Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Darat Iran Lancar Latihan Perang Besar-Besaran “Eqtedar 1402”

Salah seorang komander tentera darat Iran memberitahu media negara itu bahawa latihan perang "Eqtedar 1402" itu diadakan untuk menguji reaksi tentera negara itu terhadap segala ancaman berpotensi dihadapinya ketika ketegangan di seluruh rantau itu meningkat akibat konflik di antara Israel dan Palestin.

0 1,328

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selari dengan peningkatan risiko merebaknya konflik di antara Israel dan Palestin ke seluruh rantau Timur Tengah, tentera darat Iran telah melancarkan latihan perang besar-besaran selama dua hari membabitkan pelbagai aset daratnya.

Dilaksanakan di wilayah tengah Iran, latihan perang besar-besaran itu dipanggil “Eqtedar (Power) 1402.”

Latihan perang selama dua hari itu melibatkan kesemua unit tentera darat Iran dan diadakan di Wilayah Isfahan.

Salah seorang komander tentera darat Iran Brig Jen Karim Chesnak memberitahu media negara itu bahawa latihan perang itu diadakan bertujuan menguji reaksi tentera negara itu terhadap segala ancaman berpotensi dihadapi olehnya ketika ketegangan di seluruh rantau itu meningkat akibat konflik di antara Israel dan Palestin.

Pada fasa utama latihan perang itu hari ini, unit-unit tentera darat Iran meliputi kira-kira 200 buah helikopter telah melancarkan pelbagai jenis peluru berpandu yang telah dipertingkatkan kemampuannya seperti “Shafaq”, “Almas” dan “Dehlaviyeh”.

Iran
Pelancaran dron-dron berani mati pada latihan perang “Eqtedar 1402”

 

Ketiga-tiga peluru berpandu itu berkeupayaan membedil sasarannya sehingga ke jarak daripada 8km sehingga ke 20km.

Peluru berpandu anti-kereta kebal berkembar “Dehlaviyeh” telah pun dipasang pada kenderaan berperisai M113 buatan Amerika Syarikat yang diwarisi oleh tentera darat Iran daripada zaman pemerintahan Shah Iran.

Pakar-pakar tentera Iran telah meningkatkan lagi jarak peluru berpandu “Dehyaviyeh” itu daripada 5.5km kepada 8km bagi memastikan ia mampu membedil lebih banyak sasaran pada jarak yang lebih jauh.

Pada latihan tentera “Eqtedar 1402”, anggota-anggota tentera turut melancarkan varian udara peluru berpandu “Shafaq” yang memiliki kepala peledak seberat 50kg dan mampu memusnahkan sasaran sejauh 20km pada kelajuan Mach 2.2.

“Shafaq” adalah peluru berpandu darat-ke-darat tetapi turut memiliki varian lancaran udara-ke-darat.

Iran

Satu lagi peluru berpandu yang dibangunkan oleh pakar-pakar tentera Iran adalah sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” yang sekiranya digandingkan dengan sistem kawalan penembakan boleh membedil sasaran sejauh 8km.

Varian lancaran udara “Almas” dilengkapkan pada helikopter pengempur Bell Cobra 209 dan juga dron-dron kombat.

Peluru berpandu anti-kereta kebal “Almas” yang mula diperkenalkan pada tentera darat Iran pada 2021 dikatakan adalah replika kepada peluru berpandu anti-kereta kebal “Spike” yang dibangunkan oleh Israel.

Menurut jurucakap tentera darat Iran, latihan perang “Eqtedar 1402”  itu adalah selaras dengan struktur kombatnya baru tentera darat yang kini dilengkapi dengan sistem persenjataan dan taktik bagi membolehkannya membedil sasaran dengan lebih jauh dan lebih tepat. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...