Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Luluskan Undang-Undang Pastikan Kedaulatan Terhadap Laut China Selatan

Bagaimanapun undang-undang itu dijangka akan menghangatkan lagi pertelingkahan antara China dengan negara-negara Asia yang lain serta Amerika Syarikat terutamanya membabitkan pertikaian mengenai hak pemilikan sebahagian besar daripada Laut China Selatan.

0 1,788

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China telah meluluskan undang-undang baru yang akan memberi lebih banyak kuasa kepada agensi penguatkuasa maritimnya dalam memastikan kedaulatan Beijing terhadap perairan yang didakwa sebagai miliknya terutama Laut China Selatan.

Bagaimanapun undang-undang itu dijangka akan menghangatkan lagi pertelingkahan antara China dengan negara-negara Asia yang lain serta Amerika Syarikat membabitkan pertikaian mengenai hak pemilikan sebahagian besar daripada Laut China Selatan.

Undang-undang terbaru itu diluluskan oleh Kongres Kebangsaan Rakyat China, yang merupakan badan pembuat undang-undang paling tinggi negara itu pada 29 April lepas.

Ia dijangka akan dikuatkuasa pada 1 September depan, menurut Xinhua, yang merupakan agensi berita rasmi China.

Undang-undang terbaru China itu akan membenarkan agensi penguatkuasa keselamatan maritim negara itu yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan untuk memerintah mana-mana kapal asing meninggalkan perairan yang didakwa oleh Beijing sebagai miliknya sekiranya ia menjejaskan keselamatan kepada negara.

China

Agensi penguatkuasa keselamatan maritim China itu juga menghalang mana-mana daripada belayar di perairan miliknya, sekiranya ia tidak tertakluk kepada pelayaran “innocent” (tidak berbahaya) di dalam perundangan antarabangsa, lapor akhbar Japan Times.

Penggubalan undang-undang terbaru ini menyusul perlaksanaan Undang-Undang Pengawal Pantai yang membenarkan kapal-kapal pengawal pantai China bertindak termasuk melepaskan tembakan terhadap mana-mana kapal asing yang memasuki perairannya termasuk di kawasan yang didakwa sebagai miliknya.

Undang-undang Pengawal Pantai itu telah menghangatkan lagi pertikaian Beijing dengan negara-negara littoral Laut China Selatan serta Taiwan yang menduduki atoll di perairan yang strategik itu seperti Pulau Pratas.

Selain itu, undang-undang itu dikecam hebat oleh Jepun yang mempunyai isu tuntutan bertindih dengan China melibatkan Kepulauan Senkaku atau Diaoyu sebagaimana dipanggil oleh Beijing.

Beijing kerap menghantar kapal-kapal perangnya ke perairan berhampiran Senkaku untuk mencabar pemilikan Tokyo terhadap pulau-pulau itu.

Bagi menyokong sekutunya di Indo-Pasifik, Washington juga mengerahkan kapal-kapal perangnya untuk melakukan operasi FONOP (Freedom of Operations Navigation) terhadap kawasan-kawasan perairan yang didakwa Beijing sebagai milikinya tetapi tidak diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa.

Amerika Syarikat

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...