Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Sumbangan” Penting Malaysia Rintis Kejayaan SpaceX, Elon Musk

Boleh dikatakan bahawa Malaysia-lah yang telah memberikan peluang pertama kepada Musk untuk membina kekayaan menerusi syarikat teknologi angkasa lepas SpaceX, lama sebelum pembabitan beliau dengan gergasi kenderaan elektrik, Tesla, Twitter (kini dikenali X) dan pelbagai entiti perniagaan lain.

0 3,673

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Lama sebelum dunia mengenali orang terkaya dunia, Elon Musk, lelaki berusia 52 tahun itu dan dianggar memiliki harta berjumlah US$242 bilion (RM1.08 trillion) telah pun berurusan dengan Malaysia.

Malah, boleh dikatakan bahawa Malaysia-lah yang telah memberikan peluang pertama kepada Musk untuk membina kekayaan menerusi syarikat teknologi angkasa lepas SpaceX, lama sebelum pembabitan beliau dengan gergasi kenderaan elektrik, Tesla, Twitter (kini dikenali X) dan pelbagai entiti perniagaan lain.

SpaceX yang diasaskan oleh Musk pada 2002 merupakan syarikat milik persendirian yang  merekabentuk, membina dan melancarkan roket serta kenderaan angkasa lepas dalam usaha merevolusi teknologi angkasa lepas.

Elon Musk
Satelit RazakSat berada di dalam roket Falcon 1 SpaceX sebelum pelancaran. (FB Dr Ahmad Sabirin)

 

Dari sebuah syarikat yang kecil, SpaceX kini menjana pendapatan tahun sebanyak US$2 bilion (RM9 bilion) setiap tahun.

Bagaimanapun tidak ramai rakyat Malaysia dan luar yang mengetahui bahawa satelit milik Malaysia, RazakSat merupakan satelit yang pertama dan satu-satunya satelit beroperasi yang dilancar ke orbit oleh roket Falcon 1 milik syarikat Musk, SpaceX.

Menurut bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Astronautics Technology Sdn Bhd (ATSB) Dr Ahmad Sabirin Arshad menerusi tulisannya dalam akaun Facebooknya baru-baru ini, syarikat tempatan itu mahu SpaceX menunjukkan kemampuan roketnya terlebih dahulu sebelum ia melancarkan RazakSat ke orbit.

Beliau memegang jawatan di ATSB itu sejak 1997 hingga 2019.

Terdapat beberapa kegagalan sebelum pelancaran RazakSat kerana ia adalah roket pertama yang dibangunkan oleh SpaceX milik Musk.

Elon Musk
Dr Ahmad Sabirin dengan Elon Musk selepas perjanjian antara ATSB dan SpaceX di El Segundo, Los Angeles, CA. (FB Dr Ahmad Sabirin)

 

“Walaupun berhadapan dengan beberapa kegagalan, kami tidak ‘meninggalkan’ (abandon) SpaceX milik Elon Musk,” kata Ahmad Sabirin dan menambah bahawa ATSB hanya bersetuju untuk melancarkan RazakSat selepas kejayaan keempat roket milik SpaceX itu,

“Kami merupakan pelanggan komersial yang pertama untuk SpaceX milik Musk dan perbincangan dengan beliau bermula dengan panggilan telefon pada Hari Krismas 2003. Kami melawat syarikatnya yang kecil dan beliau memberi jaminan tentang komitmennya untuk membantu melancarkan RazakSat ke Near Equatorial Orbit (NEO),” kata beliau.

Menurut Ahmad Sabirin, ATSB juga membangunkan alatan angkasa lepas dipanggil  “Small Payload Adapter and Separation System” yang digunakan di roket Falcon 1 milik SpaceX  itu. 

Pada 03:35 Coordinated Universal Time (UTC) 14 Julai 2009 bertempat di Pulau Omelek di Kwajalein Atoll, satelit RazakSat milik Malaysia telah berjaya dilancarkan ke NEO menggunakan roket milik syarikat “kecil” SpaceX milik Musk itu.

RazakSat adalah satelit pemantau bumi yang membawa kamera resolusi tinggi milik Malaysia.

Elon Musk
RazakSat

 

Ia telah direkabentuk dan dibina oleh ATSB, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), perintis dan ketua dalam bidang rekabentuk dan pembinaan satelit di Malaysia.

Pelancaran RazakSat adalah pencapaian yang bersejarah untuk syarikat SpaceX milik Musk dan Malaysia.

Kejayaan itu telah membantu merintis pembangunan roket Falcon 9 milik SpaceX, yang kini merupakan kenderaan pelancar paling berjaya di dunia.

“Secara tidak langsung Malaysia menerusi pelancaran pertama RazakSat itu telah membantu Elon Musk untuk mencapai kejayaan di SpaceX pada hari ini,” kata Ahmad Sabirin.

Elon Musk
Pelancaran roket Falcon 9 SpaceX.

 

Mungkin sudah tiba masa kata beliau, untuk Malaysia mewujudkan kembali kerjasama pelbagai teknologi seperti satelit Starlink dan Tesla dalam membangunkan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Ahmad Sabirin kini adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad, jawatan yang disandangnya sejak tahun 2021.  — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...