Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pencerobohan Dron Korea Utara “Memalukan” Tentera Korea Selatan

Dalam insiden yang disifatkan sebagai “amat memalukan” tentera Korea Selatan itu, lima buah dron Korea Utara menceroboh Korea Selatan tanpa dikesan oleh sistem pertahanan udara negara itu. Empat daripada dron yang berukuran 3 meter panjang itu berlegar selama beberapa jam di Pulau Ganghwa manakala sebuah lagi di ibu kota Seoul, dipercayai mengambil gambar istana presiden.

0 2,923

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kegagalan sistem pertahanan udara Korea Selatan mengesan pencerobohan lima buah dron Korea Utara Isnin lalu bukan sahaja menggemparkan rakyat negara itu tetapi juga menimbulkan pelbagai persoalan terhadap tahap kesiapsiagaan tentera negara itu dalam berhadapan dengan ancaman rejim Pyongyang.

Mereka mempersoalkan mengapa sistem pertahanan udara moden Korea Selatan yang dibina dengan kos berbilion-bilion dollar Amerika itu telah gagal mengesan pencerobohan dron-dron berteknologi rendah Korea Utara itu.

Rakyat Korea Selatan mahukan jawapan daripada pihak tentera tentang kegagalan sistem pertahanan udara mereka dalam mengesan dron-dron Korea Utara itu.

Ternyata isu mengenai pencerobohan dron-dron itu telah menimbulkan persoalan demi persoalan daripada rakyat Korea Selatan tentang kemampuan tentera negara itu dikala Pyongyang meningkatkan lagi kemampuan peluru berpandu balistik mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol telah secara terbuka mengkritik tentera negara itu di atas kegagalan itu dan reaksi susulan dalam menangani ancaman negara jiran mereka itu.

Dron
Tentera Korea Selatan meninjau kehadiran dron Korea Utara

 

“Insiden itu (pencerobohan dron Korea Utara) menunjukkan betapa kurangnya tahap kesiapsiagaan dan latihan oleh pihak tentera sejak beberapa tahun lepas dan membuktikan tentang perlunya kesiapsiapaan serta latihan yang lebin intensif,” katanya dalam satu mesyuarat jemaah menteri Korea Selatan.

Beliau menyalahkan tahap kesiapsiagaan tentera Korea Selatan yang rendah itu hasil daripada tindakan presiden negara itu sebelum ini yang cuba berbaik-baik dengan Korea Utara dan perjanjian dengan Pyongyang pada 2018 yang mengharamkan aktiviti mengancam di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Menurutnya, pihak tentera mempunyai rancangan untuk menubuhkan sebuah unit dron untuk memantau kemudahan-kemudahan tentera Korea Utara dan rancangan itu akan dipercepatkan.

Seoul akan membelanjakan kira-kira US$400 juta (RM1.6 bilion) bagi memastikan unit dron itu akan dilengkapi dengan dron-dron canggih bagi meningkatkan kemampuan pemantauan tentera Korea Selatan itu.

Dalam tindak balas segera terhadap pencerobohan dron Korea Utara yang memalukan Korea Selatan, Seoul turut menerbangkan beberapa buah dron tentera ke dalam Korea Utara.

Dron
Sistem pertahanan udara Korea Selatan

 

Dalam insiden yang disifatkan sebagai “amat memalukan” tentera Korea Selatan itu, lima buah dron Korea Utara menceroboh Korea Selatan tanpa dikesan.

Empat daripada dron berukuran kira-kira 3 meter panjang berlegar selama beberapa jam di Pulau Ganghwa manakala sebuah lagi di ibu kota Seoul.

Tentera Korea Selatan mengerah pesawat pejuang termasuk F-15K dan helikopter bersenjata Apache AH-64D, selain melepaskan kira-kira 100 das tembakan dalam cubaan mereka untuk menjatuhkan dron-dron Korea Utara itu tetapi gagal.

Sebuah daripada dron itu berjaya kembali ke Korea Utara, manakala kedudukan empat yang lain masih tidak diketahui sehingga kini.

Sebuah pesawat pejuang ringan KA-1 Tentera Udara Korea Selatan terhempas ketika dalam misi memburu dron-dron Korea Utara itu.  

Dron
Dron Korea Utara.

 

Pihak tentera Korea Selatan telah memohon maaf tentang kegagalan mereka menangani insiden itu, mengatakan dron-dron terbabit adalah terlalu kecil untuk dipintas.

Tentera negara itu juga mengatakan bahawa ia tidak boleh menangani ancaman itu dengan lebih agresif kerana bimbangkan keselamatan awam.

Ia juga memberikan jaminan akan meningkatkan kemampuan menangani ancaman dron menerusi penambahan aset-aset, jamming dan teknologi radar selain mengadakan lebih banyak latihan untuk mengendalikan ancaman dron.

Dron
Tentera Korea Utara turut mengerah helikopter bersenjata dalam memburu lima buah dron Korea Utara yang menceroboh

 

“Ianya adalah amat dikesali kerana kita (tentera) tidak dapat menembak jatuh dron-dron itu dalam tempoh sepatutnya dan berkesan kerana keselamatan awam. Oleh kerana itu, kekurangan tahap kesiapsiagaan tentera telah menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat awam,” menurut seorang pegawai kanan tentera Korea Selatan ketika sesi penerangan kepada media negara itu sejurus selepas insiden terbabit.

Kali terakhir dron milik Korea Utara menceroboh Korea Selatan adalah pada 2017, dimana bangkai dron itu ditemui di sebuah lokasi berbukit di sempadan kedua-dua negara itu. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

 

Comments
Loading...