ATM Mula Terima 60 Buah Dari 136 Buah Kenderaan Perisai HMAV 4×4 Tarantula Bermula 2027

Kenderaan perisai HMAV 4x4 Tarantula merupakan kenderaan perisai buatan tempatan yang dibangunkan Mildef dan direka bagi memenuhi keperluan operasi darat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bermula pada tahun 2027, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima sebanyak 60 daripada keseluruhan 136 kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV 4×4) Tarantula yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).

Pengarah Urusan Mildef Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata penghantaran itu, akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi beberapa fasa selama tempoh lima tahun.

“Kita menyasarkan penghantaran pertama pada 2027, dengan tahun pertama dikhususkan untuk menyiapkan Final User Vehicle (FUV) atau Sealed Pattern sebagai model rujukan sebelum pengeluaran penuh dimulakan.

“Kami menyasarkan penghantaran awal ini melibatkan sekitar 30 unit pada awal tahun 2027, manakala 30 unit lagi pada hujung tahun sama sebagai fasa pertama penghantaran,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Ibu Pejabat Mildef Technologies baru-baru ini.

Mohd Nizam menegaskan proses itu penting untuk memastikan reka bentuk, keupayaan dan perlindungan balistik Tarantula menepati keperluan operasi Tentera Darat.

Tarantula
HMAV 4×4 Tarantula

Kenderaan perisai HMAV 4×4 Tarantula merupakan kenderaan perisai buatan tempatan yang dibangunkan Mildef dan direka bagi memenuhi keperluan operasi darat serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan ATM.

Kementerian Pertahanan sebelum ini telah menandatangani surat hasrat (LOI) bernilai RM1.8 bilion kepada Mildef, bagi perolehan 136 unit Tarantula yang bakal menjadi aset terbaru Tentera Darat Malaysia.

Bekalan sejumlah 136 kenderaan HMAV 4×4 Tarantula kepada ATM dan Tentera Darat itu adalah untuk melengkapkan dua rejimen, 3 Armor dan 4 Armor, menurut sumber industri.

Kesemua 136 kenderaan HMAV Taratula 4×4 itu terdiri daripada di antara di antara tiga hingga empat variant seperti Armoured Personnel Carrier (APC), Armoured Combat Vehicle (ACV), Armoured Recovery Vehicle (ARV) dan ambulan.

Mengenai weapon platform “Tarantula” itu, ia bergantung kepada variannya serta kehendak pelanggan.

Tarantula
Kenderaan keluaran Mildef Technologies

Kenderaan perisai buatan syarikat tempatan itu boleh dilengkapi dengan Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm, Anti-Tank Guided Weapon (ATGW), Multiple Grenade Launcher (MGL) dan lain-lain sebagaimana dikehendaki oleh pelanggan.

“Tarantula” dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga yang paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi tersebut.

Kenderaan perisai itu dilengkapi dengan perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi krew di dalam kenderaan tersebut.

Nisbah kuasa dan berat untuk MILDEF HMAV4x4 adalah 24 kuasa kuda/tan. Ia memberikan pelepasan ruang bawah yang luas untuk kenderaan ini agar dapat melepasi pelbagai halangan dengan mudah.

Menurut laporan sebelum ini, kenderaan HMAV 4×4 “Tarantula” seberat 14 tan itu dihasilkan MILDEF dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan yang menelan belanja RM16 juta.

Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris dari Caterpillar, Tarantula mampu beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.

Kenderaan itu juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan semasa persidangan Dewan Rakyat berkata kenderaan HMAV) 4×4 Tarantula memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh pihak Tentera Darat Malaysia.

Menurut Mohamed Khaled lagi, kenderaan HMAV 4×4 “Tarantula”  telah melalui beberapa proses uji nilai bagi menepati kehendak dan keperluan Operasi Tentera Darat Malaysia.

“Proses penilaian telah dilaksanakan oleh pasukan yang dilantik dari Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bersama-sama Tentera Darat yang meliputi ujian seperti berikut: a) Uji Nilai Keupayaan Kenderaan dalam persekitaran pengoperasian muka bumi Malaysia pada awal tahun 2021.”

“b) Penilaian keupayaan syarikat pada Februari 2023; c) Ujian Balastik Tembakan (ballistic test) dilaksanakan di The Defence Technology Institute, Bangkok, Thailand pada Julai 2023; dan Ujian Balastik Letupan (Mine/Underbelly Test) dilaksanakan di Council for Scientific and Industrial Research, Pretoria, Afrika Selatan pada Oktober 2023,” kata Menteri Pertahanan.

Sementara itu, syarikat teknologi pertahanan terkemuka Turkiye, ASELSAN dalam satu kenyataan baru-baru ini terus memperkukuh kedudukannya di rantau Asia-Pasifik menerusi satu lagi pencapaian penting dalam projek strategik Tentera Darat Malaysia — projek pembangunan kenderaan berperisai TARANTULA.

Melalui kerjasama strategik dengan Mildef International Technologies, ASELSAN akan membekalkan sistem senjata, sistem kawalan dan perintah (C2), komunikasi taktikal, serta sistem elektro-optik canggih untuk platform TARANTULA 4×4, kenderaan berperisai tahan periuk api buatan tempatan.

Kenderaan TARANTULA yang dibangunkan secara bersama oleh MILDEF, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Angkatan Tentera Malaysia, baru-baru ini telah melepasi satu pemeriksaan teknikal utama sebelum fasa Penilaian Konsep (“Proof of Concept”).

Perkongsian di antara Mildef dan ASELSAN itu telah dimeterai secara rasmi menerusi perjanjian kerjasama semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 — satu platform utama untuk memeterai kerjasama strategik pertahanan serantau dan global.

Langkah ini menggambarkan komitmen jangka panjang ASELSAN terhadap pengembangan pasaran antarabangsa berpaksikan eksport, serta pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan industri tempatan di negara-negara rakan strategik seperti Malaysia.

Sistem yang dibekalkan oleh ASELSAN dijangka akan meningkatkan keupayaan operasi platform TARANTULA dan menyokong matlamat pemodenan menyeluruh Tentera Darat Malaysia.

Menurut kenyataan rasmi, integrasi sistem senjata dan sensor elektro-optik terkini akan menjadikan TARANTULA sebuah kenderaan tempur bersepadu yang mampu beroperasi dalam persekitaran peperangan moden yang kompleks dan dinamik.

 Sementara itu, di dalam temuramah yang sama dengan Bernama itu, Mohd Nizam turut mendedahkan Mildef merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang sedang berusaha untuk memenangi tender daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), bagi perolehan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama negara, Ribat.

“Keputusan untuk penganugerahan perolehan kenderaan perisai itu dijangka akan diumumkan sebelum Oktober ini. UN memerlukan sebanyak 50 unit kenderaan HMLTV dan kapasiti pengeluaran kilang Mildef berupaya menghasilkan sebanyak 60 unit dalam setahun,” katanya.

Mohd Nizam berkata Ribat merupakan kereta perisai yang melambangkan kegigihan syarikat tempatan dalam mencipta aset pertahanan, yang selama ini dianggap hanya mampu dibangunkan oleh negara maju.

“Ribat itu sendiri membawa maksud semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman dan diilhamkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Perdana Menteri dijadual merasmikan fasiliti pengeluaran baru Mildef iaitu kilang pembuatan kereta perisai nasional di Sendayan, Negeri Sembilan, Sabtu ini.

 

Leave a Reply