Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jepun Naik Taraf F-15J Kepada Varian “Super Interceptors”

Jepun telah menganugerah kontrak kepada Boeing untuk mengintegrasi beberapa sistem penting di pesawat F-15J miliknya dalam usaha menaiktaraf pesawat  pejuangnya itu kepada varian "Super Interceptor.”

0 1,595

(DEFENCE SECURITY ASIA) Jepun akan membelanjakan US$470 juta (RM1.9 bilion) untuk menaiktaraf pesawat-pesawat F-15J miliknya ke varian “Super Interceptor” bagi memastikan kemampuan pesawat itu setanding dengan F-35 Lightning II yang bakal dimilikinya, supaya tentera udara negara Matahari Terbit itu dapat menangani pesawat-pesawat pejuang China dan Russia yang sering “mencabar” kedaulatan ruang udaranya.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Jepun telah menganugerah kontrak kepada Boeing untuk mengintegrasi beberapa sistem penting di pesawat F-15J miliknya dalam usaha menaiktaraf pesawat  pejuangnya itu kepada varian “Super Interceptor.”

Kerja-kerja menaiktaraf pesawat-pesawat F-15J Jepun kepada varian lebih berkemampuan itu akan dilakukan di kemudahan Boeing di St Louis, Amerika Syarikat dan dijangkakan siap pada tahun 2028.

F-15
Pesawat F-15J Tentera Udara Jepun.

 

Menurut jurucakap syarikat Boeing, pesawat-pesawat F-15 Super Interceptors milik Tentera Udara Jepun itu akan meningkatkan kemampuan tentera udara negara Matahari Terbit itu secara keseluruhannya dalam menangani cabaran keselamatan semasa.

Pesawat-pesawat F-15J milik Jepun dibuat under license oleh syarikat Mitsubishi Heavy Industries.

Pada 2019, Jepun dan Amerika Syarikat bersetuju untuk melaksanakan menaiktaraf 98 buah pesawat F-15 milik Jepun bernilai US$4.5 bilion.

F-15J

Jepun yang memiliki pertikaian wilayah dengan China melibatkan kepulauan Senkaku turut bersetuju untuk melengkapkan 68 buah pesawat F-15 miliknya dengan Long Range Anti-Ship Missile (LRASM) yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

Bagaimanapun pada Ogos tahun lepas, Jepun membatalkan hasrat itu kerana kos melengkapnya dengan peluru berpandu LRASM itu amat tinggi.

LRASM yang merupakan Precision Guided Munitions (PGM) dilengkapi dengan bahan peledak seberat 450kg dan mampu membedil sasaran sejauh di antara 500km hingga 1,000km bergantung kepada variannya.

F-15J
“LRASM”

 

Usaha-usaha menaiktaraf pesawat F-15J Jepun itu akan memastikan tentera udaranya mampu menangani sebarang cabaran keselamatan dan pertahanan semasa, terutama dengan negara jirannya iaitu China dan Russia.

Diantara April hingga 30 November tahun lepas, pesawat-pesawat pejuang Jepun dikerah untuk memintas 643 pesawat tentera asing yang menghampiri ruang udaranya, menurut Tentera Jepun.

Daripada 643 pesawat yang dipintas itu, 486 adalah milik tentera China manakala 146 adalah milik tentera Russia.

F-15J
Pesawat F-15 “shadow” sebuah pesawat pengebom TU-95 “Bear” Russia berhampiran perairan miliknya.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Tentera Udara Amerika Syarikat memutuskan ia tidak akan menaiktaraf beberapa varian pesawat F-15 yang telah berusia, sebaliknya akan berbelanja untuk memperolehi pesawat-pesawat F-15EX yang merupakan varian pesawat pejuang itu yang terbaru.

Sebuah pesawat F-15EX dianggarkan bernilai US$87.7 juta (RM351 juta).

Pesawat pejuang F-15A mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Amerika Syarikat pada 1974. — DSA

 

 

Comments
Loading...