“Empat Pesawat Pejuang Rafale India Kena Jamming Oleh Sistem EW Tentera Pakistan”
“Jamming oleh aset-aset peperangan elektronik Pakistan telah menyebabkan sistem-sistem sensor, komunikasi dan radar pesawat-pesawat pejuang Rafale India itu gagal berfungsi. Serangan oleh aset-aset peperangan elektronik oleh Pakistan itu telah mengakibatkan pesawat-pesawat Rafale India terputus hubungan sesama mereka dan juga (terputus hubungan) pangkalan mereka di darat.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada malam di antara 29 dan 30 April lalu, empat buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India telah berlepas daripada pangkalan udara Ambala di di negeri Haryana menuju ke sempadan dengan Pakistan dengan kelajuan 1,200km sejam.
Menurut laporan media-media Pakistan, pesawat-pesawat pejuang Rafale India itu telah terbang sambil dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat Spice 2000 yang boleh membedil sasaran sejauh 200km.
Dilengkapi peluru berpandu udara-ke-darat Spice 2000, pesawat-pesawat pejuang Rafale India itu mampu membedil sasaran di dalam Pakistan walaupun masih kekal berada di ruang udara India.
Terbang laju menuju ke ruang udara Pakistan pada kegelapan malam dan ketinggian 40,000 kaki, sambil membawa peluru-peluru berpandu udara-ke-darat berbahaya, maka pesawat-pesawat pejuang Rafale India dikategorikan sebagai suatu ancaman.
Sebagaimana dinyatakan oleh media Pakistan dalam laporannya hari ini, sebelum pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 Rafale buatan Dassault Aviation itu sempat berbuat apa-apa, ia telah dipintas (jamming) oleh sistem peperangan elektronik milik tentera Pakistan.
“Jamming oleh aset-aset peperangan elektronik Pakistan telah menyebabkan sistem-sistem sensor, komunikasi dan radar pesawat-pesawat pejuang Rafale India itu gagal berfungsi. Serangan oleh aset-aset peperangan elektronik oleh Pakistan itu telah mengakibatkan pesawat-pesawat Rafale India terputus hubungan sesama mereka dan juga (terputus hubungan) pangkalan mereka di darat.”
Pada masa yang sama, Tentera Udara Pakistan turut mengerahkan pesawat-pesawat pejuang J-10C mereka untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang Rafale India itu.

Pesawat-pesawat pejuang J-10C Pakistan itu dilaporkan terbang sambil dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh Beyond Visual Range (BVR) PL-15 yang boleh membedil sasaran daripada kedudukan sejauh 300km.
Selain boleh membedil sasaran udara sejauh 300km, peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 itu juga boleh meluncur selaju Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA).
Baru-baru ini, laporan menyatakan bahawa China telah mempercepatkan penghantaran peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 kepada Pakistan, bagi membolehkan pesawat-pesawat pejuang negara sekutu Asia Selatannya itu seperti JF-17 dan J-10C berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang India seperti Rafale dan Su-30MKI.
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Disebabkan kegagalan sistem-sistem pesawat pejuang Rafale India itu berfungsi akibat serangan aset-aset peperangan elektronik Pakistan, maka mereka terpaksa berpatah-balik dan mendarat di Srinagar dan bukan di pangkalan udara di mana mereka berlepas iaitu di Ambala.
Sumber-sumber yang dipetik oleh media Pakistan juga menyatakan bahawa selepas kegagalan pada malam di antara 29 hingga 30 April, Tentera Udara India cuba melakukan tindakan yang sama pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun cubaan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India itu terbantut selepas mengetahui terdapatnya kira-kira 50 buah pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan berada di ruang udara Pakistan ketika mereka cuba melakukan perkara yang sama.

“Namun sebaik sahaja maklumat risikan mengenai perkara itu (tindakan pesawat pejuangTentera Udara India) diterima, Pakistan segera mengerahkan antara 40 hingga 50 buah pesawat ke udara, termasuk F-16, J-10C dan JF-17.Tindakan pantas ini telah memaksa Tentera Udara India (IAF) untuk membatalkan rancangannya,” menurut media Pakistan.
Insiden yang berlaku di antara 29 dan 30 April itu turut disahkan oleh Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Muhammad Asif yang menyatakan selepas kejayaan aset-aset peperangan elektronik negara itu memintas (jamming) pesawat pejuang Rafale India itu, tiada lagi percubaan provokatif daripada pesawat Tentera Udara India.
“Empat pesawat pejuang Rafale dari India telah berjaya diganggu (jamming) oleh pasukan pertahanan Pakistan. Selepas itu, tiada sebarang tindakan lanjut daripada pihak India. Kita tidak boleh mengatakan ancaman daripada India telah berkurangan,” kata beliau.
Pada ketika ini, Tentera Udara Pakistan memiliki sekitar 75 buah pesawat pejuang F-16, termasuk varian Block 15 dan Block 52, yang terkenal dengan keupayaan serangan tepat dan sistem avionik moden.
Pesawat ini dianggap sebagai antara aset paling bernilai dalam inventori Tentera Udara Pakistan kerana keupayaannya beroperasi dalam pelbagai misi, termasuk pertahanan udara, serangan darat dan pencegahan strategik.
Selain itu, Tentera Udara Pakistan turut memiliki pesawat pejuang JF-17 Thunder, yang dibangunkan bersama oleh Pakistan dan China.
Kini, terdapat lebih daripada 145 buah pesawat pejuang JF-17 dalam pelbagai varian (Block I, II dan III) yang beroperasi secara aktif, dan pesawat ini menjadi tulang belakang kepada rancangan modenisasi Tentera Udara Pakistan.

Versi terbaharunya, JF-17 Block III, dilengkapi dengan radar AESA, kemampuan BVR (Beyond Visual Range) yang lebih baik, serta sistem peperangan elektronik terkini.
Tentera Udara Pakistan juga mengoperasikan kira-kira 36 buah pesawat pejuang J-10C, pesawat tempur generasi 4.5 buatan China yang mula diperkenalkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan pada tahun 2022.
Pesawat pejuang ini dilengkapi dengan radar AESA, sistem peperangan elektronik moden, dan mampu membawa peluru berpandu udara-ke-udara seperti PL-15 (Beyond Visual Range) dan PL-10 (Within Visual Range), menjadikannya setara dengan pesawat-pesawat tempur canggih di rantau ini.
Selain daripada itu, Pakistan masih mengoperasikan pesawat pejuang Mirage III dan Mirage V buatan Perancis, walaupun ia sudah berusia lebih 40 tahun.
Namun, sebahagian daripada pesawat-pesawat ini telah dinaiktaraf secara tempatan di Kompleks Aeronautik Pakistan (PAC) untuk terus kekal relevan dalam operasi udara.
Bagi tujuan latihan dan sokongan, Tentera Udara Pakistan juga mengoperasikan pesawat FT-7, Karakorum-8 (K-8) dan Super Mushshak, yang turut digunakan untuk latihan juruterbang dan misi pengawasan ringan.
Pada masa yang sama, Tentera Udara Pakistan juga memiliki sehingga sembilan buah pesawat amaran awal (Airborne Early Warning and Control – AEWC) Saab 2000 “Erieye”.

Pesawat amaran awal Saab 2000 Erieye milik Pakistan menggunakan sistem radar AESA (Active Electronically Scanned Array) yang memberikan ia keupayaan pengesanan objek-objek pada jarak sejauh 450km.
Berbanding dengan seterunya, India, keupayaan Tentera Udara Pakistan dalam bilangan pesawat-pesawat amaran awal (AEWC) adalah jauh mengatasi bilangan pesawat-pesawat AEWC yang dimiliki oleh Tentera Udara India.
Pada ketika ini, Tentera Udara India hanya memiliki tiga buah pesawat amaran awal IL-76 Phalcon yang dilengakapi dengan radar dan komponen milik Israel dan dua buah pesawat amaran awal “NETRA” yang dibangunkan oleh industri pertahannya sendiri.
Laporan daripada media pertahanan India menyatakan bahawa pesawat-pesawat amaran awal Saab 2000 Erieye telah memberikan kelebihan kepada pesawat pejuang Pakistan berbanding kepada pesawat pejuang India terutamanya dalam aspek pertempuran udara.
— DEFENCE SECURITY ASIA