Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Buat Pertama Kali, Pesawat Pejuang Generasi Kelima Russia Su-57 Berada di Bumi China

(VIDEO) Buat pertama kali, pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 kini berada di bumi China bagi menyertai pameran udara “Airshow China 2024” yang diadakan di Zhuhai, wilayah Guandong.

0 10,867
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57 kini berada di bumi China bagi menyertai pameran udara “Airshow China 2024” yang diadakan di Zhuhai, wilayah Guandong.
Dibangunkan oleh Sukhoi, Su-57 adalah pesawat pejuang paling moden Russia tetapi produksinya dilaporkan berhadapan dengan masalah akibat sekatan ekonomi yang ketat oleh negara-negara Barat.
Pesawat pejuang Su-57 direkabentuk dan dibangunkan untuk menyaingi pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat iaitu F-35 dan F-22 “Raptor.”
Kehadiran pesawat pejuang kebanggaan Russia itu telah menarik perhatian media-media China, terutamanya kerana ia akan turut mempertemukan Su-57 dengan pesawat-pesawat pejuang negara itu yang lain seperti J-15 dan FC-31 (J-35).
FC-31 adalah pesawat pejuang generasi kelima kedua China selepas J-20 “Might Dragon” dan dijangka akan beroperasi di atas dek penerbangan kapal-kapal pengangkut pesawat China di dalam beberapa tahun mendatang ini.
Kehadiran pesawat pejuang Su-57 Russia pada pameran udara di Zhuhai  itu juga menunjukkan hubungan ketenteraan yang semakin rapat di antara kedua-dua negara, terutamanya ketika Moscow ditekan hebat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya akibat pencerobohannya ke atas Ukraine.
Kehadirannya di China itu juga bertujuan menunjukkan kepada dunia dan bakal-bakal pelanggannya tentang kemampuan teknologi pesawat pejuang buatan Russias itu terutamanya daripada segi teknologi halimunan, kemodenan sistem avionik dan kelincahannya ketika berada di udara.
Russia sedang cuba memasarkan pesawat pejuang Su-57 kepada pelanggan luarnya yang sudah pun mengoperasikan pesawat pejuang buatan Russia untuk memilih Su-57 sebagai pesawat pejuang generasi kelima pilihan mereka.
Setakat pasaran pesawat pejuang generasi kelima dunia dikuasai oleh Amerika Syarikat dengan ratusan buah pesawat pejuang F-35 dieksport oleh syarikat pembuatnya, Lockheed Martin kepada pembeli di Asia dan Eropah.
Pesawat pejuang F-22 “Raptor” yang turut dibangunkan oleh Amerika Syarikat tidak dieksport.

Su-57

Pada ketika ini,  pihak Sukhoi Design Bureau masih meneruskan kerja-kerja untuk meningkatkan lagi dan meluaskan keupayaan misi pesawat pejuang Su-57 itu.
Dalam satu kenyataan pada tahun ini, Sukhoi Design Bureau menyatakan bahawa fokus mereka untuk menaiktaraf pesawat pejuang itu secara berperingkat.
Sebagai contohnya, UAC menyatakan bahawa bermula pada tahun ini pesawat pejuang Su-57 itu akan dilengkapi dengan enjin yang baru, Izdeliye 30 yang menjanjikan kuasa tujahan (thrust) dan keberkesanan bahan api berbanding enjin lama, AL-41F1.
Enjin baru pesawat pejuang Su-57 itu, Izdeliye 30 atau AL-51F1 telah melepasi segala ujian dengan cemerlang, seperti kuasa tujahan 11,000kg dan afterburner sebanyak 18,000kg.
Dengan naiktaraf enjin barunya kini, pesawat pejuang Su-57 itu kini berkemampuan mencapai kelajuan kruis (cruising speed) Mach 2.
Varian pesawat pejuang yang telah dinaiktaraf dengan enjin baru dan pelbagai peningkatan keupayaan yang baru itu dikenali sebagai Su-57M (Modification).
Dengan enjin baru,Izdeliye 30  (AL-51F), pemerhati menyatakan bahawa pesawat pejuang Su-57 itu kini secara sah kini adalah sebuah pesawat pejuang generasi kelima.
Dalam satu lagi peningkatan keupayaan dilaksanakan tahun ini, UAC juga menonjolkan peningkatan kemampuan daripada segi avionik pesawat pejuang itu.
Pesawat pejuang itu kini dilengkapi dengan radar baru yang lebih berkeupayaan,membolehkan ia mengesan sasaran lebih jauh dan kemampuan kesan-jejak (target-tracking) yang lebih ampuh.
Selain itu, UAC juga menyatakan bahawa sedang meningkatkan keuapayaan halimunan pesawat pejuang Su-57.
Su-57
Su-57
Daripada segi peningkatan kemampuan sistem persenjataan yang dibawanya, pesawat-pesawat Su-57 kini boleh membawa pelbagai sistem persenjataan daripada peluru berpandu  udara-ke-darat kepada peluru berpandu udara-ke-udara seperti peluru berpandu KH-59Mk2 dan R-37M.
Peluru berpandu udara-ke-udara “R-37M”  (RVV-BD) itu boleh menembak jatuh sasaran udara sejauh 300km hingga 400km.
Moscow dikatakan telah meningkatkan penggunaan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti R-37M bagi membolehkan pesawat pejuangnya berada di luar ruang udara tengah dan barat Ukraine yang dikawal ketat oleh sistem pertahanan udara Ukraine serta dipantau rapi oleh pesawat-pesawat amaran awal NATO.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M (RVV-BD) atau AA-13 adalah peluru berpandu moden, dengan komponennya dihasilkan di dalam Russia.
Ia dihasilkan oleh firma Russia terkenal dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-udara iaitu Vympel. — DSA
Comments
Loading...