Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Suruh Indonesia Hentikan Cari Gali Minyak, Gas Di Laut China Selatan

Agensi berita antarabangsa, Reuters mengatakan Jakarta tidak menghebohkan tentang kewujudan surat diplomat China itu kerana tidak mahu menimbulkan ketegangan diplomatik dengan rakan dagang terbesarnya, China.

0 2,813

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China telah meminta kerajaan Indonesia supaya menghentikan aktiviti cari gali minyak dan gas di kawasan-kawasan perairan di Laut China Selatan dimana kedua-dua negara mendakwa adalah milik mereka.

Menurut pihak-pihak yang mengetahui tentang tindakan China itu telah mendedahkannya kepada agensi berita antarabangsa, Reuters.

Pihak-pihak terbabit yang mengetahui perkara itu mendakwa ia adalah kali pertama kerajaan China bertindak sedemikian, yang telah meningkatkan lagi ketegangan diplomatik di antara kedua-dua negara berkenaan isu Laut China Selatan.

Sepucuk surat daripada daripada diplomat China kepada pegawai kanan Kementerian Luar Indonesia mahukan Jakarta menghentikan aktiviti mencari gali minyak dan gas itu kerana ia berlaku di kawasan perairan “milik Beijing”, menurut Muhamad Farhan yang merupakan anggota jawatankuasa keselamatan di Parlimen negara itu.

“Reaksi balas kami terhadap surat (daripada China) itu adalah jelas dan tegas bahawa kami tidak menghentikan aktiviti cari gali minyak dan gas itu kerana ia adalah hak dan kedaulatan kami,” kata beliau kepada Reuters.

Surat China

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia pula berkata sebarang bentuk komunikasi diplomatic antara kedua-dua negara adalah rahsia dan kandungannya tidak boleh dikongsi.

Kedutaan China di Jakarta juga enggan memberi sebarang maklumbalas terhadap dakwaan itu.

Tiga lagi orang yang menerima penerangan keselamatan mengesahkan kewujudan surat daripada diplomat China yang mahukan Jakarta menghentikan aktiviti cari galinya di kawasan perairan di Laut Natuna.

Sejak beberapa bulan lepas, kapal-kapal pengawal pantai China dan kapal penyelidiknya telah menganggu aktiviti cari gali minyak dan gas yang dilakukan oleh kapal pelantar “Clyde Boudreaux” milik syarikat Noble di Laut Natuna.

Indonesia turut menghantar kapal-kapal perangnya dan pengawal pantainya untuk memantau kehadiran kapal-kapal China itu.

Dalam surat itu, diplomat China itu berulang kali meminta Indonesia supaya menghentikan tindakan cari gali minyak itu.

Natuna

Kawasan perairan tersebut jelas terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.

Bagaimanapun China mendakwa perairan itu termasuk di dalam kawasan perairan miliknya di bawah peta “Nine Dash Line” yang tidak diakui oleh masyarakat antarabangsa.

Menurut Farhan lagi, surat daripada diplomat China itu adalah satu ugutan kerana ia adalah kali pertama Beijing cuba memaksa agenda Nine Dash Line itu bertentangan dengan hak Indonesia di bawah United Nations Convention On The Law of The Sea (UNCLOS).

Menurut Farhan, kerajaan Indonesia mendiamkan diri tentang kewujudan surat itu kerana tidak mahu wujudnya ketegangan diplomatik dengan China yang merupakan rakan dagangan terbesar negara Asia Tenggara itu.

Kapal China

China juga merupakan pelabur kedua terbesar Indonesia.

Selain itu Farhan juga mengatakan diplomat China membantah latihan tentera darat antara Indonesia dan Amerika Syarikat dipanggil “Garuda Shield” yang melibatkan seramai 4,500 anggota tentera kedua-dua negara Ogos lepas.

Dalam surat itu,diplomat China melahirkan kebimbangan bahawa latihan kedua-dua negara itu akan menjejaskan kestabilan di kawasan terbabit.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...