Dron “Hermes 900” Buatan Israel Milik Tentera Filipina Terhempas
Filipina dipercayai membelanjakan US$175 juta (RM700 juta) untuk memperolehi kira-kira sembilan buah pesawat tanpa pemandu Hermes 900 dan empat buah Hermes 450 serta segala peralatan sokongan, alat ganti dan ground control station.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) buatan Israel milik Tentera Udara Filipina terhempas pagi semalam ketika melakukan penerbangan di Cagayan del Oro, sebuah bandar yang terletak di utara Mindanao, selatan negara itu.
Pesawat tanpa pemandu buatan Israel itu dikenalpasti adalah daripada jenis Hermes 900 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan negara itu, Elbit Systems Limited.
Filipina dipercayai membelanjakan US$175 juta (RM700 juta) untuk memperolehi kira-kira sembilan buah pesawat tanpa pemandu Hermes 900 dan empat buah Hermes 450 serta segala peralatan sokongan, alat ganti dan ground control station.
Pesawat Tanpa Pemandu Hermes 900 dan 450 dikategorikan sebagai Medium Altitude Long Endurance (MALE).
Menurut Tentera Udara Filipina, pesawat tanpa pemandu Hermes 900 itu telah terhempas di sebuah kawasan semak-samun di bandar itu tidak lama selepas ia kehilangan segala bentuk komunikasi dengan ground control station yang mengawalnya.
“Selepas berlepas, pesawat tanpa pemandu itu telah terbang lima batu nautika ke timur Lapangan Terbang Lumbia di bandar Cagayan del Oro dan terus terbang ke ketinggian 10,000 kaki. Selepas berpuashati dengan penerbangan, pesawat mula turun ke ketinggian 5,000 kaki di timur lapangan terbang.”
“Kira-kira 11.46 pagi, komunikasi dengan pesawat tanpa pemandu itu telah terputus,” kata Tentera Udara Filipina dalam satu kenyataan.
Ia juga berkata akan melakukan siasatan yang mendalam untuk mengetahui punca kejadian itu.
Pesawat Tanpa Pemandu Hermes itu boleh melakukan tugasan pemantauan di darat dan laut dan boleh terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan selama 36 jam tanpa henti.
Tentera Udara Filipina menggunakan pesawat-pesawat tanpa pemandu Hermes 900 dan Hermes 450 untuk pelbagai misi pemantauan termasuk mengesan anggota kumpulan pengganas yang bersembunyi di kawasan hutan atau bandar.
Kemungkinan besar fokus utama operasi pesawat tanpa pemandu Hermes buatan Israel milik Filipina itu adalah di selatan Filipina yang dibelenggu dengan beberapa masalah keselamatan.
Ia juga boleh digunakan untuk pemantauan kawasan pertempuran dan real-time surveillance serta maritime surveillance di Laut China Selatan serta di kawasan-kawasan perbatasan Filipina dengan Indonesia dan Malaysia.
Pesawat tanpa pemandu Hermes 900 juga boleh digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan negara itu.
Pesawat tanpa pemandu Hermes milik Tentera Udara Filipina itu diletakkan di bawah 303rd Aerial Reconnaissance Group of the 300th Air Intelligence and Security Wing. — DSA
Comments are closed.