Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Tayang Senjata Negara Barat Ditawannya Dari Ukraine Pada Army Forum 2023

Selain menayangkan sistem persenjataan yang dihasilkan oleh industri pertahanannya, pihak Kementerian Pertahanan Russia turut menggunakan pameran Army Forum 2023 yang popular itu untuk memperlihatkan beberapa senjata-senjata Barat yang berjaya ditawan oleh anggota tenteranya daripada medan peperangan di Ukraine.

0 5,776

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pameran Army Forum 2023 yang berlangsung di Patriot Park di Moscow bermula daripada 14 hingga 20 Ogos ini,  pihak Russia bukan sahaja telah menayangkan pelbagai jenis sistem persenjataan yang dihasilkan oleh industri pertahanannya .

Selain menayangkan sistem persenjataan yang dihasilkan oleh industri pertahanannya, pihak Kementerian Pertahanan Russia turut menggunakan pameran yang popular itu untuk memperlihatkan beberapa senjata-senjata Barat yang berjaya ditawannya oleh anggota tenteranya daripada medan peperangan di Ukraine.

“Pameran senjata-senjata yang berjaya ditawan daripada tentera Ukraine termasuk yang dibekalkan oleh negara-negara Barat telah dibuka di Patriot Park di Moscow sebagai sebahagian daripada pameran Army Forum,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Army Forum
Kenderaan IFV CV-90 buatan syarikat BAE Land System pada pameran Army Forum di Moscow.
Army Forum
Bushmaster MRAP

 

Tindakan Russia menayangkan senjata-senjata Barat yang berjaya ditawan anggota tenteranya di Ukraine pada pameran pertahanan di Moscow itu telah menerima kecaman beberapa pihak di Ukraine serta oleh media-media di Jerman.

Antara sistem persenjataan buatan Amerika Syarikat yang ditayangkan pada pameran Army Forum 2023 itu adalah sistem Lightweight Howitzer M777A2 155mm yang digunakan oleh tentera Ukraine tetapi berjaya ditawan oleh tentera Russia.

Menurut laporan, pihak tentera Russia memburu dan menawan meriam itu selepas anggota tentera Ukraine berundur daripada Lysychansk di Luhansk ketika mereka berundur daripada bandar itu pada tahun lepas.

Selain meriam 155mm buatan Amerika Syarikat itu, pihak Kementerian Russia turut menayangkan kenderaan Infantry Fighting Vehicle (IFV) CV-90 buatan syarikat BAE Land Systems yang juga berjaya ditawan oleh tentera Russia dari tentera Ukraine yang mengoperasikannya.

Syarikat BAE Land Systems mengambarkan kenderaan IFV CV-90 yang dilengkapi dengan meriam 40mm itu sebagai di antara IFV terbaik di dunia.

Army Forum
AMX-10RC buatan Perancis yang ditawan oleh tentera Russia.

Army Forum

Menurut Russia, kenderaan IFV CV-90 itu gagal beroperasi selepas ditembak oleh anggota tentera Russia bersenjatakan RPG-7 yang disifatkan sebagai senjata “yang mudah dan murah” dan telah digunakan sejak tahun 1960-an.

Selain itu, pihak penganjur Army Forum di Moscow itu turut menayangkan kenderaan perisai M113 buatan Amerika Syarikat dan kenderaan MRAP (Mine-Resistant Ambush Protected) Bushmaster yang dibekalkan oleh kerajaan Australia.

Terdapat beberapa kenderaan perisai/MRAP buatan negara Barat lain yang ditayangkan pada pameran itu termasuklah AT-105 Saxon, Husky dan Mastiff, serta kenderaan perisai BTR dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Ukraine.

Turut ditayangkan pada pameran di Moscow itu adalah kenderaan kombat AMX-10RC yang dibekalkan oleh Perancis kepada Ukraine.

Kerajaan Perancis dipercayai telah membekalkan lebih daripada 10 buah kenderaan kombat AMX-10RC milik untuk digunakan oleh tentera Ukraine dalam serangan balas musim bunga yang dilancarkan baru-baru ini.

Army Forum

Army Forum

Kenderaan IFV AMX-10RC seberat 20 tan dan beroda itu turut dilengkapi dengan meriam 105mm, digunakan untuk memburu kereta-kereta kebal musuh.

Bagaimanapun seorang komander tentera Ukraine menyatakan bahawa kenderaan AMX-10RC sumbangan Perancis yang kadangkala turut dipanggil kereta kebal ringan – tidak sesuai untuk beraksi di barisan hadapan di Ukraine kerana armornya yang terlalu nipis.

Menurutnya, kenderaan AMX-10RC tidak sesuai untuk operasi serangan di barisan hadapan kerana armornya yang nipis dan keadaan itu telahpun mengorbankan empat anggota tentera Ukraine.

Selain itu, pameran Army Forum 2023 anjuran Kementerian Pertahanan Russia turut menayangkan pelbagai sistem peluru berpandu dan roket anti-kereta kebal buatan negara Barat yang digunakan oleh tentera Ukraine.

Army Forum
Dron Bayraktar TB2

 

Sebuah dron Bayraktar TB2 milik Ukraine yang diperolehinya daripada Turkiye turut menjadi bahan pameran pada Army Forum 2023 itu.

Dron itu masih di dalam keadaan baik, menimbulkan persoalan sama ada dron itu berjaya “ditembak jatuh” menggunakan kepakaran peperangan elektronik Russia. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...