Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Rancang Misi Sabotaj Infra Tenaga Di Laut Utara — Perisikan Belanda

Agensi-agensi perisikan Belanda dalam satu laporan bersama baru-baru ini berkata infrastruktur tenaga yang kritikal seperti kabel internet, paip gas dan kemudahan kincir angin di Laut Utara kini menjadi sasaran kepada aktiviti sabotaj oleh pihak Russia.

0 1,118

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia didakwa sedang merancang untuk melakukan sabotaj terhadap infratrukturtur tenaga kritikal milik Belanda yang terletak di Laut Utara (North Sea), berkemungkinan untuk membalas dendam terhadap apa yang berlaku pada paip gas Nord Stream yang diletupkan beberapa bulan lepas.

Menurut agensi perisikan Belanda, MIVD, sejak beberapa bulan kebelakangan ini Russia telah cuba memperolehi maklumat perisikan dengan tujuan untuk melaksanakan misi sabotaj di Laut Utara.

Ketua MIVD Jeneral Jan Swillens berkata pihaknya telah mengesan kehadiran sebuah kapal Russia di Laut Utara ketika ia cuba memeta kedudukan infrastruktur tenaga milik Belanda di perairan terbabit.

Menurut beliau, kapal Russia itu telah diarah keluar daripada Laut Utara oleh kapal-kapal marin dan pengawal pantai Belanda sebelum ia sempat melaksanakan apa-apa misi sabotaj.  

“Apa yang kita dapat lihat dalam beberapa bulan ini adalah pihak-pihak Russia cuba merisik tentang bagaimana sistem tenaga berfungsi di Laut Utara. Ini adalah kali pertama kali melihat mereka berbuat demikian.”

Sabotaj

“Russia memeta bagaimana infrastruktur tenaga angin kami berfungsi. Mereka akan berminat tentang bagaimana mereka boleh mensabotaj infrastruktur tenaga,” kata beliau.

Agensi-agensi perisikan Belanda dalam satu laporan bersama berkata infrastruktur tenaga yang kritikal seperti kabel internet, paip gas dan kemudahan kincir angin telah menjadi sasaran kepada aktiviti sabotaj Russia.

“Russia secara rahsia sedang memeta infrastruktur-infrastruktur ini dan melakukan aktiviti yang menunjukkan ia sedang bersedia untuk melakukan gangguan dan sabotaj,” menurut agensi terbabit.

Sementara itu Belanda juga berkata bahawa ia akan “menghalau” beberapa diplomat Russia daripada negara itu, pada ketika ia terus mendakwa Moscow membawa masuk perisik-perisik di bawah samaran anggota diplomatik kedutaan negara itu.

Belanda juga telah mengarahkan Russia untuk menutup misi perdagangannya di Amsterdam, selain mengancam untuk menutup konsulat negara itu di St.Petersburg.

Nord Stream
Letupan paip gas Nord Stream pada Sept lepas.

 

Baru-baru ini, wartawan terkenal, Seymour Hersh yang berpengalaman membuat beberapa pendedahan kontroversial sebelum ini mendakwa bahawa Amerika Syarikat bertanggungjawab merancang dan melaksanakan misi sabotaj meletupkan paip gas Nord Stream pada 26 September tahun lepas,

Menurut Hersh, beliau telah dimaklumkan oleh sumber-sumber yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang pembabitan Amerika Syarikat dalam misi sabotaj paip gas Nord Stream itu.

“Pada bulan Jun lepas, juruselam tentera laut Amerika Syarikat yang beroperasi di dibawah latihan musim panas NATO dipanggil BALTOPS 22, telah meletakkan bahan letupan di paip gas Nord Stream dan meletupkannya tiga bulan selepas itu, memusnahkan tiga daripada empat paip gas yang menyalurkan gas Russia kepada Eropah,” kata beliau.

Beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan misi sabotaj telah diambil oleh Presiden Amerika Syarikat Jo Biden.

Nord Stream

Menurutnya, Biden dan pasukan dasar luarnya termasuk Penasihat Keselamatan Kebangsaan Jake Sullivan, Setiausaha Negara Tony Blinken dan beberapa pegawai kanan lain membantah kewujudan paip gas Nord Stream.

Mereka melihat paip gas Nord Stream yang membekalkan gas-gas asli Russia pada harga yang murah kepada Eropah, sekaligus meningkatkan pengaruh Moscow di Eropah.

Latihan tentera BALTOPS 22 digunakan sebagai samaran bagi membolehkan juruselam tentera Amerika Syarikat untuk memasang bahan letupan C4 di paip gas asli Nord Stream, sebelum diletupkan beberapa bulan selepas itu menggunakan signal sonar. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...