Azerbaijan Tambah Pembelian Pesawat Pejuang JF-17 Block III Dari 16 kepada 40 Buah ??
Jika spekulasi yang bertiup kencang itu adalah benar maka ia adalah sesuatu perkembangan yang membanggakan terutamanya kepada industri pertahanan Pakistan yang berjaya membangunkan pesawat pejuang (dengan kerjasama China) yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, spekulasi sedang bertiup kencang mendakwa bahawa Azerbaijan telah meningkatkan pembelian pesawat pejuang ringan JF-17 “Thunder” buatan Pakistan dan China daripada 16 buah kepada 40 buah dianggarkan bernilai US$4.2 billion (RM18.48 billion).
Pesawat-pesawat pejuang ringan dikatakan dibeli oleh negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu adalah daripada varian terkini pesawat itu, JF-17 Block III.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada lagi pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Azerbaijan mahupun Pakistan dan China berkenaan spekulasi bertiup kencang menyatakan terhadap penambahan pembelian pesawat pejuang JF-17 daripada negara Caspian itu.
Namun, jika spekulasi yang bertiup kencang itu adalah benar maka ia adalah sesuatu perkembangan yang membanggakan terutamanya kepada industri pertahanan Pakistan yang berjaya membangunkan pesawat pejuang (dengan kerjasama China) yang dapat menembusi pasaran antarabangsa.
Pada konflik Pakistan-India baru-baru ini, sebuah pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan berjaya menembak jatuh MIG-29 UPG milik Tentera Udara India menggunakan peluru berpandu PL-15 yang mempunyai jarak bedilan sejauh 300km.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan juga Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIG).
Ia adalah pencapaian yang membanggakan kepada kepada Pakistan, memandangkan India yang turut membangunkan pesawat pejuang buatan tempatannya iaitu Tejas masih gagal menjual walau sebuah pesawat pejuang Tejas itu kepada negara asing.

India juga cuba menjual pesawat pejuang Tejas kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun sebagaimana yang kita tahu, pihak Kementerian Pertahanan dan TUDM telah memilih 18 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) daripada Korea Selatan.
Pembelian 40 buah pesawat pejuang JF-17 Block III itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Pakistan sebagai pengeksport utama dalam industri pertahanan, tetapi juga memberikan lonjakan ekonomi yang signifikan kepada PAC di Kamra.
PAC, yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan penyelenggaraan pesawat JF-17, dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor aeroangkasa tempatan.
Tahun lepas, Azerbaijan secara rasminya menyatakan bahawa ia adalah negara terbaru menggunakan pesawat pejuang JF-17 Block III yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan dan China.
Azerbaijan membeli 16 buah pesawat pejuang JF-17 Block III bernilai US$1.6 billion (RM7.04 billion).
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 Block III itu telah diserahkan kepada Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev yang juga merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera negara itu dalam satu majlis di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev tahun lepas.
“Pesawat-pesawat pejuang itu (JF-17 Block III) telah pun diintergrasikan ke dalam Tentera Udara Azerbaijan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat presiden negara itu.

Pejabat Presiden Azerbaijan itu turut mengeluarkan gambar-gambar penyerahan pesawat pejuang JF-17 Block III kepada Tentera Udara Azerbaijan di lapangan terbang antarabangsa tersebut.
Presiden Azerbaijan itu turut dilihat duduk di dalam kokpit pesawat pejuang itu dan memeriksa peralatan dan komponennya.
Pesawat-pesawat JF-17 Block III yang diperolehi oleh Azerbaijan itu akan menggantikan pesawat pejuang MiG-29 buata Russia yang kini digunakan oleh tentera udara negara itu.
Secara geo-strategik, perolehan pesawat JF-17 Block III yang dibangunkan oleh Pakistan dan China itu merupakan kejayaan bagi Beijing dan Islamabad dalam menembusi pasaran senjata di rantau Asia Tengah yang sebelum ini didominasi oleh syarikat-syarikat senjata Russia.
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block III itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block II adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.

Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Radar AESA KLJ-7A yang digunakan pada pesawat JF-17 Block III merupakan salah satu komponen utama yang mengangkat pesawat ini ke tahap generasi 4.5, menjadikannya jauh lebih berkemampuan berbanding varian sebelumnya.
Radar KLJ-7A merupakan radar AESA generasi baharu, yang jauh lebih canggih berbanding radar MSA (Mechanical Scanned Array) seperti yang digunakan pada JF-17 Block I dan II.
Berbanding radar konvensional yang menggunakan antena bergerak, AESA menggunakan ribuan modul kecil (T/R modules) yang boleh mengubah arah pancaran secara elektronik tanpa pergerakan mekanikal, memberikan respons yang jauh lebih pantas dan tepat.
KLJ-7A mampu mengesan sasaran udara bersaiz pesawat pejuang (RCS kecil) pada jarak dianggarkan antara 170–200 km, satu peningkatan ketara berbanding radar terdahulu.
Ini membolehkan JF-17 Block III mengesan dan menjejak sasaran dari jarak lebih jauh — kritikal dalam pertempuran Beyond Visual Range (BVR).
Radar ini berupaya menjejak sehingga 15 hingga 20 sasaran secara serentak, dan mengunci (engage) sehingga 4–6 sasaran pada satu masa untuk serangan peluru berpandu BVR seperti PL-15.
Ini memberi kelebihan kepada juruterbang dalam pertempuran udara pelbagai sasaran, termasuk misi superioriti udara kompleks.
KLJ-7A dilengkapi sistem penentangan gangguan elektronik (ECCM) canggih untuk melawan jamming dan spoofing musuh, meningkatkan kebolehpercayaan radar dalam persekitaran peperangan elektronik intensif.
Radar ini juga mampu beroperasi dalam “Low Probability of Intercept” (LPI) mode, menyukarkan pengesanan oleh radar musuh.

Selain pengesanan udara, KLJ-7A juga menyokong Synthetic Aperture Radar (SAR) dan Ground Moving Target Indicator (GMTI), membolehkan ia digunakan untuk misi serangan darat dan pengintipan dalam semua cuaca, siang atau malam.
Ini meningkatkan keupayaan pelbagai peranan (multirole) JF-17 Block III secara signifikan.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.

Bagaimanapun laporan media pada September tahun lepas menyatakan bahawa pesawat pejuang JF-17 “Thunder” Block III milik Tentera Udara Azerbaijan dilaporkan akan dilengkapkan dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara , Gokdogan BVRAAM dan Bozdogan WVRAAM keluaran industri pertahanan Turkiye.
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III itu juga akan dilengkapi dengan sistem avionik buatan syarikat-syarikat pertahanan Turkiye.
Pemilihan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye bagi digunakan oleh pesawat pejuang JF-17 Block III Tentera Udara Azerbaijan merupakan pengiktirafan terhadap kemampuan industri pertahanan negara Mediterranean itu.
Turkiye dan Azerbaijan yang mempunyai kerjasama pertahanan yang erat.
Kedua-dua peluru berpandu udara-ke-udara buatan Turkiye yang bakal melengkapi pesawat pejuang JF-17 Block III itu adalah Gokdogan BVRAAM dan juga Bozdogan WVRAAM yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara Mediterranean itu, Tubitak Sage.
— DEFENCE SECURITY ASIA