Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas B-2 Spirit, Amerika Kini Gantung Operasi Pesawat F-35 Pula

Pergantungan operasi sebahagian daripada pesawat pejuang F-35 itu merupakan pergantungan yang kedua di dalam tempoh terdekat membabitkan pesawat kombat negara itu selepas tindakan yang sama terhadap pesawat pengebom strategik, B-2 Spirit pada minggu lepas.

0 4,077

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Amerika Syarikat bertindak menggantung operasi sebahagian daripada pesawat F-35 miliknya berikutan insiden yang menimpa sebuah pesawat F-35B VSTOL (Vertical Short Take-Off Landing) di pangkalan udara di Texas pada 15 Disember yang lalu.

Dalam insiden terbabit, juruterbang terbabit berjaya menggunakan kerusi anjal dan terselamat.

Ia merupakan pergantungan operasi pesawat kombat kedua dalam tempoh terdekat oleh tentera Amerika Syarikat selepas ia mengambil tindakan yang sama terhadap pesawat pengebom strategik B-2 Spirit minggu lepas selepas pesawat bernilai di antara US$1 bilion hingga US$2 bilion itu melakukan pendaratan cemas di sebuah pengkalan udara.

Video mengenai insiden membabitkan pesawat F-35B di Naval Air Station Joint Reserve Base di Fort Worth, Texas telah viral di dalam media sosial.

Keputusan untuk menggantung operasi sebahagian pesawat F-35B itu dibuat oleh Pejabat Program Bersama F-35 yang mengatakan disebabkan risiko akibat insiden yang berlaku itu, pesawat pejuang generasi kelima itu akan digantung sekurang-kurangnya sehingga awal tahun depan.

 

Menurut pejabat itu, sebahagian daripada pesawat pejuang itu akan terus digantung sehingga siasatan selesai dijalankan.

Pejabat itu turut menyatakan bahawa pergantungan operasi itu melibatkan kesemua varian pesawat F-35.

Beberapa hari lalu, Tentera Udara Israel turut mengumumkan tindakan mereka untuk menggantung operasi pesawat F-35 miliknya berikutan insiden membabitkan yang berlaku di Texas itu.

Israel menggunakan varian pesawat F-35A.

Pesawat pejuang F-35 di bina oleh syarikat Lockheed Martin dan datang di dalam tiga varian – A untuk kegunaan di landasan konvensional, B untuk varian VSTOL dan C untuk operasi di kapal pengangkut pesawat.

Sehingga kini, syarikat Lockheed Martin telah membina 875 buah pesawat F-35 untuk tentera Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya.

F-35B
Pesawat F-35B varian Vertical Short Take-Off Landing (VSTOL).

 

Sementara itu sumber mengatakan kepada portal pertahanan antarabangsa, Defense News bahawa siasatan awal menunjukkan kemungkinan insiden pada 15 Disember itu berpunca daripada enjin pesawat yang dibuat oleh syarikat Pratt and Whitney.

Ini merupakan pergantunan operasi pesawat kombat Amerika Syarikat dalam tempoh terdekat.

Minggu lepas, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) bertindak menggantung keseluruhan operasi pesawat pengebom strategik B-2 Spirit berikutan insiden yang berlaku pada 10 Disember lalu melibatkan sebuah pesawat itu di pangkalan udara Whiteman, Missouri.

Dalam insiden yang berlaku, pesawat pengebom strategik yang dianggarkan bernilai di antara US$1 bilion hingga US$2 bilion sebuah (RM4 bilion hingga RM8 bilion) mengalami “in-flight malfunction” sehingga menyebabkan pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di pangkalan udara Whiteman.

Akibat pendaratan kecemasan itu, beberapa bahagian pesawat terbabit terbakar tetapi tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada krew pesawat itu.

B-2
B-2 Spirit

 

Pada tahun lepas, sebuah pesawat pengebom B-2 Spirit juga terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat masalah teknikal.

Sebanyak 20 buah pesawat pengebom strategik itu berpengkalan di pangkalan udara Whiteman yang merupakan pangkalan utama bagi pesawat pengebom strategik itu.

Kesemua 20 buah pesawat pengebom itu dioperasikan oleh 509th dan 131st Bomb Wings Tentera Udara Amerika Syarikat. 

Pesawat pengebom strategik B-2 Spririt itu dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumman merupakan salah sebuah daripada tiga pesawat pengebom strategik yang dioperasi oleh Tentera Udara Amerika Syarikat.

Dua buah pesawat pengebom strategik Amerika Syarikat yang lain adalah Rockwell B-1 Lancer dan Boeing B-52 Stratofortress.  — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Comments
Loading...