Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Armenia, Azerbaijan Guna Tentera Upahan?

0 709

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kedua-dua pihak, Azerbaijan dan Armenia yang sedang bertelagah di Nagorno Karabakh didakwa menghantar ratusan tentera upahan daripada negara-negara Arab ke wilayah rebutan di selatan Kaukasus itu.

Armenia mendakwa Baku menghantar ratusan pejuang Syria daripada kumpulan pro-Turki untuk berjuang bersama-sama tentera Azerbaijan di Nagorno Karabakh.

Kementerian Pertahanan negara itu mendakwa mempunyai bukti menunjukkan Turki telah menerbangkan ratusan tentera upahan (mercenaries) Syria ke Nagorno Karabakh, sebagaimana dilakukannya dalam konflik di Libya.

Akhbar The Guardian daripada Britain mendedahkan tiga daripada pejuang Syria yang pro-Turki itu telah terbunuh dalam pertempuran di Nagorno Karabakh.

Tentera Upahan
Turki didakwa menghantar ratusan tentera upahan terdiri daripada pejuang pro-Turki di Syria. (kredit internet)

Terdapat dakwaan mengatakan pejuang-pejuang Syria itu memakai pakaian seragam tentera Azerbaijan sebagai samaran untuk mengelak kehadiran mereka di Nagorno Karabakh itu dikesan oleh pemerhati dan tentera Armenia.

Tindakan Turki itu dibimbangi bakal menyebabkan konflik di Nagorno Karabakh menjadi lebih hangat dan mengundang campurtangan Russia.

Sebagaimana di Nagorno Karabakh, Turki turut mengirim pejuang Syria ke Libya.

Di dalam konflik di Libya, Ankara yang menyokong pihak Government of National Accord (GNA) telah menghantar ratusan pejuang Syria yang pro-Turki untuk berjuang menentang pejuang-pejuang pimpinan Jeneral Khalifa Haftar.

Tentera Upahan
Armenia juga didakwa menghantar pejuang-pejuang Kurdish untuk berjuang bersama tenteranya di Nagorno Karabakh. (kredit internet)

Turki berbuat demikian selepas Russia yang menyokong tentera Haftar bertindak menghantar ratusan anggota PMC (Private Military Contractor) Wagner ke Libya untuk berjuang di negara Afrika Utara yang kaya dengan minyak itu.

Kini dalam konflik di Nagorno Karabakh, Turki yang merupakan pendokong kuat Azerbaijan, turut telah bertindak menghantar pejuang Syria ke selatan Kaukasus.

Tindakan Ankara itu bakal meningkatkan lagi ketegangan dengan Moscow yang diketahui menyebelahi Armenia dalam konflik di Nagorno Karabakh.

Sementara itu Kementerian Luar Azerbaijan mendakwa Armenia turut menghantar ratusan pejuang daripada sebuah negara yang tidak didedahkannya ke Nagorno Karabakh.

Walaupun tidak didedahkan, terdapat dakwaan ia merujuk kepada pejuang-pejuang YPG, PKK dan kumpulan-kumpulan Kurdish yang lain.

Turki menganggap YPG dan PKK sebagai kumpulan pengganas.

Meriam
Konflik di Nagorno Karabakh sehingga kini telah mengorbankan ratusan nyawa di antara kedua-dua pihak. (kredit internet)

Ia berkata tindakan itu bertujuan menduduki secara haram wilayah Nagorno Karabakh dan menjadi sukarelawan tentera Armenia di wilayah rebutan itu.

Kenyataan oleh Kementerian Luar Azerbaijan itu dibuat sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Kementerian Luar Russia bahawa kehadiran pejuang-pejuang luar akan mengugat kestabilan di wilayah itu secara jangka panjang.

Ia juga akan mendedahkan wilayah itu dengan masalah keselamatan untuk semua negara di rantau itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...