Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jangan Biarkan Singapura Tambak Batu Puteh – Pakar Undang-Undang Maritim Universiti

Pakar undang-undang maritim antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, berkata jika Singapura berterusan menambak Batu Puteh, dikhuatiri lama-kelamaan ia menjadi sebuah pulau yang menepati takrifan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC).

0 1,699

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia tidak boleh membiarkan Singapura melakukan aktiviti menambak tanah di sekitar Batu Puteh atau Pedra Branca selagi kedua-dua negara tidak memuktamadkan garis sempadan maritim di perairan itu.

Pakar undang-undang maritim antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, berkata jika Singapura berterusan menambak Batu Puteh, dikhuatiri lama-kelamaan ia menjadi sebuah pulau yang menepati takrifan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC).

Berdasarkan Artikel 121 (1) LOSC, sesebuah negara pesisir yang memiliki pulau boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika.

Pada masa kini, katanya, Batu Puteh hanya berstatus batu maritim dan berdasarkan Artikel 121 (3), negara jiran itu boleh menuntut hak wilayah laut sejauh 12 batu nautika saja.

“Saya khuatir jika kita tidak membantah dan Singapura terus menambak tanah di sekitar Batu Puteh, lama-kelamaan ia menjadi sebuah pulau.

“Apabila perkara ini terjadi, Singapura boleh menuntut hak EEZ bagi tujuan perikanan dan hak pelantar benua sehingga 200 batu nautika atau kira-kira 300 kilometer iaitu bersamaan jarak Pulau Pinang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada akhbar tempatan, Berita Harian

Fiery Cross
Dua gambar berbeza Terumbu Karang, “Fiery Cross Reef” di Kepulauan Spratly sebelum ditambak oleh China dan selepas ditambak.

.

Singapura sebelum ini dilaporkan, akan mula menambak tanah di sekitar Batu Puteh bagi menambah baik kemudahan di situ akhir tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Negara (MND), ia juga bagi membolehkan kapal berlabuh, selain menyediakan kemudahan logistik sokongan pentadbiran dan komunikasi tambahan.

Pertikaian mengenai kedaulatan ke atas Batu Puteh bermula pada 1979 dan hanya berakhir pada 23 Mei 2008 apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan berdasarkan bukti yang dikemukakan kepadanya, kedaulatan ke atas batu maritim itu sudah berpindah ke Singapura pada 1980.

Bagaimanapun, ICJ memutuskan kedaulatan ke atas Batuan Tengah, masih hak mutlak Malaysia, manakala Tubir Selatan akan ditentukan kedua-dua negara dalam rundingan berhubung sempadan perairan masing-masing.

Mohd Hazmi, berkata sekiranya sempadan maritim wujud apa juga aktiviti penambakan tidak menjadi masalah kerana kedua-dua negara sudah mengetahui hak masing-masing.

Beliau memberikan contoh Selat Johor yang dimuktamadkan sempadan maritimnya pada 1995.

Batu Puteh
Jarak di antara Batu Puteh milik Singapura dan Middle Rocks milik Malaysia.

 

“Di Selat Johor antara Johor Bahru dan Woodlands, di situ banyak kawasan laut ditambak bukan saja di pihak Singapura bahkan Malaysia.

“Tetapi, di Selat Johor tiada masalah untuk kita tambak kerana ada sempadan maritim yang jelas, kedua-dua pihak tahu sempadan di mana, tetapi di Batu Puteh, sempadan itu belum ada,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hazmi turut melahirkan rasa pelik kerana kedua-dua negara mengambil tempoh yang sangat lama untuk memuktamadkan sempadan maritim di Batu Puteh selepas ICJ membuat keputusan pada 2008.

“Kali terakhir Singapura dan Malaysia berbincang untuk menetapkan sempadan maritim di kawasan itu adalah pada Januari tahun lalu, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Selepas kita dapat keputusan ICJ pada 2008, sepatutnya apa yang Malaysia dan Singapura buat adalah menentukan sempadan maritim secepat mungkin, malangnya sehingga sekarang sempadan itu belum wujud,” katanya.

— BERITA HARIAN

Comments
Loading...