Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hasrat Arwah Tidak Kesampaian – Isteri Anggota TUDM

Malah, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sering membayangkan kehidupan sekeluarga lebih selesa apabila rumah mereka yang sedang dibina di Kampung Asajaya Laut, Samarahan, siap tidak lama lagi.

0 1,301

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat yang terkorban dalam kejadian amuk, semalam, menyimpan hasrat mengadakan majlis kesyukuran serentak sempena menduduki rumah baharu dan menyambut kelahiran anak sulung nanti.

Malah, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sering membayangkan kehidupan sekeluarga lebih selesa apabila rumah mereka yang sedang dibina di Kampung Asajaya Laut, Samarahan, siap tidak lama lagi.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Mohammad Ehsan, 26, antara empat maut dalam kejadian amuk di Balai Pengawal, Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, pagi semalam.

Tiga lagi yang meninggal dunia dalam insiden tembakan pada jam 7.15 pagi itu ialah Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu; Koperal Udara Ho Swee Boon dari Lundu; dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Siniawan, Bau.

Isteri Mohammad Ehsan, Nur Atiqah Nurul Supyie, 29, berkata Allahyarham amat berharap pembinaan rumah impiannya itu dapat siap sebelum anak sulung dilahirkan.

TUDM

Katanya, ini berikutan mereka masih menyewa rumah di Tabuan Laru, di sini, selepas mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu.

Malah, beliau yang sedang mengandung empat bulan berkata, arwah gembira dengan perkembangan kerja pembinaan rumah itu kerana percaya ia akan siap sebelum anak mereka dilahirkan.

“Namun apakan daya, suami pergi selama-lamanya sebelum rumah impian siap,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Justeru, Nur Atiqah berkata, beliau bertekad meneruskan hajat suaminya untuk menyiapkan pembinaan rumah itu sebelum anak mereka dilahirkan.

Menceritakan lanjut, beliau berkata, Mohammad Ehsan tiada menunjukkan perubahan sikap tetapi sempat menghubunginya kira-kira jam 7 pagi semalam, iaitu beberapa minit sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

“Suami keluar rumah pada jam 6.30 pagi dan setiba di tempat kerja, dia menghubungi saya untuk memberitahu sudah sampai.

“Sebelum menamatkan perbualan, suami sempat berpesan kepada saya untuk mengambil barang daripada kakaknya, namun tidak pula memberitahu apa barangnya,” katanya.

 

– DEFENCE SECURITY ASIA/BERITA HARIAN

Comments
Loading...