Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apa Status Cadangan Bina MAWILLA 4 Di Bintulu, Sarawak?

Bagaimanapun ramai tertanya tentang status terkini berkenaan cadangan untuk membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sarawak, dengan Bintulu disebut-sebut sebagai lokasi pilihan untuk menempatkan markas laut itu.

0 5,595

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembinaan pangkalan udara “bare bone base” TUDM di Bintulu, Sarawak, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ini.

Sudah semestinya tugas utama pangkalan udara di Bintulu itu adalah untuk memastikan perairan negara di Laut China Selatan itu tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak, memandangkan jarak antara Bintulu dan perairan strategik itu adalah “sejengkal” sahaja.

Daripada pangkalan udara di Bintulu (apabila beroperasi kelak), pesawat-pesawat pejuang atau peronda maritim TUDM boleh dilancarkan dengan pantas untuk memantau apa-apa percubaan untuk menceroboh perairan negara di negeri Sarawak yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Walaupun pengumuman pembinaan pangkalan udara TUDM di Bintulu itu disambut dengan baik, tetapi ramai juga tertanya tentang status terkini berkenaan cadangan untuk membina Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sarawak, dengan Bintulu disebut-sebut sebagai lokasi pilihan untuk menempatkan markas laut itu.

Dalam pembentangan RMK12 itu semalam, Perdana Menteri mahupun Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak menyentuh tentang status pembinaan MAWILLA 4 itu, walaupun sebelum ini terdapat laporan mengatakan ia akan dibina dalam RMK12.

West Capella
Sebuah kapal LCS Amerika Syarikat belayar berhampiran dengan kapal ultra deepwater drillship, West Capella tahun lepas.

 

Sudah semestinya, kehadiran MAWILLA 4 di Bintulu akan memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara terutamanya di Sarawak, memberi jaminan keselamatan kepada nelayan-nelayan serta aset-aset negara dalam bentuk pelantar-pelantar minyak dan gas serta pekerjanya.

Pada Mei 2016, Hishammuddin dilaporkan berkata bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang mengkaji untuk menggunakan Pelabuhan Bintulu sebagai pusat dimana ia meletakkan aset-asetnya untuk mengawal perairan di Sarawak.

Perbincangan menurutnya, sudah dijalankan dengan pihak pengurusan Pelabuhan Bintulu serta Pihak Berkuasa Pembangunan Bintulu.

Sudah hampir lima tahun sejak kenyataan itu dibuat, tetapi sehingga hari ini masih tiada apa-apa pergerakan di bawah.

Kombinasi antara pangkalan udara TUDM dan pangkalan laut TLDM di Bintulu sudah pasti akan memperkuatkan lagi kawalan di sekitar perairan Sarawak terutamanya di Beting Patinggi Ali, James Shoal yang kerap menerima kunjungan daripada kapal-kapal pengawal pantai China.

Bintulu
Kedudukan Bintulu

 

Pangkalan udara “bare bone base” TUDM di Bintulu itu juga boleh menjadi lokasi penempatan yang sesuai untuk radar-radar jarak jauh TUDM, sama ada yang bakal diperolehinya daripada Amerika Syarikat atau yang dibelinya menerusi proses tender.

Pada Jun lepas, Pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Strategik dan Pusat Pertahanan dan Kajian Keselamatan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dr Tharishini Krishnan dalam satu kolum khas di New Straits Times berkata,  terdapat keperluan yang amat mendesak untuk menubuhkan dengan segera MAWILLA 4 yang bertanggungjawab terhadap perairan Sarawak dan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Pada ketika ini, tanggungjawab menjaga perairan Sarawak dan ZEE-nya adalah dibawah tanggungjawab Markas Pemerintahan Armada Timur.

“Dengan pembinaan MAWILLA 4,  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh meningkatkan kesiapsiagaannya untuk menjaga kepentingan maritime negara di Laut China Selatan, dengan focus kepada Beting Patinggi Ali (BPA), yang sering dicerobohi oleh China.”

““Pencerobohan pesawat tentera China baru-baru ini membuktikan cabaran yang dihadapi oleh TLDM,” kata beliau.

Penubuhan MAWILLA 4 itu akan dapat membantu mengurangkan masalah lojistik daripada Sabah untuk menjaga perairan Sarawak.

Beliau berkata, kewujudan MAWILLA 4 juga boleh membantu usaha-usaha pembangunan ekonomi.

“Kawasan-kawasan geologi Sarawak di West Baram Delta, Balingian, Central Luconia, Tinjar, Tatau, West Luconia dan North Luconia memiliki khazanah perikanan dan sumber hidrokarbon,” kata beliau sambil menambah sumber minyak dan gas adalah banyak di kawasan itu.

Oleh kerana itulah katanya, projek pembinaan MAWILLA 4 perlu bermula dengan segera.

“Markas itu akan mengukuhkan lagi kedudukan kita di Laut China Selatan, memberikan jaminan keselamatan kepada komuniti maritim setempat dan memberikan kesan ekonomi yang positif kepada Bintulu di dalam jangkamasa yang panjang,” kata Dr Tharishini lagi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...