Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Harta Karun “Flor de la Mar” Jadi Idaman Ramai Sehingga Kini

“Flor de la Mar” (Flower of the Sea atau Bunga Lautan) merupakan kapal “carrack” Portugis seberat 400 tan yang tenggelam pada 1511 ketika membawa pelbagai barangan berharga dicuri daripada Kesultanan Melayu Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja Portugis Manuel I di Lisbon.

0 3,999

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, kerajaan Colombia memaklumkan bahawa emas dan barangan berharga lain dalam bangkai kapal milik Sepanyol yang ditemuinya di perairan negara itu pada 2015 dianggarkan bernilai US$17 bilion (RM68 bilion).

Kapal “galleon” milik Sepanyol yang diberi nama “San Jose”itu tenggelam pada tahun 1708 selepas dibedil oleh kapal perang British ketika War of Spanish Succession (1701-1714).

Bangkai kapal “San Jose” itu ditemui berhampiran Pelabuhan Cartagena di sempadan maritim negara Amerika Selatan itu dengan Kepulauan Carribean.

San Jose
Barangan berharga yang ditemui daripada bangkai kapal Sepanyol “San Jose.”

 

Apa yang ditemui daripada perut bangkai kapal Sepanyol yang terdampar di dasar perairan Colombian itu amat menakjubkan penyelidik kerana mereka telah menemui jongkong-jongkong emas seberat lebih 200 tan dan syiling-syiling emas buatan tangan dipanggil “macuquinas”.

Selain itu mereka juga menemui barangan kemas, bahan-bahan bersejarah termasuk pedang yang dipakai oleh penumpangnya, tembikar dan pelbagai barangan lain.

Dengan pelbagai barangan berharga yang ditemui itu, maka tidak hairanlah segala harta-karun itu dianggarkan bernilai US$17 bilion.

Jika di Amerika Latin kita mempunyai kapal “San Jose”, manakala di Asia Tenggara pula kita mempunyai kapal “Flor de la Mar” (Flower of the Sea atau Bunga Lautan) yang merupakan sebuah kapal “carrack” Portugis seberat 400 tan yang tenggelam pada 1511 ketika membawa pelbagai barangan berharga dicuri daripada Kesultanan Melayu Melaka untuk dipersembahkan kepada Raja Portugis Manuel I di Lisbon.

Kapal Flor de la Mar dibina pada tahun 1502 di Lisbon untuk membawa barangan, anggota tentera dan pegawai Portugis serta mubaligh Kristian dari Portugal ke India dan sebaliknya dengan Estevao da Gama merupakan pegawai pemerintahnya yang pertama.

Flor de la Mar
Estevao da Gama

 

Estevao da Gama adalah anak kepada Vasco da Gama.

Dikatakan kapal Portugis itu sepanjang 36 meter dan dilengkapkan dengan 50 meriam serta 500 orang anak kapal.

Pada 1511, kapal Flor de la Mar bersama-sama 15 buah kapal Portugis yang lain di bawah pemerintahan Alfonso de Albuquerque terlibat dalam serangan terhadap Melaka dalam usaha mereka untuk menguasainya yang pada ketika itu merupakan pusat perdagangan Timur-Barat yang paling utama.

Albuquerque pada ketika itu merupakan Gabenor Portugis di India.

Dengan kejatuhan Melaka, beliau telah mencuri dan memunggah segala harta milik Kesultanan Melaka dan harta peribadinya ke  dalam kapal Flor de la Mar itu untuk dibawa balik ke Portugal bagi dipersembahkan kepada Raja Portugis, Manuel I.

Flor de la Mar
Alfonso de Albuquerque

 

Bukan sahaja emas yang dianggar seberat 55 tan, barangan kemas dan bersejarah yang dicuri dilonggok dalam kapal Flor de la Mar itu, kapal itu turut membawa barangan berharga pemberian Raja Siam sempena persahabatan antara kedua-dua pihak.

Dalam ertikata yang lain, barangan yang dibawa menaiki kapal Flor de la Mar termasuk harta curi Kesultanan Melaka itu dikatakan adalah antara harta karun terbesar dan paling berharga pernah dikumpul oleh pihak tentera Portugis.  

Menurut pengkaji sejarah, harta-harta yang terkandung di dalam kapal Flor de Mar itu dianggar bernilai US$3 bilion (RM12 bilion).

Selepas mengumpulkan dan melonggokkan semua harta pencurian itu ke dalam kapal Portugis itu, Flor de la Mar meninggalkan Melaka pada November 1511.

Flor de la Mar

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Disebabkan muatan berlebihan yang dibawanya, kapal Portugis itu berhadapan dengan kesukaran untuk meredah lautan bergelora apatah ia telah beberapa kali diperbaiki akibat kerosakan yang dialaminya ketika berlayar di laluan Lisbon-India-Lisbon.

Kira-kira sebulan selepas meninggalkan Melaka, kapal Flor de la Mar yang membawa pelbagai harta karun termasuk barangan berharga yang dicuri daripada Kesultanan Melaka telah karam berhampiran kawasan pesisir pantai Sumatera.

Sehingga kini, beberapa usaha telah dilakukan terutamanya oleh pihak swasta untuk mencari kedudukan sebenar kapal Flor de la Mar itu tetapi tidak pihak yang dapat mengenalpasti dengan tepat kedudukannya.

Kedudukan sebenar kapal Flor de la Mar masih menjadi misteri sehingga kini. — DSA

 

Comments
Loading...