Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengawal Pantai China “Monster” Kembali Meronda Perairan ZEE Malaysia?

“Kedua-dua kapal Pengawal Pantai China 5403 dan CCG 5901 telah melaksanakan rondaan menceroboh di lapangan-lapangan minyak dan gas milik Vietnam, Indonesia dan Malaysia untuk tempoh lebih daripada sebulan,” kata Powell menerusi akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) miliknya di @GordionKnotRay.

0 1,123

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak sebulan yang lepas, dua buah kapal pengawal pantai China dilaporkan telah “berlegar-legar” di perairan Laut China Selatan melakukan rondaan di lapangan-lapangan gas dan minyak milik Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Penyelidik antarabangsa, Ray Powell yang menyatakan perkara itu berkata, salah sebuah daripada kapal itu dikenalpasti adalah CCG 5901 yang juga dikenali sebagai “Monster” kerana saiznya yang diibaratkan seperti gergasi.

“Kedua-dua kapal Pengawal Pantai China 5403 dan CCG 5901 telah melaksanakan rondaan menceroboh di lapangan-lapangan minyak dan gas milik Vietnam, Indonesia dan Malaysia untuk tempoh lebih daripada sebulan,” kata Powell menerusi akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) miliknya di @GordionKnotRay.

Beliau berkata, kapal pengawal pantai China “Monster” itu kerap kali mematikan sistem AIS (Automatic Identification System) apabila ia memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sesebuah negara bagi memastikan kedudukannya tidak boleh dikesan oleh pihak-pihak awam.

Sehingga kini tiada kenyataan rasmi daripada berkuasa maritim tempatan tentang dakwan oleh Powell, seorang penyelidik antarabangsa yang memfokuskan usahanya terhadap aktiviti-aktiviti “Gray Zone” yang dilakukan oleh kapal-kapal pengawal pantai China di Laut China Selatan.

Monster
(kredit @GordionKnotRay)

 

Pada akhir Februari lepas, Kementerian Luar Vietnam “membantah keras” kehadiran “Monster” yang melanggar kedaulatannya di bawah UNCLOS (United Nations Convention on the Law of the Sea) di Vanguard Bank.

Kapal pengawal pantai China “Monster” itu tidak asing kepada pihak berkuasa Malaysia kerana tindakannya yang kerap kali menceroboh perairan ZEE Malaysia terutamanya berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

China memiliki dua buah “Monster” dalam armada kapal-kapal pengawal pantainya.

“Monster”  adalah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou yang masing-masing memiliki berat 12,000 tan.

Dibina oleh Limbungan Kapal Jiangnan di Shanghai,  kedua-dua buah “Monster” itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan.

Sebelum ini, kapal pengawal pantai terbesar China adalah sekitar 4,000 tan, tetapi kewujudan “Monster” sememangnya adalah lonjakan kuasa bagi angkatan pengawal pantai negara negara itu dalam mengukuhkan lagi tuntutan “tidak lojiknya” terhadap lebih daripada 80 peratus  Laut China Selatan.

Monster

Menurut media-media China, rancangan membina dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou atau “Monster” itu bermula pada tahun 2012, beberapa tahun sebelum pasukan Pengawal Pantai China itu ditubuhkan di bawah State Oceanic Administration (SOA) negara itu.

Kewujudan kapal-kapal pengawal pantai gergasi milik China itu disedari apabila syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) yang merupakan pemilik kepada Limbungan Kapal Jiangnan mengumumkan pada 2013 ia telah dianugerahkan kontrak untuk membina kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu.

Kapal pertama “Monster” telah siap dibina pada tahun 2014 dan setahun selepas itu pada Mac 2015 ia telah berjaya melakukan pelayarannya yang pertama ke Laut China Timur (East China Sea).

Kapal kedua “Monster” itu pula telah siap dibina pada 2016 di Limbungan Kapal Jiangnan dan setahun selepas itu telah memulakan pelayaran pertamanya ke Laut China Selatan.

Dengan berat 12,000 tan, ia jauh meninggalkan kapal-kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dan cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat yang beratnya di antara 7,000 tan hingga 9,000 tan.

Saiznya yang besar itu membolehkan “Monster” membawa lebih banyak bekalan yang lebih untuk ia kekal beroperasi di lautan lebih lama.

The Monster
“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901 sering menceroboh kawasan EEZ Malaysia.

 

Kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu aka “Monster” itu dilengkapi dengan meriam utama 76mm, dua buah meriam 30mm dan dua buah mesingan anti-pesawat, selain dua buah helikopter Z-8 (sebuah di dek dan sebuah lagi di dalam hangar) dan beberapa pesawat tanpa pemandu (UAV) dan UUV (Unmanned Underwater Vehicle).

Dengan enjin yang dibekalkan oleh MAN (sebelum Kesatuan Eropah mengenakan sekatan), kapal pengawal pantai terbesar dunia itu berkemampuan belayar selaju 25 knot dengan jarak operasinya adalah diantara 10,000 batu nautika hingga 15,000 batu nautika.

Disebabkan saiz yang amat besar untuk kapal pengawal pantai, maka kehadiran “The Monster” di mana-mana perairan termasuk Laut China Selatan sentiasa menarik perhatian ramai, sebagaimana yang berlaku baru-baru apabila berada di dalam perairan ZEE Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali.

Oleh kerana saiznya yang amat besar, maka kehadirannya memang “menggentarkan” banyak pihak terutamanya kapal-kapal pengawal pantai negara lain yang boleh diibaratkan sebagai “ikan bilis” jika dibandingkan dengan saiz kedua-dua kapal kelas-Zhaotou itu. — DSA

Iklan

 

Comments
Loading...