Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Hanya Seminggu Diperlukan Untuk Adakan Ujian Nuklear” – Anggota Jawatankuasa Keselamatan Iran

Anggota Parlimen konservatif Iran Javad Karimi-Ghodousi berkata bahawa Iran juga berkeupayaan untuk membangunkan peluru berpandu ballistik antara benua (Inter Continental Ballistic Missile – ICBM) dengan kemampuan membedil sasaran sejauh 12,000km dalam “notis yang amat singkat” sekiranya diarahkan oleh pemerintahnya.

1,344

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang anggota Parlimen dan anggota jawatankuasa keselamatan kebangsaan Iran menyatakan bahawa negara itu berkemampuan mengadakan ujian nuklear di dalam tempoh satu minggu sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pemerintah.

 “Kita hanya memerlukan satu minggu untuk mengadakan ujian nuklear,” kata Javad Karimi-Ghodousi yang sememangnya dikenali sebagai seorang anggota Parlimen konservatif Iran dan juga adalah bekas komander tentera.

Kenyataan oleh Javad itu telah dilaporkan secara meluas oleh media-media Barat serta penganalisis tentera yang mempersoalkan kemampuan sebenar pembangunan senjata nuklear Iran.

Selain itu anggota Parlimen konservatif Iran itu juga menyatakan bahawa Iran berkeupayaan untuk membangunkan peluru berpandu ballistik antara benua (Inter Continental Ballistic Missile – ICBM) dalam “notis yang amat singkat” sekiranya diarahkan oleh pemerintahnya.

Beliau menyatakan bahawa peluru berpandu ICBM Iran itu berkeupayaan membedil sasaran sejauh 12,000km.

Iran
Loji nuklear Natanz merupakan kemudahan nuklear utama Iran

 

 “Jika kebenaran diberikan, kita hanya memerlukan satu minggu untuk melakukan ujian pertama untuk meningkatkan jarak peluru berpandu kita kepada 12,000km,” kata anggota jawatankuasa keselamatan kebangsaan Iran itu.

Walaupun kenyataan Javad itu tentang kemampuan teknologi peluru berpandu dan nuklear Iran tidak dapat dipastikan kebenarannya, namun ia sudah pasti akan meningkatkan lagi pemantauan negara-negara Barat terhadap Iran.

Kenyataan anggota parlimen dan ahli jawatankuasa keselamatan Iran itu sudah pasti dipandang serius oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Setakat ini, apa yang diketahui adalah kemampuan peluru-peluru berpandu ballistik Iran adalah disekitar 2,000km.

Baru-baru ini dalam satu perkembangan yang “membimbangkan” negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Israel, bekas ketua agensi nuklear Iran Ali Akhbar Salehi berkata, Teheran memiliki segala keperluan untuk membina bom nuklear.

Ditanya dalam satu temuramah, Salehi yang juga merupakan bekas Menteri Luar Iran berkata, “Iran telah melepasi segala keperluan sains dan teknologi nuklear. Sebagai contoh, bayangkan apa yang diperlukan oleh kereta: ia memerlukan enjin, stereng, gearbox.”Iran

“Anda bertanya sekiranya kami telah membuat gearbox, saya berkata ya. Adakah kita telah membuat enjin? Ya,” kata beliau.

Pada 2022, Kamal Kharazzi yang merupakan penasihat kepada pemimpin Iran Ali Khamenei berkata dalam satu temuramah dengan Al-Jazeera bahawa negara itu memiliki segala kemampuan teknikal untuk membina bom nuklear.

“Kita telah meningkatkan tahap pengkayaan uranium (uranium enrichment) daripada 20 peratus kepada 60 peratus hanya dalam beberapa hari and adalah amat mudah untuk mengkayakannya sehingga ke tahap 90 peratus,” katanya beliau sambil menggambarkan bahawa Teheran adalah “amat hampir” untuk membina bom nuklear.

Pada Disember lalu, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi melahirkan kebimbangan bahawa Iran tidak lagi mempunyai halangan teknikal di antara Iran dengan kemampuan untuk membina bom nuklear.

Iran menurutnya, boleh membina bom nuklear sekiranya ia mahu berbuat demikian pada bila-bila masa. — DSA

Iklan

 

Comments are closed.