Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apa Sebenarnya Berlaku Dalam Kapal Selam “361” China Pada April 2003? Misteri…

Pemeriksaan lanjut terhadap kapal selam itu lebih memeranjatkan, kerana mereka menemui jasad 70 krew berada di dalam kapal selam diesel/elektrik itu termasuk seorang pegawai kanan tentera laut negara itu dikenali dengan nama Komodor Chen Fuming.

0 2,427

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 25 April 2003, sekumpulan nelayan China terjumpa periskop di tengah-tengah lautan dan melaporkannya kepada pihak tentera negara itu yang kemudiannya menghantar dua buah kapal perangnya untuk memeriksa periskop kapal selam itu.

Pada mulanya, Tentera Laut China menyangka periskop itu milik kapal selam musuh, sama ada daripada Korea Selatan atau Jepun.

Bagaimanapun, mereka terperanjat apabila mendapati periskop itu milik kapal selam milik mereka sendiri iaitu kapal selam kelas-Ming nombor “361.”

Kapal selam kelas-Ming ini adalah kapal selam yang berteknologi lama yang direkabentuk berdasarkan daripada rekabentuk kapal selam kelas-Romeo Russia.

Pemeriksaan lanjut terhadap kapal selam itu lebih memeranjatkan, kerana mereka menemui jasad 70 krew berada di dalam kapal selam diesel/elektrik itu termasuk seorang pegawai kanan tentera laut negara itu dikenali dengan nama Komodor Chen Fuming.

Kapal selam
Kapal selam kelas-Ming China

 

Ia adalah antara insiden terbesar membabitkan tentera China pada waktu aman, tetapi maklumat terperinci mengenai kejadian itu masih tidak diketahui memandangkan negara itu “amat berahsia” tentang apa yang berlaku di dalam angkatan tenteranya terutama yang melibatkan insiden-insiden kemalangan.

Diberitakan, selain membawa krew biasanya, kapal selam itu turut membawa 13 pelatih daripada akademi tentera laut China.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar China, ketika kapal selam itu menjalani latihan di perairan Pulau Changshan di Laut Kuning, kapal selam “361” itu telah mengalami masalah mekanikal sehingga menyebabkan ia kehilangan kuasanya.

Apa yang diketahui adalah, ketika kejadian, kapal selam yang malang itu sedang melaksanakan latihan anti-kapal selam yang berbahaya di kawasan perairan berhampiran Pulau Changshan di Laut Kuning di antara Korea Utara dengan Wilayah Shandong di China.

Dikatakan ia sedang melaksanakan latihan dipanggil “silent running” yang membawa maksud operasi halimunan bagi kapal selam.

Kapal Selam

Objektif utama latihan “silent running” itu adalah untuk mengelak pengesanan oleh passive sonar dengan menghapuskan sebarang bunyi seperti menutup alatan tidak penting manakala krew dikehendaki berehat dan elak daripada menghasilkan sebarang bunyi.

Kelajuan kapal selam itu diperlahankan kepada minimum untuk mengurangkan bunyi kipas kapal selam.

Selama 10 hari, kapal selam “361” itu tidak membuat sebarang perhubungan radio dengan Tentera Laut China menyebabkan pihak berkuasa bahawa kapal selam terbabit sedang berhadapan dengan situasi “hidup atau mati” akibat masalah teknikal yang dihadapinya.

Satu lagi teori yang menjelaskan punca kemalangan menimpa kapal selam “361” mengatakan bahawa kapal selam itu mengalami kebocoran menyebabkan air laut telah bercampur dengan asid bateri yang kemudiannya menghasilkan gas klorin sehingga meracun krew-krew kapal selam malang itu.

Dalam inkuiri yang dijalankan selepas kemalangan itu, seramai 5 orang pegawai kanan Tentera Laut China telah dibuang kerja.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...