China Segera Kerah Peluru Berpandu Udara-ke-Udara PL-15 ke Pakistan, Lengkapi JF-17 Hadapi India
Laporan menyatakan bahawa China telah mempercepatkan penghantaran peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 kepada Pakistan, bagi membolehkan negara sekutu Asia Selatannya itu berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang India seperti Rafale dan Su-30MKI.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam keadaan Pakistan India berada di ambang peperangan berikutan insiden yang berlaku di Pahalgam, Jammu dan Kashmir yang mengorbankan 26 orang baru-baru ini, tentera Pakistan telah mengeluarkan gambar-gambar pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 buat pertama kali.
Bukan itu sahaja, gambar-gambar dikeluarkan oleh tentera Pakistan juga menunjukkan pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan bersama oleh Pakistan dan China dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat, PL-10.
Gambar-gambar tersebut dikeluarkan oleh akaun platform X, STRATCOM Bureau.
Laporan menyatakan bahawa China telah mempercepatkan penghantaran peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 kepada Pakistan, bagi membolehkan negara sekutu Asia Selatannya itu berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang India seperti Rafale dan Su-30MKI.
Ia adalah respons China terhadap ketegangan yang semakin memuncak dalam hubungan di antara Islamabad dan New Delhi, sejurus selepas insiden yang berlaku di Pahalgam, yang terletak di wilayah Jammu dan Kashmir.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).

Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
PL-15 dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan sehingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh, sekali gus meningkatkan radius operasi tempur pesawat JF-17 miliknya.
Ia juga bakal mewujudkan cabaran taktikal yang serius kepada Angkatan Udara India (IAF), terutamanya bagi pesawat-pesawat tempur utama seperti Su-30MKI, Rafale, dan Mirage 2000, yang mungkin terpaksa mengubah taktik operasi udara masing-masing.
Keupayaan radar AESA pada PL-15, digabungkan dengan sistem pautan data dua hala, turut membolehkan Pakistan untuk melakukan serangan udara yang lebih tepat dan koordinasi tempur udara yang lebih baik serta berkesan.
Secara geopolitiknya, penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 pada JF-17 akan mengeratkan lagi hubungan ketenteraan Islamabad-Beijing, seterusnya memperkukuhkan posisi strategik Pakistan dalam menghadapi persaingan sengit dengan India serta mempengaruhi keseimbangan strategik serantau.

Dalam jangka panjang, pelaksanaan integrasi JF-17 dan PL-15 ini berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata udara yang lebih agresif antara Pakistan dan India, dengan kedua-dua negara mungkin akan meningkatkan pelaburan dalam sistem pertahanan udara moden dan teknologi anti-peluru berpandu bagi mengekalkan kelebihan strategik masing-masing.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 buatan China merupakan peluru berpandu jarak sederhana hingga jauh (BVRAAM) yang dilengkapi dengan sistem panduan radar aktif (active radar homing), mampu mengesan dan memintas sasaran pada jarak sehingga kira-kira 200 hingga 300 kilometer, bergantung pada profil penerbangan dan keadaan taktikal.
Ia menggunakan sistem pendorongan roket bahan api pepejal dua peringkat (dual-pulse solid-fuel rocket motor), membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang trajektori penerbangan bagi meningkatkan kebarangkalian memintas sasaran udara berprestasi tinggi seperti pesawat pejuang generasi kelima.
Dari segi teknologi pengesanan sasaran, PL-15 dilengkapi radar aktif AESA miniatur berfrekuensi tinggi yang mampu beroperasi secara autonomi, menjadikan peluru berpandu ini sukar untuk dielakkan oleh sistem pertahanan udara sedia ada.
Peluru berpandu ini juga mempunyai kemampuan pautan data dua hala (two-way datalink) yang membolehkan pembetulan trajektori secara real-time oleh pesawat pelancar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal di medan tempur.
Dengan panjang sekitar 4 meter, berat kira-kira 200 kilogram, serta kelajuan maksimum sekitar Mach 4, PL-15 dianggap sebagai salah satu ancaman terbesar kepada dominasi udara pihak lawan, termasuk menjadi pencabar langsung kepada peluru berpandu udara-ke-udara generasi terkini seperti AIM-120D AMRAAM dari Amerika Syarikat dan Meteor dari Eropah.

Sementara itu, peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat PL-10 merupakan sistem peluru berpandu moden yang dibangunkan oleh China, khusus untuk pertempuran jarak dekat atau dogfight dengan sasaran udara yang bergerak pantas.
Ia dilengkapi sistem panduan infra-merah (IR) generasi terkini dengan keupayaan pengesanan imej infra-merah (imaging infrared/IIR seeker), yang membolehkannya menjejak sasaran secara tepat walaupun dalam persekitaran dengan gangguan elektronik yang tinggi.
PL-10 mempunyai keupayaan ‘off-boresight’ yang tinggi, mampu dilancarkan pada sudut sasaran melebihi 90 darjah dengan bantuan sistem paparan helmet juruterbang (Helmet Mounted Display/HMD), sekali gus memberi kelebihan taktikal dalam pertempuran udara.
Peluru berpandu ini mempunyai panjang sekitar 3 meter, berat kira-kira 90 kilogram, dilengkapi kepala peledak bahan letupan fragmentasi berkuasa tinggi, dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 3.
Dikuasakan oleh motor roket bahan api pepejal, PL-10 memiliki jarak operasi efektif sehingga 20 kilometer, menjadikannya sebaris dengan peluru berpandu moden yang lain seperti AIM-9X Sidewinder dari Amerika Syarikat, ASRAAM dari United Kingdom, serta IRIS-T dari Eropah.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) daripada China.

Pada ketika ini, pengguna terbesar pesawat pejuang JF-17 Thunder adalah Tentera Udara Pakistan yang mengoperasikan kira-kira 140 buah pesawat pejuang itu termasuk varian terkininya JF-17 Block III dan pesawat pejuang itu turut dieksport ke beberapa negara lain seperti Myanmar dan juga Nigeria.
Pesawat pejuang JF-17 Thunder ialah pesawat pejuang generasi ke-empat yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China untuk memenuhi keperluan pertahanan kos efektif dan berkemampuan tinggi.
Ia dilengkapi dengan enjin Klimov RD-93 (varian MiG-29) yang mampu menghasilkan daya tujahan maksimum sehingga 49.4 kN (tanpa afterburner) dan 84.4 kN (dengan afterburner).
Pesawat pejuang ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga Mach 1.6 dan mempunyai jarak operasi sejauh 1,200 km, dengan radius tempur sekitar 700–800 km, bergantung kepada konfigurasi muatan.
Pesawat pejuang JF-17 mempunyai berat kosong sekitar 6,586 kg dan berat maksimum berlepas (MTOW) sehingga 12,700 kg.
Pesawat ini dilengkapi dengan tujuh hardpoints yang mampu membawa sehingga 3,600 kg pelbagai jenis senjata, termasuk peluru berpandu udara-ke-udara, udara-ke-darat, bom pintar, pod ECM, dan tangki bahan api luaran.
