Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dakwa Sistem EW Miliknya Berjaya Godam Pesawat Pengintip Asing di Sempadannya

“Kami (Iran) telah membangunkan keupayaan peperangan elektronik sejak beberapa tahun lepas untuk melindungi ruang udara dan perairan negara itu dan setiap ‘penyerang’ telah merasakan keupayaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Industri Elektronik Kementerian Pertahanan Iran.

0 4,621

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Pegawai Eksekutif Industri Electronik Kementerian Pertahanan Iran Laksamana Amir Rastegari mendakwa pihaknya telah berjaya mengodam (hacking) dua pesawat pengintip asing dipercayai milik Amerika Syarikat menggunakan sistem peperangan elektronik (EW) yang dibangunkan oleh negara Parsi itu sendiri.

Beliau mendakwa insiden itu berlaku di ruang udara di sempadan negara itu.

“Pesawat pengintip asing itu terbang di dalam Flight Information Region (FIR) dan mula mengeluarkan gelombang untuk mengumpul maklumat perisikan dan kami telah menganggu aktiviti yang dijalankan oleh pesawat terbabit.”

“Juruterbang pesawat pengintip itu menyangka pesawatnya menghadapi masalah, jadi dia telah menghubungi pangkalan mengatakan sistem di pesawat itu mempunyai masalah dan beliau akan kembali (ke pangkalan).”

“Kita mempunyai rakaman perbualan itu,” kata beliau dalam temuramah dengan agensi berita Tasnim.

Rivet Joint
Pesawat perisik elektronik RC-135W Rivet Joint milik Tentera Amerika Syarikat.

 

Sehari selepas itu katanya, dua buah kapal pengintip asing terbang dan mula melakukan aktiviti pengintipan dan pihak Iran turut “menganggunya.”

“Kami (Iran) telah membangunkan keupayaan peperangan elektronik sejak beberapa tahun lepas untuk melindungi ruang udara dan perairan negara itu dan setiap ‘penyerang’ telah merasakan keupayaan kami,” kata beliau.

Pada 20 April lepas, komander Tentera Laut Iran Shahram Irani mendakwa tentera laut negara itu telah memaksa kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat untuk “timbul” (surface) ketika ia memasuki perairan di Teluk.

Bagaimanapun dakwaan oleh tentera laut Iran telah dinafikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

“Kapal selam Amerika itu menghampiri perairan negara ketika menyelam tetapi apabila kapal selam kami ‘Fateh’ mengesannya ia telah timbul ketika melalui Selat Hormuz. Ia juga tersasar sehingga memasuki perairan Iran tetapi telah membetulkan laluannya selepas diberikan amaran,” kata beliau.

Iran
Sistem peperangan elektronik Iran

Iran

Pihak Iran mengenalpasti kapal selam berkuasa nuklear Amerika itu sebagai USS Florida dan mengecam tindakan mereka yang menceroboh kedaulatan negara Parsi itu sebagai berisiko dan berbahaya.

Beberapa bulan lepas, jurucakap Tentera Laut Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia telah mengerahkan sebuah kapal selam berkuasa nuklear yang mampu membawa sehingga 154 peluru berpandu Tomahawk ke Timur Tengah.

Tujuan utama kerahan kapal selam berkuasa nuklear ke Timur Tengah adalah untuk menunjukkan kekuatan kepada seteru utama Washington di rantau itu, Iran dan “memastikan kestabilan dan keamanan ” di rantau terbabit.

Pihak Tentera Laut Amerika Syarikat jarang-jarang mengumumkan lokasi kapal selam berkuasa nuklear mereka, termasuk maklumat tentang misi dan sebab-sebab utama ia dikerah ke sesuatu lokasi.

Iran

Iran

Bagaimanapun untuk kerahan kapal selam berkuasa nuklear, USS Florida itu ke Timur Tengah, pihak Tentera Laut Amerika Syarikat bukan sahaja mengumumkan kedudukan kapal selam itu, malah ia turut menyertakan gambar-gambar kapal selam itu ketika berada di Terusan Suez menuju ke Selat Hormuz.

Kapal selam berkuasa nuklear, USS Florida itu adalah kapal selam penyerang kelas-Ohio. — DSA

APPPS

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...