Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bagaimana 4 Operatif CIA Terbunuh Dalam Misi Pengintipan Di Luzon, Filipina

Sasaran "misi berbahaya" keempat-empat operatif CIA itu adalah sebuah pulau terpencil di utara Luzon, di mana CIA percaya bahawa tentera dan kapal-kapal China sedang berusaha untuk menguasainya.

440

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tanpa diketahui ramai, agensi perisikan Amerika Syarikat, Central Intelligence Agency (CIA) kehilangan empat anggotanya ketika melaksanakan satu misi berbahaya di Pulau Luzon, Filipina sekitar tahun 2008.

Apa yang menarik dalam satu pendedahan oleh media luar negara, Malaysia turut dinamakan dalam misi membabitkan operatif CIA itu.

Malaysia terlibat kerana keempat-empat operatif CIA itu yang dikenali dengan nama, Stephen Stanek, Michael Perich, Jamie MaCormick dan Daniel Meeks belayar ke lokasi misi itu di Filipina daripada Malaysia menggunakan bot sepanjang 40 meter.

Bot itu dimiliki oleh Bahagian Maritim agensi perisikan itu.

Penyamaran yang digunakan adalah, mereka telah diminta oleh pelanggan Jepun supaya menghantar bot berkenaan ke Filipina.

CIA
Dua daripada empat operatif CIA yang terbunuh dalam misi di Pulau Luzon, Filipina itu.

 

Mereka memiliki segala dokumen tentang bot berkenaan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun sasaran sebenar keempat-empat operatif CIA itu adalah sebuah pulau terpencil di utara Luzon, di mana dipercayai tentera dan kapal-kapal China telah menguasainya.

Pulau itu telah menjadi pertelagahan di antara negara Komunis itu dengan Filipina di dalam isu Laut China Selatan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Amerika Syarikat memerhati dengan teliti gelagat China di Laut China Selatan di mana negara komunis itu ghairah menambak terumbu karang dan atoll untuk menjadikannya pulau buatan manusia bagi meluaskan lagi wilayahnya.

Stanek dan Perich merancang untuk menyelam ke pulau sasaran itu menggunakan peralatan skuba komersial.

Penggunaan peralatan skuba komersial dan bukan peralatan skuba tentera bertujuan mengelak mereka disyaki sebagai anggota pasukan khas sekiranya ditangkap oleh anggota tentera China.

CIA

Kedua-dua penyelam itu merancang meletak “pod” menyerupai batu di bawah permukaan air.

“Pod” itu mengandungi peralatan yang sensitif bertujuan memantau pancaran signal elektronik milik kapal-kapal tentera laut milik China yang lalu-lalang berhampiran.

Selepas melaksanakan misi khas itu, keempat-empat operatif CIA itu sepatutnya  ke Jepun sebelum kembali semula ke pulau du utara Luzon itu untuk mengambil  “pod” rahsia itu untuk mengkaji isi kandungannya.

Bagaimanapun sebelum keempat-empat mereka sempat melaksanakan misi itu, Ribut Taufan Higos yang sedang melanda Filipina ketika itu telah menggagalkan usaha mereka.

Bot sepanjang 40 meter dinaiki mereka bukanlah saingan kepada angin kencang ribut taufan itu yang menenggelamkannya tanpa sebarang belas kasihan.

 

CIA telah meminta kapal tentera laut Jepun melakukan usaha mencari dan menyelamat keempat-empat operatif CIA itu  tetapi mereka tidak menemui sebarang kesan bot yang malang itu atau jaket penyelamat.

Sebenarnya Stanek sebagai ketua kepada misi itu, mengetahui tentang laluan ribut taufan itu tetapi menjangkakan mereka mampu mengelaknya dan meneruskan misi berbahaya itu.

Tetapi jangkaannya salah, bot mereka sebenarnya berada ditengah-tengah laluan ribut taufan Higos itu dan segalanya telah menjadi sejarah.

Keempat-empat mereka terkorban dalam satu lagi misi gagal CIA.

Mereka menjadi antara 139 operatif CIA yang terkorban ketika melaksanakan misi rahsia diserata dunia.

Beberapa bulan selepas kematian mereka, CIA membawa anggota keluarga keempat-empat operatif itu ke Washington di mana agensi perisikan itu buat pertama kalinya mendedahkan kematian mereka.

Ramai dikalangan anggota keluarga mereka tidak dapat menerima kenyataan, tetapi itulah resmi kehidupan seorang operatif perisikan, rahsia (secrecy) adalah segala-galanya termasuk kematian.

CIA

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.