Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perancis Mahu Kebenaran “Selidik” Perairan Filipina, Sebagai Pertukaran Kapal Selam

Menurut laporan oleh media online Filipina, Rappler, Perancis telah menawarkan kepada Manila untuk membangunkan dua buah kapal selam diesel-elektrik dipercayai daripada jenis "Scorpene" bagi digunakan oleh Tentera Lautnya.

0 3,026

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Perancis telah menawarkan dua buah kapal selam kepada Filipina sebagai “pertukaran” kepada kebenaran untuk menyelam dan menyelidik kawasan dasar perairan milik negara Asia Tenggara itu.

Menurut laporan oleh media online Filipina, Rappler, Perancis telah menawarkan kepada Manila untuk membangunkan dua buah kapal selam diesel-elektrik dipercayai daripada jenis “Scorpene” bagi digunakan oleh Tentera Lautnya.

“Perancis telah menawarkan kepada Filipina untuk membangunkan dua buah kapal selam berkuasa diesel-elektrik berdasarkan kepada rekabentuk dan standard NATO (North Altantic Treaty Organisation) sebagai pertukaran kepada kebenaran kepadanya untuk ‘menyelidik’ (explore) perairan berdaulat negara,” menurut media Filipina itu.

Tawaran daripada Paris itu hadir ketika Manila sedang berusaha untuk memodenkan angkatan tenteranya menerusi pembelian beberapa sistem persenjataan yang moden.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Filipina menyifatkan tawaran oleh Perancis itu sebagai “amat berat.”

Kapal selam
Kapal selam “Scorpene” Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

“Tawaran oleh Perancis itu adalah sukar kerana Filipina dan Perancis tidak mempunyai perjanjian pertahanan bersama. Ia perlu melalui proses perlembagaan. Kita tidak boleh melakukannya,” menurut pegawai kanan Jabatan Pertahanan Filipina itu.

Filipina berkongsi sempadan maritime dengan China di Laut China Selatan, yang merupakan lokasi ketegangan di antara dua negara membabitkan tuntutan bertindih beberapa terumbu karang dan ciri-ciri maritime.

China mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan itu sebagai miliknya termasuk perairan yang dimiliki oleh negara-negara serantau termasuk Filipina dan Malaysia.

Scorpene
Kapal selam TLDM terlibat dalam Latihan OSTEX East 1/22 baru-baru ini. (TLDM)

 

Tuntutan China terhadap sebahagian besar Laut China Selatan itu tidak pernah diperakui oleh mana-mana badan antarabangsa.

Sejak daripada tahun 2020, kerajaan Filipina dilaporkan bercadang untuk memperolehi dua buah kapal selam jenis “Scorpene” yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut memiliki dua buah kapal selam “Scorpene” KD Tun Abdul Razak dan KD Tunku Abdul Rahman yang ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Syarikat Naval Group juga telah membuka pejabatnya di Manila, sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk melobi Manila supaya memperolehi kapal selam daripada mereka.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Menurut syarikat Naval Group, syarikat itu sedang mengadakan perbincangan “intensif” dengan kerajaan Filipina tentang penjualan kapal selam.

Selain Naval Group yang menawarkan kapal selam “Scorpene”, syarikat DSME daripada Korea Selatan juga menawarkan kapal selamnya kepada tentera laut Filipina.

Menurut pemerhati pertahanan negara itu, walaupun kapal selam keluarkan syarikat DSME sebagaimana yang digunakan oleh tentera laut Indonesia adalah jauh lebih murah daripada segi kos tetapi mereka mahukan “Scorpene” yang lebih berkeupayaan. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments
Loading...