Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dilapor Pertimbang Miliki Pesawat Pejuang Generasi 4.5 J-10C Vigorous Dragon Buatan China ??

Laporan tentang minat Tehran terhadap pesawat pejuang J-10C itu timbul ketika Menteri Pertahanan Iran Aziz Nasirzadeh berada di Qingdao, China untuk menghadiri mesyuarat Shanghai Cooperation Organisation (SCO) yang dipelopori oleh Russia dan China.

0 2,936
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan sedang mengkaji untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China yang turut digelar “pembunuh Rafale” berikutan dakwaan kejayaan pesawat pejuang generasi 4.5 itu menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Perancis dalam konflik Pakistan-India awal bulan lepas.
Laporan tentang minat Tehran terhadap pesawat pejuang J-10C itu timbul ketika Menteri Pertahanan Iran Aziz Nasirzadeh berada di Qingdao, China untuk menghadiri mesyuarat Shanghai Cooperation Organisation (SCO) yang dipelopori oleh Russia dan China.
Selain Russia dan China, SCO yang merupakan pakatan ketenteraan bersamaan seperti NATO turut dianggotai oleh India, Pakistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan dan Belarus.
Minat Iran terhadap pesawat pejuang J-10C itu dikatakan semakin meningkat selepas negara itu yang baru sahaja terlibat dalam 12 hari peperangan dengan Israel mulai mempersoalkan sama ada usahanya untuk memiliki pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia akan berhasil selepas tertangguh sejak beberapa tahun lalu.
Tehran dikatakan “menyediakan” pesawat pejuang J-10C itu sebagai alternatif sekiranya usahanya sejak beberapa tahun lalu untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 itu tidak berhasil.
Selain itu, penganalisis ketenteraan antarabangsa mendakwa bahawa Iran tertarik dengan prestasi dan kemampuan ditunjukkan oleh pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan semasa konflik ketenteraan singkat yang berlaku di antara Pakistan dan India pada awal bulan lepas.
Dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E buatan China juga, pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan itu dilaporkan bukan sahaja berjaya menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis, tetapi juga tiga buah pesawat pejuang lain milik India.
J-10CE
J-10CE (credit Hurin92)
Tiga buah pesawat pejuang Tentera Udara India selain Rafale yang didakwa ditembak jatuh oleh J-10C Pakistan itu adalah Su-30MKI, MiG-29 dan Mirage 2000.
Kejayaan pesawat pejuang J-10C dan peluru berpandu udara-ke-udara PL-15E pada konflik Pakistan-India itu telah membuka mata banyak pihak terhadap kemampuan sistem pertahanan buatan industri pertahanan China termasuk Iran yang kini sedang berkira-kira untuk menjadikan Beijing sebagai sumber bekalan persenjataannya pula.
Iran kini nampaknya sedang berusaha untuk memperolehi pesawat pejuang buatan China bagi meningkatkan kemampuan tentera udaranya yang pada ketika ini masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia lebih 50 tahun.
Kegagalan Tentera Udara Iran yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang diperolehinya semasa zaman pemerintahan Shah Iran pada tahun-tahun 60-an dan 70-an serta sistem pertahanan udaranya dalam menangkis serangan udara Israel dalam peperangan selama 12 hari minggu lepas itu, berkemungkinan besar menyebabkan Tehran berfikir dua kali tentang teknologi pertahanan udara yang dimilikinya pada ketika ini.
Pesawat pejuang J-10C itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC).
Prestasi cemerlang J-10C semasa konflik Pakistan-China baru-baru ini membuatkan nama pesawat pejuang generasi 4.5 itu meniti di bibir pemerhati ketenteraan di seluruh dunia, menyebabkan saham syarikat CAC melonjak naik manakala saham syarikat Dassault Aviation yang membangunkan pesawat pejuang Rafale menjunam.
Semasa pameran aeroangkasa dan maritim LIMA 2025 di Langkawi, model pesawat pejuang J-10CE yang dipamerkan di booth pameran China di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi telah menarik perhatian ramai, sebagaimana diperkatakan oleh portal berita Global Times.
J-10CE
Pesawat pejuang J-10CE dikatakan milik Mesir pada pameran udara di Zhuhai tahun lepas.
“Pesawat pejuang J-10CE, iaitu varian eksport kepada J-10C, menjadi tumpuan utama di booth China (di LIMA 2025) selepas mencipta kejayaan dalam pertempuran sebenar, sekaligus menarik perhatian pengunjung antarabangsa dan penganalisis ketenteraan yang teruja untuk melihat lebih dekat keupayaan pesawat tersebut,” menurut portal berita China itu.
Sejak mula ditauliahkan secara rasmi di dalam tentera udara (PLAAF) pada tahun 2006, pesawat pejuang J-10 dengan pantas menjadi tulang belakang aset tempur utama Tentera Udara China.
Sehingga tahun 2025, Tentera Udara China (People’s Liberation Army Air Force, PLAAF) mengoperasikan sekitar 220 unit pesawat pejuang J-10C, menjadikannya antara tulang belakang utama dalam armada tempur udara negara itu.
Pesawat pejuang J-10C merupakan varian paling moden dalam keluarga J-10 yang dibangunkan oleh China sebagai simbol kemajuan teknologi ketenteraan dan keupayaan industri pertahanannya yang semakin matang.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
 Pemerhati pertahanan antarabangsa mengatakan bahawa pesawat J-10 buatan China tidak jauh bezanya daripada pesawat F-16 Amerika Syarikat tetapi menampilkan DNA daripada program pesawat Lavi yang kemudiannya dibatalkan oleh Israel.
J-10C
J-10C
Pakistan memperolehi varian terkini pesawat J-10 iaitu versi “C” kerana ia dilengkapi dengan sistem terkini seperti Active Electronically Scanned Array (AESA) dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) “PL-15”.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 itu dikatakan dibangunkan dengan bantuan pakar-pakar daripada Russia dan memilik jarak effektif di antara 200km hingga 300km, sebagaimana didakwa oleh China.
Pesawat ini juga dilengkapi dengan sistem fly-by-wire digital sepenuhnya, enjin turbofan WS-10B buatan tempatan yang semakin mantap, serta sistem avionik bersepadu yang meningkatkan kesedaran situasi juruterbang dan memudahkan pengoperasian dalam persekitaran pertempuran kompleks.
Dari segi reka bentuk, J-10C menggabungkan elemen aerodinamik yang canggih termasuk canard delta configuration yang membolehkannya melakukan manuver tajam dan beroperasi dalam pelbagai misi — daripada dominasi udara hingga kepada serangan darat.
Pembangunan J-10C bukan sahaja memenuhi keperluan Tentera Udara China (PLAAF), tetapi juga menandakan lonjakan strategik dalam usaha Beijing menjadi pemain utama dalam pasaran eksport pesawat pejuang global.
Bagaimanapun bagi varian eksport PL-15E, jarak bedilannya adalah sekitar 145km.
Peluru berpandu PL-15 itu jdidakwa adalah pesaing utama kepada peluru berpandu udara-ke-udara keluaran Amerika Syarikat iaitu AIM-120 “AMRAAM” dan konflik Pakistan-India hanya membuktikan bahawa peluru berpandu BVR keluaran China juga tidak kurang “bahayanya.”
J-10C
J-10C “Vigorous Dragon”
PL-15E
PL-15E
Pada November 2023, agensi berita Tasnim Iran melaporkan bahawa  Tehran telah memuktamadkan persiapan untuk membeli pesawat pejuang dari Russia.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Russia bertindak menjual pesawat-pesawat pejuang Su-35 selepas Mesir membatalkan pembelian 24 buah pesawat pejuang itu disebabkan tekanan oleh Amerika Syarikat.
Mesir telah menandatangani perjanjian dengan Russia untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35, tetapi Kaherah membatalkan pembelian pesawat pejuang itu selepas ia diancam oleh Amerika Syarikat untuk dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekiranya ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia, Su-35 “Flanker E” itu juga berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” dan terkini, peluru-peluru berpandu ballistik kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply