Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Kelas-Collins Milik Australia Berdepan Masalah Karat Yang Serius

Pegawai-pegawai daripada ASC (dahulu dikenali sebagai Australia Submarine Corporation) mengesahkan bahawa tiga daripada enam buah kapal selam itu berada di limbungan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang mendesak, bermakna hanya tiga kapal selam kelas-Collins milik Australia itu boleh beroperasi pada ketika ini.

0 2,475

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga daripada enam buah kapal selam kelas-Collins milik Tentera Laut Australia tidak akan dapat beroperasi untuk sepanjang tahun ini selepas masalah karat (corrosion) yang serius dikesan pada kapal-kapal selam utama negara itu.

Pegawai-pegawai daripada ASC (dahulu dikenali sebagai Australia Submarine Corporation) mengesahkan bahawa tiga daripada enam buah kapal selam itu berada di limbungan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang mendesak.

Ini bermakna hanya tiga kapal selam kelas-Collins milik Australia itu boleh beroperasi pada ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ASC Stuart Whiley ketika memberikan penerangan kepada Senat negara itu bahawa jurutera mengesan kerosakan akibat masalah karat yang serius di kapal selam kelas-Collins itu, HMAS Sheean ketika ia menjalani kerja-kerja penyelenggaran di limbungan kapal.

Akibat daripada penemuan masalah kekaratan yang serius itu, maka kapal selam terbabit terpaksa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sehingga akhir tahun ini.

“Kelewatan  dalam penyelenggaraan kapal selam itu adalah disebabkan usaha-usaha memulihara badan kapal selam (daripada pelbagai isu dan masalah),” menurut beliau sambile menambah bahawa mereka terpaksa memperbaiki segala masalah kekaratan itu.

Collins
‘Kapal selam kelas-Collins Tentera Laut Australia

 

Menurutnya, tempat-tempat di mana pekerja terpaksa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan daripada masalah kekaratan itu terletak di kawasan yang sukar.

Semasa kerja-kerja penyelenggaraan kapal selam kelas-Collins HMAS Sheean yang mengalami masalah kekaratan dilakukan di Limbungan Kapal Osborne di Adelaide, pihak pengendali kapal selam juga menemui masalah yang sama pada sebuah lagi kapal selam, HMAS Farncomb yang berada di limbungan kapal Henderson di Barat Australia.

“Terdapat beberapa masalah karat pada kapal selam HMAS Farncomb yang mereka tidak lama pernah lihat sebelum ini.”

Pada masa yang sama, sebuah lagi kapal selam HMAS Rankin juga diselenggara di Limbungan Kapal Osborne, bermakna buat pertama kali tiga buah kapal selam kelas-Collins negara itu tidak dapat digunakan pada satu-satu masa sejak tahun 2012.

Australia dijangka akan terus menggunakan kapal selam kelas-Collins sehingga pada pertengahan tahun 2030-an sebelum ia secara berperingkat menggantikannya dengan kapal selam berkuasa nuklear terpakai kelas-Virginia yang diperolehinya daripada Amerika Syarikat di bawah perjanjian ketenteraan AUKUS (Australia, United Kingdom, United States).

Dalam usaha untuk mempertahankan program perolehan kapal selam berkuasa nuklear di bawah AUKUS, Panglima Angkatan Tentera Australia Jeneral Angus Campbell pada Mei lalu menyifatkan kapal selam kelas-Collins dioperasi oleh tentera laut negara itu sendiri sebagai “kapal selam paling teruk di planet.”

Kapal Selam
KD Tun Razak (paling dekat) dengan kapal selam kelas-Collins Tentera Laut Australia, HMAS Collins. (RMN Subs)

 

Beliau yang akan bersara tidak lama lagi, memberikan ucapan berapi-api bagi mematahkan segala kritikan daripada dalam negara yang menolak keputusan Australia untuk memperolehi tiga buah kapal selam terpakai kelas-Virginia berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat.

Selain memperolehi kapal selam berkuasa nuklear terpakai daripada Amerika Syarikat, Australia juga akan membina kapal-kapal selam berkuasa nuklear menggunakan teknologi Britain.

“Masuk di dalam gelanggang, mulakan,kerana kami akan memberikan kemampuan kapal selam berkuasa nuklear kepada negara ini (Australia) dan ia menjadi satu program (perolehan kapal selam berkuasa nuklear) yang amat menakjubkan,” kata beliau.

Panglima Angkatan Tentera Australia itu menyatakan telah banyak kali rakyat Australia meramalkan bahawa projek-projek utama di negara itu akan gagal tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Saya meminta anda semua supaya melihat kembali dimana rakyat Australia kecewa dengan mereka senditi dan menyatakan jambatan Sydney Harbour akan jatuh di dalam laut, Sydney Opera House tidak akan menjad rumah opera teragung di dunia dan skim hidro Gunung Snowy akan gagal. Kapal selam kelas-Collins – adalah kapal selam paling teruk di dalam planet,” kata Angus.

Pengkritik tindakan Australia memperolehi  kapal selam berkuasa nuklear di bawah Aukus memberi alasan bahawa program itu terlalu mahal kerana ia akan menelan belanja keseluruhan sebanyak US$243 bilion (RM1.1 trillion) dan negara itu terpaksa menunggu sehingga 2032 sebelum negara itu menerima tiga kapal selam berkuasa nuklear terpakai daripada Amerika Syarikat.

 

Sejak 1996, Tentera Laut Australia mengoperasikan enam buah kapal selam diesel elektrik kelas-Collins yang berpangkalan di Fleet Base West di Australia Barat.

Kapal-kapal selam kelas-Collins seberat 3,100 tan (surfaced) dan 3,400 (dived) itu berkemampuan beroperasi sehingga 11,500 batu nautika (surfaced), 9,000 batu nautika (snorting) dan menyelam sehingga ke kedalaman 400 meter di bawah permukaan air.

Dengan kelajuan 20 knot, kapal-kapal kelas-Collins itu dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu “Harpoon Block 1B” dan juga torpedo.

Tahun lepas selepas menandatangani perjanjian keselamatan dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS),  Australia mengumumkan ia akan memperolehi lima buah kapal selam berkuasa nuklear daripada Amerika Syarikat sekitar tahun 2030-an.

Tiga daripada lima buah kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat yang akan dijual kepada Australia sekitar 2030 an adalah daripada kelas-Virginia, manakala kelas dua lagi buah kapal selam berkuasa nuklear itu belum lagi ditentukan. — DSA

 

 

Comments
Loading...