Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Iran Dedah Sistem Pertahanan Anti-Peluru Berpandu Ballistik “Arman”

(VIDEO) Iran telah mendedahkan sistem pertahanan anti-peluru berpandu ballistik terbarunya dinamakan “Arman” dan sistem pertahanan udara jarak dekat “Azarakhsh”, pada ketika Amerika Syarikat melakukan serangan-serangan udara terhadap kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran di rantau itu.

0 1,988

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran telah mendedahkan sistem pertahanan anti-peluru berpandu ballistik terbarunya dinamakan “Arman” dan sistem pertahanan udara jarak dekat “Azarakhsh”, pada ketika Amerika Syarikat melakukan serangan-serangan udara terhadap kumpulan-kumpulan bersenjata pro-Iran di rantau itu.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, pengenalan sistem pertahanan udara terbaru itu dilakukan di hadapan Menteri Pertahanan Iran Brig Jen Mohammad Reza Ashtiani.

“Dengan kemasukan kedua-dua sistem ini ke dalam jaringan sistem pertahanan udara, kemampuan sistem pertahanan udara akan dipertingkatan secara keseluruhannya, “ kata beliau pada majlis mendedahkan kedua-dua sistem pertahanan udara terbaru Iran itu.

Beliau berkata, sistem pertahanan udara anti-peluru berpandu ballistik “Arman” itu berkemampuan menangani enam sasaran pada jarak di antara 120km hingga 180km.

Manakala sistem pertahanan udara jarak dekat “Azarakhsh” pula boleh mengesan dan memusnahkan sasaran sehingga ke 50km jauhnya dengan empat butir peluru berpandu yang dibawa oleh kenderaan pelancarnya.

Sistem pertahanan anti-peluru berpandu ballistik “Arman” itu mempunyai dua varian, satu menggunakan X-band radar PESA manakala satu lagi varian pula menggunakan radar S-band AESA.

Pemerhati tentera menyatakan bahawa peluru berpandu bagi sistem pertahanan anti-peluru berpandu “Arman” itu adalah peluru berpandu taktikal dinamakan “Sayyad”, namun kenyataan itu tidak mendapat reaksi daripada pemimpin tentera Iran.

Pendedahan kedua-dua sistem pertahanan udara terbaru Iran itu berlaku ketika pesawat-pesawat pejuang Amerika melancarkan serangan-serangan udara terhadap kedudukan kumpulan-kumpulan pro-Iran yang dipercayai bertanggungjawab terhadap insiden serangan di kem tentera Amerika di Jordan yang mengorbankan tiga anggota tentera negara itu.

Arman
Arman
Azaraksh
Sistem pertahanan udara jarak dekat “Azarakhsh”

 

Selain itu pesawat-pesawat pejuang Amerika dan negara-negara sekutunya turut melancarkan serangan terhadap kedudukan kumpulan bersenjata Houthi di Yemen yang melakukan serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui perairan Laut Merah menuju ke Israel.

Serangan oleh kumpulan bersenjata Houthi itu dilakukan sebagai solidariti terhadap pejuang-pejuang Palestin dalam berhadapan dengan pencerobohan dan kekejaman tentera Israel sejak 7 Oktober tahun lepas,

Pada Jun tahun lepas, Iran telah mendedahkan peluru berpandu hypersoniknya yang pertama dinamakan “Fattah” yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,400km jauhnya.

Teheran mendakwa bahawa peluru berpandu ballistiknya adalah sebagai deterren dan untuk membalas sebarang serangan berpotensi terhadap Amerika Syarikat, Israel dan sebarang musuhnya. — DSA

Notis

Comments
Loading...