Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Iran Didakwa Bantu Houthi Dapatkan Peluru Berpandu Anti-Kapal P-800 Oniks

(VIDEO) Penggunaan peluru berpandu P-800 Oniks buatan Russia oleh kumpulan Houthi juga akan mengancam kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya yang meronda di Laut Merah bagi memberikan kawalan keselamatan kepada kapal-kapal komersial yang berlayar di perairan itu.

0 51
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dikatakan sedang membantu kumpulan bersenjata Houthi di Yemen untuk mendapatkan peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks buatan Russia bagi membolehkannya membedil kapal-kapal komersial Barat yang belayar di perairan Laut Merah.
Memetik sumber-sumber perisikan, agensi berita Reuters mendakwa bahawa Iran menjadi “orang tengah” dalam rundingan di antara pihak Russia dan Houthi bagi memastikan peluru berpandu anti-kapal berbahaya itu dapat diberikan kepada pejuang Houthi.
“Russia sedang berunding dengan kumpulan Houthi bagi memindahkan peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks (Yakhont). Pihak Iran menganjurkan pertemuaan di antara kedua-dua pihak itu, tetapi mereka tidak mahu penglibatannya diketahui,” dakwa agensi perisikan Barat itu.
Buat masa ini, tidak ada lagi bukti menunjukkan bahawa pejuang-pejuang Houthi telah memperolehi peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks buatan Russia itu.
Penggunaan peluru berpandu P-800 Oniks buatan Russia oleh kumpulan Houthi juga akan mengancam kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya yang meronda di Laut Merah bagi memberikan kawalan keselamatan kepada kapal-kapal komersial yang berlayar di perairan itu.
Menurut Reuters lagi, pegawai-pegawai Russia dan Houthi didakwa telah bertemu beberapa kali di Teheran bagi membincangkan cadangan tentang penggunaan peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks itu.
Pertemuan lanjutan di antara kedua-dua pihak itu sedang dirancang dibawah pengendalian Iran, menurut agensi berita itu.
Pegawai-pegawai keselamatan Amerika Syarikat sebagaimana dipetik oleh Reuters menyifatkan perkembangan tentang potensi pemindahan peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks itu buatan Russia kepada pejuang Houthi sebagai sesuatu  yang  “amat membimbangkan.”
Pegawai itu menyatakan bahawa sebarang usaha untuk meningkatkan kemampuan pejuang Houthi akan mengancam kebebasan pelayaran antarabangsa di Laut Merah dan juga keselamatan di keseluruhan rantau Timur Tengah.
Dalam respons terhadap “kebanjiran” senjata-senjata moden dan berbahaya Amerika Syarikat kepada Ukraine, Presiden Putin memberi amaran bahawa Moscow juga akan bertindak sama dengan membekalkan senjata kepada negara dan kumpulan yang “bermusuh” dengan Washington.

Oniks

Baru-baru ini Amerika Syarikat telah meningkatkan lagi bantuan ketenteraannya terhadap Ukraine dengan membekalkan peluru-peluru berpandu jarak dekat “ATACMS” yang digunakan oleh Kiev untuk menyerang kedudukan tentera Russia di Crimea.
Peluru berpandu anti-kapal P-800 Oniks terbang pada altitude rendah (sea skimming) iaitu hanya 10 hingga 15 meter daripada permukaan bagi membolehkan ia mengabui daripada dikesan oleh radar.
Ia berkemampuan membedil sasarannya yang terletak sejauh lebih 300km.
Peluru berpandu anti-kapal itu mula dibangunkan pada 1993 tetapi mempunyai beberapa varian yang telah dinaiktaraf bagi menjadikannya lebih berbahaya dan sukar dipintas. 
Pada akhir tahun lepas, ketua Hezbollah Sheikh Hassan Nasrallah memberi amaran kepada Amerika Syarikat bahawa kumpulan bersenjata itu memiliki “sesuatu” untuk kapal-kapal perang negara itu yang dikerah ke rantau Timur Tengah untuk “melindungi” Israel.
Nasrallah tidak menyatakan dengan jelas apa yang dimaksudkannya itu, tetapi sumber-sumber di Lubnan menyatakan kumpulan Hezbollah itu kini memiliki kemampuan peluru berpandu anti-kapal yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
Oniks
Peluru berpandu P-800 “Oniks”
“Kita telah menyediakan sesuatu untuk kapal-kapal perang yang mengancam kami,” kata Hassan.
Sejak tahun 2006, kemampuan anti-kapal kumpulan Hezbollah telah meningkat berlipatkali ganda, tidak lama selepas ia berjaya membedil sebuah kapal korvet kelas Sa’ar milik Tentera Laut Israel “ INS Hanit” yang sedang menguatkuasakan sekatan di luar perairan Lubnan.
Sumber-sumber itu mendedahkan bahawa kumpulan Hezbollah kini dilengkapi dengan peluru berpandu P-800 Oniks (varian eksport Yakhont) buatan Russia yang bukan sahaja berkelajuan supersonik pada Mach 2.5 tetapi boleh membedil kapal-kapal “musuh” pada jarak 300km jauhnya.
Kumpulan Hezbollah dipercayai memperolehi peluru-peluru berpandu anti-kapal buatan Russia itu daripada Syria yang dibekalkan oleh Russia semasa peperangan saudara di negara itu kira-kira 10 tahun yang lepas.
Moscow menyatakan bahawa ia telah memindahkan peluru berpandu kruis anti-kapal kepada Damsyik pada 2010. — DSA

 

 

 

 

Comments
Loading...