Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bilangan Pesawat Kombat Britain “Terlalu Kecil”, Bakal Dimusnah Russia Sekiranya Perang Tercetus

Tentera Udara Britain atau Royal Air Force (RAF) dilapor hanya memiliki 169 buah pesawat kombat pada ketika ini dan ia adalah bilangan terkecil selepas Peperangan Dunia Kedua berikutan pemotongan peruntukan pertahanan oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah Britain.

0 8,579

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laporan Parlimen Britain membuat kesimpulan bahawa tentera udara negara itu memiliki bilangan pesawat kombat yang “terlalu kecil” menyebabkan ia tidak mempunyai sebarang peluang jika peperangan tercetus dengan Russia.

Tentera Udara Britain (Royal Air Force – RAF) berdepan dengan “kemusnahan total” sekiranya berdepan dengan Tentera Udara Russia.

Laporan Parlimen itu menyatakan bahawa bilangan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan F-35 milik RAF adalah terlalu kecil untuk berhadapan dengan pesawat-pesawat kombat Tentera Udara Russia yang dianggarkan berjumlah 1,500 buah.Britain

RAF dilaporkan hanya memiliki 169 buah pesawat kombat dan bilangan itu adalah yang terkecil selepas Peperangan Dunia Kedua akibat pemotongan peruntukan pertahanan oleh kerajaan-kerajaan yang memerintah Britain.

Pada 1990, Britain dilapor memiliki sebanyak 463 pesawat kombat.

Menurut laporan oleh Parlimen Britain itu lagi, pada ketika ini Britain memiliki bilangan pesawat kombat paling rendah jika dibandingkan dengan kuasa-kuasa benua Eropah yang lain seperti Jerman dan Perancis.

Pada ketika ini, Perancis memiliki sejumlah 231 buah pesawat kombat, Jerman 214 buah pesawat kombat manakala Itali sejumlah 199 buah pesawat kombat.

“Dalam peperangan dengan Russia, setiap pesawat kombat itu adalah penting. Perancangan pertahanan oleh Britain akan menyebabkan lompong keupayaan pertahanan yang akan berterusan sehingga tahun 2030.”

“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Kementerian Pertahanan dan RAF perlu mengambil tindakan yang segera untuk meningkatkan bilangan pesawat-pesawat kombat mereka,” menurut laporan Parlimen Britain itu.

Britain
Pesawat F-35 milik RAF

 

Walaupun berhadapan dengan bilangan pesawat kombat yang kritikal, Britain tetap bercadang untuk menamatkan khidmat kira-kira 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon pada 2025, iaitu lima tahun lebih awal daripada sepatutnya daripada bertindak menaiktarafnya.

Anggota-anggota Parlimen Britain telah mengkritik Kementerian Pertahanan negara itu atas tindakan mereka untuk menamatkan khidmat pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

RAF dan Kementerian Pertahanan Britain dikritik kerana bertindak perlahan dalam meningkatkan bilangan pesawat termodennya iaitu, F-35.

Pada ketika ini, RAF hanya memiliki sejumlah 31 buah pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin dan akan meningkat kepada 48 buah pada 2025.

Pada akhirnya, RAF dijangka akan hanya memiliki 74 buah pesawat pejuang F-35 berbanding 138 buah sebagaimana yang dirancang pada awalnya, disebabkan pemotongan belanjawan pertahanan oleh kerajaan negara itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...