Malaysia juga pernah ditawarkan oleh TAI untuk menjadi rakan kongsi program pembangunan pesawat pejuang KAAN.
Pada Mei 2024, Turkiye telah secara terbuka menawarkan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkannya kepada Malaysia, bagi membantu negara Asia Tenggara itu meningkatkan pertahanan udaranya.
Dalam temuramah bertulis dengan agensi berita nasional Malaysia, BERNAMA sempena DSA 2024,  Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Prof Haluk Gorgun berkata, Malaysia boleh mendapat akses kepada teknologi terkini dan kepakaran dalam bidang pertahanan dengan bergabung dengan Turkiye.
Gabungan di antara Malaysia dan Turkiye itu katanya, akan mempercepatkan keupayaan pertahanannya Malaysia dan menggalakkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan.
KAAN
“KAAN”.
“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia, sebuah negara sahabat dan bersaudara dalam projek pembangunan, termasuk projek ‘KAAN’ yang telah dimulakan oleh Turkiye. Kami juga terbuka untuk berkongsi pengalaman yang kami perolehi dari pesawat latihan asas generasi baru ‘HURKUS’ dan pesawat pejuang ringan ‘HURJET’ dengan Malaysia.”
“Turkiye pada masa sama boleh mendapat manfaat daripada sumbangan Malaysia dalam bidang seperti penyelidikan dan pembangunan, keupayaan pembuatan dan pengetahuan serantau,” katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap kesan positif kerjasama itu terhadap hubungan dua hala dan keselamatan serantau.”
Bagaimanapun sehingga kini tiada respons daripada kerajaan Malaysia.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.