Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dakwaan Mengatakan Lembah Panjshir Telah Jatuh Selepas Pertempuran Sengit

Bagaimanapun dakwaan mengatakan bahawa Lembah Panjshir telah jatuh ke tangan Taliban dinafikan oleh pihak Northern Alliance.

0 1,467

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan daripada sumber dan media-media tempatan mendakwa bahawa Lembah Panjshir (Panjshir Valley), satu-satunya wilayah yang berada di luar kawalan Taliban, telah jatuh ke tangan kumpulan bersenjata itu.

Dakwaan tentang kejatuhan  Lembah Panjshir itu menyusul selepas pertempuran sengit antara pejuang-pejuang Northern Alliance yang menggelar diri mereka “Mujahideen” dengan ribuan anggota Taliban yang mengelilingi lembah itu.

Bagaimanapun dakwaan mengatakan bahawa Lembah Panjshir telah jatuh ke tangan Taliban dinafikan oleh pihak Northern Alliance.

Pada ketika ini, terdapat laporan mengatakan pemimpin Northern Alliance, Ahmad Massoud dan Amrullah Saleh telah meninggalkan Lembah Panjshir, tetapi dakwaan itu dinafikan oleh penyokong Northern Alliance.

Amrullah Saleh merupakan bekas Naib Presiden Afghanistan ketika pentadbiran Presiden Ashraf Ghani.

Panjshir
Pejuang Northern Alliance

 

Sementara itu, Ahmad Massoud merupakan anak lelaki tunggal kepada bekas pemimpin Northern Alliance digelar “Lion of Panjshir”, Ahmad Shah Massoud yang mati dibunuh beberapa bulan sebelum serangan Al-Qaeda terhadap bangunan World Trade Centre, New York pada 11 Sept 2001.

Penyokong-penyokong Northern Alliance mengatakan kedua-dua pemimpin mereka masih lagi berada di Lembah Panjshir, memimpin perjuangan menentang Taliban.

Media-media yang pro kepada Northern Alliance turut menyiarkan kenyataan daripada Ahmad dan Amrullah yang mengatakan bahawa mereka masih berada Lembah Panjshir dan menafikan kawasan itu telah berjaya ditawan oleh Taliban.

Ahmad dalam satu kenyataan berkata, dakwaan bahawa Lembah Panjshir telah jatuh ke tangan Taliban merupakan suatu propaganda untuk menutup kekalahan dialami mereka dalam pertempuran dengan pejuang-pejuang Mujahideen.

Panjshir
Ahmad Massoud

 

Beliau juga berkata dakwaan bahawa Lembah Panjshir telah jatuh ke tangan Taliban itu berpunca daripada Pakistan yang didakwa merupakan penyokong kuat Taliban

Sementara itu di ibu negara Afghanistan, Kabul, penyokong Taliban melepaskan tembakan ke udara bagi menyambut berita tentang dakwaan “kejatuhan” Lembah Panjshir ke tangan Taliban serta kekalahan pejuang-pejuang Northern Alliance.

Kejatuhan Lembah Panjshir ke tangan Taliban turut disahkan jurucakap kumpulan itu, Bilal Karimi yang dipetik oleh stesen televisyen berita Turki, TRTWorld.

Sejak beberapa hari lepas, Taliban telah meningkatkan serangan mereka terhadap Lembah Panjshir daripada setiap penjuru.

Pihak Northern Alliance mendakwa mereka berjaya membunuh ribuan anggota Taliban dalam beberapa pertempuran di sekitar Lembah Panjshir.

Panjshir
Pejuang Northern Alliance

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...