Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perolehan 18 Buah FA-50 Block 20 Tidak Libatkan Sebarang “Orang Tengah”

“Perolehan 18 pesawat Fighter Lead In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa, tanpa melibatkan sebarang pelantikan syarikat perantara,” kata Menteri Pertahanan.

0 6,041

(DEFENCE  SECURITY ASIA) – Perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 buatan syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa tanpa melibatkan sebarang “orang tengah” atau syarikat perantara.

Menteri Pertahanan dalam satu jawapan lisan kepada Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) berkata, pada 24 Februari yang lalu Kementerian Pertahanan telah menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

“Perolehan 18 pesawat Fighter Lead In Trainer – Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) telah dilaksanakan secara Tender Terbuka Antarabangsa, tanpa melibatkan sebarang pelantikan syarikat perantara,” kata Menteri Pertahanan.

FA-50
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

 

Kos pembelian 18 buah pesawat FA-50 Block 20 itu katanya, berjumlah RM3.8 bilion untuk tempoh lima tahun dengan pesawat pertama dijangka diterima oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2006.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Kang Goo Young telah menandatangani SST bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia,dengan majlis menandatangani itu turut dihadiri tetamu tertinggi di antara kedua belah negara termasuk Duta Besar Korea Selatan di Malaysia pada 24 Feb lalu.

Malaysia adalah merupakan pelanggan terkini KAI selepas Indonesia, Thailand dan Filipina di rantau Asia Tenggara.

Persaingan untuk membekalkan 18 buah pesawat FLIT/LCA itu turut menarik minat beberapa pesawat lain termasuk Tejas yang dibuat oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan Hurjet oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Varian FA-50 Block 20 adalah varian paling berkemampuan dan terkini berbanding varian lain pesawat pejuang tersebut.

FA-50
Majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) perolehan pesawat FA-50 di antara Kementerian Pertahanan dengan Korea Aerospace Industries (KAI) .

 

Malaysia merupakan pelanggan pertama bagi varian FA-50 Block 20 di Asia Tenggara dan kedua di dunia selepas Poland yang turut menandatangani perjanjian dengan KAI tahun lepas untuk memperolehi varian terkini bagi pesawat pejuang ringan itu.

Poland memperolehi 48 buah pesawat FA-50 terdiri daripada kombinasi varian Block 20 dan Block 10.

Selain Malaysia, pengguna lain pesawat pejuang FA-50/T-50 daripada varian terdahulu di Asia Tenggara adalah Thailand (14 buah T-50), Filipina (12 buah FA-50 dan Indonesia (22 buah T-50)

Sebagaimana dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM antaranya bakal dilengkapkan dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon Intelligence & Space.

Poland yang memperolehi pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 turut melengkapkan pesawat itu dengan radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon itu.

FA-50

Maklumat diperolehi oleh Defence Security Asia sebelum ini mengesahkan bahawa pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”.

Varian pesawat FA-50 Block 20 sebelum ini juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “ Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...