Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apa Akan Jadi Pada Rakyat Afghanistan Yang Bekerja Dengan Tentera Amerika Selepas Ini?

Sebagaimana yang kita tahu, sepanjang tentera Amerika Syarikat berada di Afghanistan selama 20 tahun mereka menggunakan rakyat negara itu antaranya sebagai penterjemah, pemberi maklumat, perisik tempatan, pekerja kemanusiaan dan pelbagai tugas lain yang merbahaya.

0 1,620

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apa akan jadi kepada ribuan rakyat Afghanistan yang bekerja dengan tentera Amerika Syarikat sejurus selepas Washington menarik keluar tenteranya daripada negara Asia Selatan itu.

Sebagaimana yang kita tahu, sepanjang tentera Amerika Syarikat berada di Afghanistan selama 20 tahun mereka menggunakan rakyat negara itu antaranya sebagai penterjemah, pemberi maklumat, perisik tempatan, pekerja kemanusiaan dan pelbagai tugas lain yang merbahaya.

Kini apabila Amerika Syarikat bersedia untuk meningggalkan Afghanistan, terdapat kebimbangan akan keselamatan rakyat negara itu yang pernah bertugas dengan tentera negara kuasa besar itu terutamanya kemungkinan balas dendam oleh Taliban.

Menurut beberapa media Amerika Syarikat, pentadbiran Presiden Jo Biden difahamkan sedang berunding dengan beberapa negara Asia Tengah seperti Kazakhstan, Tajikistan dan Uzbekistan untuk menempatkan pekerja warga Afghanistan di negara-negara itu buat sementara waktu.

Menurut media terbabit, kerajaan Amerika Syarikat mahu ketiga-tiga negara itu memberi perlindungan terhadap kira-kira 9,000 warga Afghanistan yang pernah bertugas dengan tenteranya.

Kongres Amerika Syarikat pula menyediakan 26,000 permit khas imigran kepada warga Afghanistan yang pernah bertugas dengan tentera Amerika Syarikat.

Persoalan tentang nasib ribuan rakyat Afghanistan yang pernah bekerja dengan tentera Amerika itu semakin kerap dibincangkan apatah lagi apabila Washington telah secara rasmi menyerahkan Pangkalan Udara Bagram kepada kerajaan di Kabul malam semalam, secara simbolik menandakan pengundurannya daripada negara Asia Selatan itu.

Penyerahan Pangkalan Udara Bagram kepada Afghanistan telah disahkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu, Fawad Aman.

Menurut seorang rakyat Afghan yang bekerja dengan pertubuhan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat dikenali dengan nama “Amin Rahimi” mahukan proses pemindahan mereka ke negara ketiga dipercepatkan.

“Kita mahukan dipindahkan ke negara ketiga dengan cepat kerana keadaan keselamatan di Afghanistan yang semakin buruk,” katanya kepada media Bloomberg sambil menambah, bahawa negara-negara ketiga itu jauh lebih selamat daripada Afghanistan.

Sejak beberapa minggu ini, Taliban telah berjaya merampas kembali kira-kira 50 daripada 400 daerah di Afghanistan.

Hari ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken menemui Menteri Luar Uzbekistan dan Menteri Luar Tajikistan di Washington dan dipercayai perbincangan mereka turut menyentuh tentang usaha negara itu untuk memindahkan pekerja Afghanistan ke negara-negara ketiga.

Selain itu, Amerika Syarikat juga menjalin kerjasama dengan Uzbekistan dan Tajikistan dengan menjadikan negara-negara itu sebagai pangkalan untuk Washington melancarkan tugas-tugas pemantauan dan perisikan terhadap Afghanistan selepas pengundurannya daripada negara itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...