[VIDEO] ATM Terima Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal KARAOK Dari Turkiye April–Mei Ini, Lonjakan Besar Keupayaan Anti-Armor TDM

Penghantaran sistem KARAOK buatan Turkiye menandakan fasa baharu pemodenan keupayaan infantri Tentera Darat Malaysia dalam menghadapi ancaman perisai moden.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka menerima penghantaran sistem peluru berpandu anti-kereta kebal KARAOK buatan Turkiye di antara April dan Mei tahun ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha pemodenan keupayaan anti-armor Tentera Darat Malaysia (TDM).

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ketech Asia Ameer Hafeez dalam satu sesi temu bual Defence Security Asia baru-baru ini.

“Kita masih mengikut tempoh kontrak, dan dalam tahun ini, kita memang perlu membuat penghantaran, dan setakat ini semuanya berjalan mengikut timeline.”

“Kita jangka kumpulan pertama (sistem peluru berpandu anti-kereta kebal KARAOK) itu akan dihantar pada April atau Mei (ke Malaysia) kerana kita telah selesai menjalankan FAT (Final Acceptance Test), dan itulah puncanya kenapa tarikh penghantaran berada dalam tempoh tersebut,” jelas beliau.

ATM akan menerima sebanyak 18 pelancar bersama 18 unit peluru berpandu KARAOK, dengan tambahan satu peluru berpandu ditawarkan sebagai nilai tambah oleh pihak pembekal.

“Betul, 18 pelancar dan 18 peluru, dan kita juga tawarkan satu misil tambahan sebagai value add,” katanya sambil menambah bahawa end-user kepada sistem berkeupayaan ini adalah anggota infantry.

Beliau turut mengesahkan bahawa sistem peluru berpandu anti-kereta kebal KARAOK ini akan dipadankan dengan kenderaan pembawa senjata yang telah diperoleh secara berasingan menerusi perolehan terdahulu.

“Kenderaan pembawa senjata itu telah diaward lebih awal dan kini sudah berada di kem serta unit yang bersesuaian, dan sebaik sistem KARAOK diterima, ia akan diedarkan mengikut jumlah kenderaan tersebut,” jelasnya.

Mengulas aspek latihan, Amer menyatakan bahawa sehingga 20 pegawai dan anggota ATM bakal menjalani latihan pengendalian sistem itu, sama ada di Turki atau di dalam negara.

“Kita tawarkan sehingga 20 pegawai dan anggota untuk latihan, dan selain latihan di Turki, kita juga akan laksanakan latihan tempatan (di kemudahan ATM), berkemungkinan di PULADA, termasuk latihan bilik darjah,” katanya.

Latihan tersebut dilaksanakan dengan sokongan penuh pengeluar asal sistem peluru berpandu anti-kereta KARAOK iaitu Roketsan, yang menurut beliau adalah amat terbuka untuk melatih lebih ramai anggota Malaysia.

“Roketsan sebagai OEM memang bersetuju dan mereka gembira jika lebih ramai anggota dihantar untuk latihan, kerana itu lebih baik dari segi pemindahan kemahiran,” katanya.

Dari sudut pemeriksaan dan ujian teknikal, beliau turutmenjelaskan bahawa Pre-Delivery Inspection (PDI) telah dilaksanakan di Turkiye merangkumi pemeriksaan visual dan fizikal, manakala ujian tembakan sebenar dilakukan sebagai sebahagian daripada FAT di lokasi yang ditetapkan.

Menariknya, Malaysia juga menjadi destinasi eksport pertama sistem KARAOK, sekali gus meletakkan negara ini sebagai pengguna awal peluru berpandu anti-kereta kebal generasi baharu buatan Turkiye itu.

KARAOK
KARAOK

“Ya, Malaysia ialah export destination pertama untuk KARAOK, dan walaupun jumlah 18 unit ini kecil berbanding keperluan Turkish Army, kita memang push supaya penghantaran (ke Malaysia) dapat dibuat secepat mungkin,” katanya.

“So kita try to push as fast as possible (penghantaran kepada Malaysia).”

Walaupun perolehan ini disifatkan sebagai kumpulan pertama, Ketech menjelaskan bahawa sebarang pembelian susulan bergantung sepenuhnya kepada keperluan operasi dan peruntukan bajet pada masa hadapan.

“Buat masa ini kita fokus kepada 18 unit ini dahulu, dan untuk batch seterusnya, ia bergantung kepada keperluan serta bajet,” katanya.

Dengan kemasukan sistem KAROK ini, Tentera Darat Malaysia dijangka memperoleh peningkatan signifikan dalam keupayaan sistem anti-kereta kebal moden yang lebih mudah alih, fleksibel dan sesuai untuk operasi infantri moden dalam persekitaran medan tempur kontemporari.

Kementerian Pertahanan menandatangani perjanjian perolehan dengan Roketsan bagi perolehan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal KARAOK pada 2023.

Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “KARAOK” dibangunkan oleh Roketsan itu adalah berkaliber 125mm dan mampu membedil sasaran di antara jarak di antara 2.5km hingga 4km.

Ia juga dilengkapi dengan sistem panduan Imaging Infrared Seeker serta peledak armor piercing tandem warhead.

Selain mod “fire and forget” (tembak dan lupakan), peluru berpandu anti-kereta kebal “KARAOK” juga adalah sistem yang berkemampuan membedil secara langsung (direct) serta “top attack” (bahagian atas) kereta kebal yang dketahui memiliki ketahanan armor yang rendah.

Kaedah “top attack” itu memastikan “KARAOK” berkemampuan memusnahkan hampir kesemua kereta kebal utama yang beroperasi pada ketika ini.

Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “KARAOK” juga dikenali sebagai peluru berpandu yang mempunyai kemampuan yang hampir sama dengan peluru berpandu FGM-148 “Javelin”.

Ketech
Pengurus Pembangunan Perniagaan, Ketech Asia Ameer Hafeez

Berat keseluruhan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “KARAOK” itu adalah sekitar 16kg.

Komponen bagi sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana “KARAOK” itu terdiri daripada Command Launch Unit (CLU) yang boleh dipakai berulang-kali sama seperti sistem Javelin dan peluru berpandunya.

Malaysia merupakan negara eksport pertama yang memilih sistem peluru berpandu anti-kereta  “KARAOK” keluaran Roketsan daripada Turkiye untuk angkatan tenteranya.

“KARAOK” akan menggantikan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana “Metis-M” (AT-13 Saxhorn) buatan Russia yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia sejak 20 tahun lalu.

Dalam temuramah dengan Defence Security Asia Ketika DSA 2024, Pengurus Serantau bagi Asia Tengah dan Timur Jauh Roketsan, Chumur Murat Boz yang  berkata dengan penghantaran “KARAOK” pada 2026 itu akan menjadikan Malaysia negara luar Turkiye yang pertama menggunakan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak sederhana keluaran syarikat itu.

Pada ketika ini, sistem peluru berpandu jarak sederhana “KARAOK” itu turut digunakan oleh tentera Turkiye.

“Terdapat permintaan besar untuk sistem antikereta kebal mudah alih dan pertahanan udara di seluruh dunia. Malaysia akan menjadi penghantaran pertama kami untuk KARAOK.

“Tahun lepas kami (2023) menandatangani kontrak dan mengikut kontrak itu, ia akan dihantar pada awal 2026. Kami tidak melihat ATM sebagai pelanggan tetapi sebagai rakan strategik kami…kami ingin menambah nilai serta menyumbang kepada keselamatan dan kedaulatan Malaysia serta angkatan tenteranya,” katanya.

Roketsan menurut beliau akan menyediakan program latihan intensif kepada anggota ATM sebelum penghantaran KARAOK.

“Kami juga akan menyediakan latihan untuk jurulatih supaya mereka dapat melatih jurulatih seterusnya,” katanya sambil menambah ia akan dijalankan secara simulator dan latihan dunia sebenar.

Roketsan memulakan pembangunan sistem peluru berpandu berpandu anti-kereta kebal KARAOK pada tahun 2016 sebelum memperkenalkannya secara rasmi kepada komuniti pertahanan antarabangsa semasa pameran pertahanan IDEF di Istanbul pada tahun 2019.

Sistem tersebut mencapai pencapaian teknikal penting pada tahun 2020 apabila berjaya melaksanakan ujian tembakan berpandu pertamanya, sekali gus mengesahkan keberkesanan penderia, sistem panduan dan konsep penglibatan sasaran dalam persekitaran operasi sebenar.

Selepas melengkapkan fasa pembangunan dan pensijilan, KARAOK secara rasmi dimasukkan ke dalam inventori Angkatan Tentera Turkiye pada tahun 2022, menandakan peralihannya daripada program pembangunan kepada keupayaan anti-perisai infantri yang beroperasi sepenuhnya.

Tentera Turkiye seterusnya telah membuat pesanan sebanyak 300 sistem KARAOK, mencerminkan hasrat Ankara untuk melengkapkan formasi infantrinya dengan sistem anti-kereta kebal buatan tempatan yang ringan, berkonsep “fire-and-forget” dan dioptimumkan untuk persekitaran pertempuran jarak dekat moden.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave a Reply