J-10C Pakistan Tembak Jatuh Pesawat Pejuang Rafale India Daripada Jarak Sejauh 182km ???
Sumber pertahanan Pakistan itu juga mendakwa bahawa jarak penembakan jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India sejauh 182 km itu adalah “paling jauh dalam sejarah aeroangkasa”, tetapi tidak memberikan sebarang sumber kepada dakwaanya itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Salah sebuah pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India daripada jarak sejauh 182 km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15, menurut sumber yang dipetik oleh wartawan pertahanan Pakistan.
Beliau juga mendakwa bahawa jarak penembakan jatuh pesawat pejuang Tentera Udara India sejauh 182 km itu adalah “paling jauh dalam sejarah aeroangkasa”, tetapi tidak memberikan sebarang sumber kepada dakwaanya itu.
Sebelum ini, terdapat laporan pesawat pejuang Su-35S Russia telah menembak jatuh pesawat pejuang MiG-29 Ukraine pada jarak sejauh 213 km menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh hypersonik R-37M yang dikatakan mampu membedil sasaran sejauh 400km.
Dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Sementara itu, pesawat pejuang J-10C milik Pakistan itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG).
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dipercayai masih berada di dalam ruang udara negara itu ketika ia bertindak melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India ketika hari-hari pertama konflik di antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu.
Pertembungan di antara pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India dan Tentera Udara Pakistan pada hari-hari pertama konflik Pakistan-India itu disifatkan oleh pemerhati sebagai “pertempuran udara terbesar dalam sejarah” melibatkan 125 buah pesawat pejuang daripada kedua-dua negara.

Stesen televisyen terkenal Amerika Syarikat, CNN menyatakan pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu berlaku walaupun pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan berada di dalam ruang udara masing-masing.
“Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara bertempur di ruang udara pada jarak 160km, dengan pesawat-pesawat pejuang India dan Pakistan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara terhadap masing-masing,” menurut sumber keselamatan Pakistan yang dipetik oleh CNN.
Pesawat-pesawat pejuang kedua-dua negara itu bertempur di dalam keadaan Beyond Visual Range (BVR), dengan bergantung kepada radar AESA masing-masing dan peluru berpandu udara-ke-udara masing –masing.
Pada hari-hari awal konflik dengan India itu, Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar menyatakan kepada media bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan telah berhadapan dengan sekurang-kurangnya 75 hingga 80 buah pesawat pejuang India pada pertempuran udara terbesar dalam sejarah itu.
“Dan kami telah berjaya menembak jatuh lima daripada pesawat-pesawat pejuang India itu,” kata beliau.
Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang Pakistan termasuk J-10C dan JF-17 “Thunder” hanya dibekalkan dengan varian eksport peluru berpandu PL-15 yang dikenali sebagai PL-15E yang mempunyai jarak bedilan terhad sejauh 140 km.

Bagaimanapun, sekiranya dakwaan wartawan pertahanan Pakistan itu benar, maka China telah membekalkan Pakistan dengan varian tempatan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 yang mempunyai jarak bedilan sehingga sejauh 300 km, sebagaimana yang didakwa oleh sumber-sumber pertahanan dalam Pakistan sebelum ini.
Varian tempatan PL-15 itu digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China termasuk pesawat pejuang generasi kelima milikinya J-20 “Mighty Dragon”, walaupun laporan menyatakan bahawa J-20 milik China itu sudah mula dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara lebih moden dikenali sebagai PL-17.
Jarak bedilan peluru berpandu udara-ke-udara adalah sejauh 400 km.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa China telah mempercepatkan penghantaran peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 kepada Pakistan, bagi membolehkan negara sekutu Asia Selatannya itu berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang India seperti Rafale dan Su-30MKI.
Ia adalah respons China terhadap ketegangan yang semakin memuncak dalam hubungan di antara Islamabad dan New Delhi, sejurus selepas insiden yang berlaku di Pahalgam, yang terletak di wilayah Jammu dan Kashmir.
Beberapa hari lalu, Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 itu memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dakwaan Pakistan menembak jatuh kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India itu turut disokong oleh pegawai-pegawai Amerika Syarikat dan Perancis.
“Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan bertanggungjawab menembak jatuh sekurang-kurangnya dua buah pesawat pejuang Tentera Udara India,” menurut pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat kepada agensi berita antarabangsa Reuters.
Kelima-lima pesawat pejuang India itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E yang berkeupayaan membedil sasaran sejauh 145km.
Wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.

Ia merupakan pesawat pejuang Rafale pertama yang ditembak jatuh dalam mana-mana konflik di seluruh dunia setakat ini, kata pegawai berkenaan.
Walaupun berhadapan dengan semakin banyak bukti-bukti yang sukar disangkal, namun tentera dan kerajaan India masih enggan mengakui ia kehilangan lima buah pesawat pejuangnya termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale buatan Perancis akibat ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Ketika ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya, Pegawai kanan Tentera Udara India Air Marshal A.K Bharti hanya berkata, “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (losses) adalah sebahagian daripada pertempuran”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut tentangnya.
Bagaimanapun bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dua lagi pesawat pejuang India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.
Tentera Udara Pakistan telah menerima pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
