Harga Naik 50 Peratus, India “Pening Kepala” Cadangan Perolehan Enam P-8I Poseidon Tambahan
Dengan kenaikan 50 peratus harganya itu, keenam-enam buah pesawat peronda maritim P-8I Poseidon yang amat diidam-idamkan oleh tentera India kini melonjak kepada US$3.6 billion (RM15.2 billion).

Usaha India untuk memperolehi enam buah pesawat peronda maritim P-8I Poseidon tambahan bagi memperkukuhkan lagi “mata dan telinganya” di Lautan Hindi berkemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan selepas Amerika Syarikat menaikkan harga pesawat itu sebanyak 50 peratus lebih tinggi.
Dengan kenaikan 50 peratus harganya itu, keenam-enam buah pesawat peronda maritim P-8I Poseidon yang amat diidam-idamkan oleh tentera India kini melonjak kepada US$3.6 billion (RM15.2 billion).
Tentera India dilaporkan kini terpaksa mengurangkan cadangan perolehan tambahan pesawat peronda maritim atau membatalkan cadangan itu sama sekali disebabkan kenaikan harganya itu.
Pada ketika ini, India mengoperasikan 12 buah pesawat peronda maritim P-8I Poseidon yang dibangunkan oleh syarikat Boeing dalam angkatan tenteranya dan merupakan “tulang belakang” kepada strategi pengawasan maritim India.
Pesawat peronda maritim P-8I Poseidon adalah varian khusus dibangunkan untuk kegunaan tentera India berdasarkan kepada versi asal P-8A Poseidon.
Pesawat peronda maritim P-8I dioperasikan oleh India diasaskan daripada pesawat Boeing 737-800ERX yang telah diubah suai sepenuhnya untuk misi pengawasan maritim, peperangan anti-kapal selam (ASW) dan peninjauan anti-kapal permukaan (ASuW) pada jarak ribuan kilometer dari pangkalan udara India.
Pihak Amerika Syarikat menyatakan bahawa kenaikan harga itu adalah disebabkan kenaikan harga mendadak kepada kos disebabkan gangguan kepada rangkaian bekalan global dan kenaikan dalam kos produksi, di mana ia tidak dapat mengelaknya.
