Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-Kapal Perang British, AS, Belanda Mula “Berkumpul” Di Laut China Selatan

Setakat ini tiada lagi maklumat mengatakan tentang kehadiran kapal-kapal perang China berhampiran, tetapi admin menjangkakan Beijing semestinya akan menghantar kapalnya untuk memerhati daripada jauh operasi HMS Queen Elizabeth dan CSG21 di Laut China Selatan.

0 3,912

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat Tentera Laut British, HMS Queen Elizabeth dan Carrier Strike Group 2021 kini telah pun berada di Laut China Selatan, yang 90 peratus daripadanya didakwa oleh Beijing sebagai miliknya.

Setakat ini tiada lagi maklumat mengatakan tentang kehadiran kapal-kapal perang China berhampiran, tetapi admin menjangkakan Beijing semestinya akan menghantar kapalnya untuk memerhati daripada jauh operasi HMS Queen Elizabeth dan CSG21 di Laut China Selatan.

Pesawat-pesawat F-35B Lightning yang berada di dek kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth telah pun memulakan latihan perlepasan dan pendaratan daripada kapal seberat 65,000 tan di Laut China Selatan.

Pesawat-pesawat itu adalah milik Skuadron 22, Kor Marine Amerika Syarikat yang beroperasi daripada atas dek kapal HMS Queen Elizabeth.

Pihak tentera laut Amerika Syarikat telah mengeluarkan gambar-gambar pesawat F-35B itu berlepas dan mendarat daripada kapal pengangkut pesawat British itu, tetapi tidak mendedahkan lokasi latihan itu dilakukan di Laut China Selatan.

HMS Queen Elizabeth

Bagaimanapun, kapal-kapal perang lain daripada CSG21 dipercayai berada berhampiran memberikan bantuan dan kawalan keselamatan kepada HMS Queen Elizabeth daripada sebarang gangguan oleh mana-mana pihak.

Untuk memastikan HMS Queen Elizabeth kekal bebas daripada sebarang gangguan dalam pelayarannya daripada United Kingdom ke Jepun, ia diiringi oleh beberapa kapal seperti destroyer USS The Sullivans dan HMS Defender, friget HMS Kent dan HMS Richmond serta HNLMS Evertesen.

Selain kapal pengangkut pesawat British itu turut diiringi oleh kapal selam berkuasa nuklear kelas-Astute, HMS Artful.

Dua buah kapal perang Amerika Syarikat, USS Pinckney dan USS Benfold turut berada di Laut China Selatan pada ketika ini.

HMS Queen Elizabeth

Dalam masa beberapa hari, kehadiran HMS Queen Elizabeth dan CSG21 itu akan turut disertai oleh kapal-kapal perang daripada Korea Selatan, Jepun , Australia untuk latihan bersama di Laut Filipina.

Sementara itu,Britain setakat ini, tidak menyatakan sama ada HMS Queen Elizabeth atau mana-mana kapal CSG21 akan belayar hampir dengan “pulau-pulau buatan manusia” yang diduduki secara haram oleh China di Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel.

Jika Britain bertindak mengerah kapal-kapal perangnya daripada CSG21 berlayar dekat dengan “pulau-pulau buatan manusia” di Laut China Selatan, ia sudah tentu akan mempelawa reaksi balas daripada China.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...