Hanya Satu daripada Enam Kapal Selam Kelas-Collins Milik Australia Beroperasi Ketika Ini
Tentera Laut Australia mula mengoperasikan secara berperingkat enam buah kapal selam kelas-Collins pada 1996 tetapi masalah karat (corrosion) yang serius bermakna ia terpaksa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan yang berpanjangan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya sebuah kapal selam kelas-Collins milik Tentera Laut Australia dilaporkan beroperasi pada masa ini manakala lima buah yang lain terpaksa dihantar ke limbungan kapal untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan.
Pada ketika ini, Tentera Laut Australia memiliki enam buah kapal selam kelas-Collins tetapi operasinya dilaporkan sedang bergelut dengan masalah yang serius disebabkan masalah keusangan yang menyebabkan sebahagian besar kapal selam itu terpaksa menjalani proses penyelenggaraan berpanjangan.
Tentera Laut Australia mula mengoperasikan secara berperingkat enam buah kapal selam kelas-Collins pada 1996 tetapi masalah karat (corrosion) yang serius bermakna ia terpaksa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan yang berpanjangan.
Sumber-sumber memberitahu media Australia bahawa dua daripada kapal selam kelas-Collins itu berada di limbungan kapal di Osborne yang terletak di Adelaide dimana kerja-kerja penyelenggaraan “full-cycle docking” berhadapan dengan kelewatan akibat tindakan industri.
Manakala tiga lagi buah kapal selam kelas-Collins Tentera Laut Australia sedang berada di pangkalan Garden Island.

Angkatan Tentera Australia dalam reaksi balasnya terhadap laporan media-media Australia itu menafikan bahawa hanya sebuah kapal selam kelas-Collins sedang beroperasi ketika ini manakala lima buah yang lain sedang diselenggara.
“Angkatan Tentera Australia sentiasa mematuhi arahan kerajaan berkenaan tahap operasi kapal selam kelas-Collins dan memiliki lebih daripada sebuah kapal selam untuk operasi jika diperlukan,” menurut jurucakapnya.
“Di atas sebab-sebab keselamatan, Angkatan Tentera Australia tidak boleh mendedahkan lokasi sebenar dan kapal selam mana yang beroperasi,” kata jurucakap itu.
Pada Jun lalu, laporan media Australia menyatakan bahawa tiga daripada enam buah kapal selam kelas-Collins milik Tentera Laut Australia tidak akan dapat beroperasi sepanjang tahun ini selepas masalah karat (corrosion) yang serius dikesan pada kapal-kapal selam utama negara itu.
Pegawai-pegawai daripada ASC (dahulu dikenali sebagai Australia Submarine Corporation) mengesahkan bahawa tiga daripada enam buah kapal selam itu berada di limbungan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang mendesak.
Ketua Pegawai Eksekutif ASC Stuart Whiley ketika memberikan penerangan kepada Senat negara itu bahawa jurutera mengesan kerosakan akibat masalah karat yang serius di kapal selam kelas-Collins itu, HMAS Sheean ketika ia menjalani kerja-kerja penyelenggaran di limbungan kapal.
Akibat daripada penemuan masalah kekaratan yang serius itu, maka kapal selam terbabit terpaksa menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sehingga akhir tahun ini.
“Kelewatan dalam penyelenggaraan kapal selam itu adalah disebabkan usaha-usaha memulihara badan kapal selam (daripada pelbagai isu dan masalah),” menurut beliau sambile menambah bahawa mereka terpaksa memperbaiki segala masalah kekaratan itu.
Menurutnya, tempat-tempat di mana pekerja terpaksa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan daripada masalah kekaratan itu terletak di kawasan yang sukar.

Comments are closed.