(VIDEO) Israel Terpaksa Guna Semula Belon Pemantau Selepas “Meron” Teruk Dibedil Hezbollah
(VIDEO)“Tindakan Israel secara tergesa-tergesa menerbangkan semula ‘Sky Dew’ semalam selepas setahun tidak beroperasi membuktikan keupayaan pemantauan dan perisikan tentera Yahudi di utara negara itu telah terjejas dengan teruk selepas pangkalan tentera Meron di puncak Gunung Jarmak itu dibedil oleh Hezbollah,” menurut seorang pemerhati.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Israel terpaksa menerbangkan semula belon pemantau altitud tinggi untuk tugas-tugas pemantauan ruang udara di utara negara itu, sehari selepas pangkalan tentera Meron miliknya di puncak Gunung Jarmak rosak teruk dibedil oleh roket dan peluru berpandu pejuang Hezbollah.
Kali terakhir Israel menerbangkan belon pemantau altitud tinggi dinamakan “Sky Dew” yang berfungsi mengesan penerbangan dron, peluru berpandu dan pesawat di utara negara itu pada 2022, sebelum ditamatkan perkhidmatannya.
“Tindakan Israel secara tergesa-tergesa menerbangkan semula ‘Sky Dew’ semalam selepas setahun tidak beroperasi membuktikan keupayaan pemantauan dan perisikan tentera Yahudi di utara negara itu telah terjejas dengan teruk selepas pangkalan tentera Meron di puncak Gunung Jarmak itu dibedil oleh Hezbollah,” menurut seorang pemerhati.
Terletak hanya 8km daripada sempadan Lubnan, pengkalan tentera Meron milik tentera Israel yang dibedil dengan sekurang-kurangnya 62 buah roket oleh pejuang Hezbollah semalam, berfungsi sebagai pusat pemantauan dan pengurusan ruang udara di Lubnan, Syria, Turkiye, Cyprus serta sebahagian daripada perairan Laut Mediterranean.
Pangkalan Meron Tentera Israel itu merupakan satu-satunya kemudahan tentera Israel untuk menguruskan operasi udara sama ada menggunakan pesawat-pesawat pejuang mahupun dron terhadap negara-negara terbabit.
“Kehilangan” pangkalan tentera Meron itu bakal menjejaskan keseluruhan operasi tentera Israel terhadap Lubnan dan Syria.
Bagaimanapun, media-media Israel enggan mengulas lanjut mengenai serangan Hezbollah terhadap pangkalan tentera Meron itu.
Selain itu, pangkalan tentera Meron yang terletak di puncak tertinggi di utara Palestin itu juga adalah pusat utama kepada kemampuan peperangan elektronik Israel di terhadap negara-negara itu dan dioperasikan oleh pegawai dan tentera elit negara Yahudi.
Dalam satu laporan oleh kumpulan pengkaji berpengkalan di Texas, Amerika Syarikat beberapa bulan lepas mendedahkan masalah untuk mengesan lokasi penerbangan pesawat awam di rantau itu terutamanya di selatan Lubnan dan utara wilayah diduduki Palestin.
Selepas kajian lebih teliti dilakukan oleh kumpulan pengkaji itu, mereka mendapati pangkalan tentera Meron sebagai punca kepada segala gangguan terhadap alatan Global Postioning System (GPS) yang menyebabkan usaha mengesan lokasi penerbangan awam itu sukar dilakukan.
Tindakan Hezbollah mensasarkan pangkalan tentera Meron itu memiliki kepentingan strategik kerana ia telah menganggu dan membataskan kemampuan tentera Israel untuk melaksanakan operasi tentera negara itu di Lubnan dan negara-negara sekitarnya.
Dalam kejadian semalam, pejuang Hezbollah melancarkan lebih daripada 60 bedilan roket dan peluru berpandu terhadap pangkalan tentera Meron yang terletak di puncak Gunung Jarmak di utara Palestin, yang merupakan antara pangkalan tentera Israel yang paling penting.
Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.
Serangan roket itu terhadap kemudahan penting tentera Israel itu bermula 8 pagi waktu tempatan dan berlangsung selama beberapa jam.
Pemerhati menyifatkan serangan roket oleh Hezbollah terhadap pangkalan tentera Meron yang amat penting kepada keupayaan keseluruhan tentera Yahudi itu sebagai “amat serius” dan merupakan satu lagi peningkatan tahap konflik bersenjata antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan oleh Hezbollah, pangkalan tentera Meron di utara Palestin yang ditakluk Israel terletak di puncak Gunung Jarmak, yang merupakan gunung tertinggi di Palestin. Ia terletak kira-kira 1,200 meter daripada aras laut.
Pangkalan tentera Meron itu dioperasikan oleh Batallion ke-11 506 Tentera Udara Israel.
“Pangkalan tentera Meron milik Israel itu adalah satu-satunya pusat pengurusan, pemantauan dan kawalan udara di utara dan pihak tentera Israel tidak mempunyai alternatif,” kata kumpulan bersenjata itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel itu adalah satu daripada dua pangkalan tentera yang mengurus, memantau dan mengawal operasi udara di Syria dan Lubnan.
Satu lagi pangkalan yang berfungsi seperti Meron adalah pangkalan Mitzpe Ramon yang terletak di selatan yang mengurus operasi udara di bahagian selatan negara haram itu.
“Serangan roket terhadap pangkalan tentera Meron itu adalah sebahagian daripada respons terhadap jenayah Israel membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri dan komander tenteranya di Beirut beberapa hari lepas, “ kata kumpulan itu. — DSA
CLICK FOR DEFENCE SECURITY ASIA APPS