Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Dron Hezbollah Bebas Masuki Dan Rakam Lokasi Sensitif Tentera Yahudi, Israel Malu Besar

(VIDEO) Apa yang amat menakjubkan adalah dron milik Hezbollah yang tidak dinyatakan jenis itu bukan sahaja  memasuki Israel tanpa dikesan tetapi ia bebas terbang di merata negara itu dan merakam pelbagai kedudukan sensitif pertahanan negara itu. Ia termasuklah lokasi sistem pertahanan udara Iron Dome dan juga pangkalan tentera laut negara itu di Haifa.

0 1,299

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu insiden yang disifatkan oleh media-media Israel sebagai amat memalukan bagi negara itu dan angkatan tenteranya, Hezbollah telah mengeluarkan video sepanjang sembilan minit 31 saat diambil dronnya menunjukkan pelbagai lokasi keselamatan yang sensitif di Israel.

Dron Hezbollah itu telah menayangkan video diambilnya secara langsung.

Apa yang amat menakjubkan adalah dron milik Hezbollah yang tidak dinyatakan jenis itu bukan sahaja  memasuki Israel tanpa dikesan tetapi ia bebas terbang di merata negara itu dan merakam pelbagai kedudukan sensitif pertahanan negara itu.

Ia termasuklah lokasi sistem pertahanan udara Iron Dome dan juga pangkalan tentera laut negara itu di Haifa.

 Dron Hezbollah itu juga bebas terbang merakam lokasi-lokasi sensitif di Israel tanpa sesekali diancam oleh sistem pertahanan udara negara Yahudi itu yang sering digembar-gemburkan oleh penyokongnya sebagai di antara yang terbaik di dunia.

Israel dan media-media negara itu sering mendabik dada bahawa ruang udara negara itu adalah kebal dan tidak boleh “ditembusi” sewenang-wenangnya kerana ia dilindungi dengan payung sistem pertahanan udara terdiri daripada Iron Dome, David Sling dan akhirnya Arrow.

Selain sistem pertahanan udara, ruang udara Israel itu juga dikawal oleh pelbagai jenis radar dan sistem penderia lain yang didakwa berkeupayaan tinggi dan amat mustahil untuk ditembusi oleh musuh-musuhnya.

Ruang udara Israel bukan sahaja dilindungi oleh radar-radar tentera negara itu, tetapi Amerika Syarikat turut menempatkan radar berkuasa tingginya di sebuah lokasi dinamakan “Site 52” bertujuan melindungi negara Yahudi.

Tindakan dron Hezbollah itu sememangnya telah meruntuhkan segala tanggapan tentang “kekebalan” sistem pertahanan Israel itu.

Selain lokasi sistem pertahanan udara Iron Dome, dron Hezbollah itu juga mengambil video lokasi sistem pertahanan udara David Sling, kapal-kapal korvet kelas-Saar di pangkalannya di Pelabuhan Haifa dan pangkalan udara yang menempatkan pelbagai pesawat kombat Tentera Udara Israel juga di Haifa.

Dron

Dron Hezbollah itu turut mengambil video pusat penyimpanan minyak dan bahan kimia Israel, empangan dan pelbagai pangkalan tentera Israel.

Kejayaan dron Hezbollah memasuki Israel dan merakam pelbagai lokasi sensitif ketenteraan dan awam negara itu tanpa dikesan itu disifatkan oleh pemerhati sebagai suatu “amaran” kepada tentera Yahudi yang akhir-akhir ini mengancam untuk menyerang Lubnan dan mengembalikannya ke “zaman batu” sekiranya peperangan di antara mereka berlaku.

Dengan kejayaan dron Hezbollah bebas memasuki ruang udara Israel tanpa dikesan itu menimbulkan persoalan tentang pihak manakah, Hezbollah atau  Israel yang akan kembali ke “zaman batu” sekiranya peperangan di antara kedua-dua pihak tercetus.

Sepanjang lebih lapan bulan konflik di antara Hezbollah dan Israel berlaku, kumpulan bersenjata disokong oleh Iran  telah menunjukkan kemampuannya dalam menangani segala jenis serangan oleh tentera Israel.

Sepanjang tempoh itu, pejuang-pejuang Hezbollah telah berjaya memusnahkan pelbagai kompleks radar dan sistem penderia milik Israel di sepanjang sempadan Israel dan Lubnan, yang memungkinkan tentera Israel kini diibaratkan seperti individu yang “pekak dan buta.”

Dron

 

Dron

Salah satu contohnya adalah Pangkalan Tentera Meron yang terletak di puncak Gunung Jarmak, yang disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.

Pangkalan tentera Meron itu dioperasikan oleh Batallion ke-11 506 Tentera Udara Israel.

“Pangkalan tentera Meron Israel itu adalah satu-satunya pusat pengurusan, pemantauan dan kawalan udara di utara dan pihak tentera Israel tidak mempunyai alternatif,” kata kumpulan bersenjata itu beberapa bulan lalu.

Pangkalan tentera Meron telah diserang beberapa kali oleh pejuang Hezbollah, menyebabkan kerosakan besar terhadap peralatan dan asetnya yang sensitif termasuk radar-radar berkuasa tinggi. — DSA

 

 

Comments
Loading...