(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Shadow War” antara Israel dan Iran berterusan, dengan laporan terkini media-media tempatan Arab mendakwa sebuah kapal komersial milik Iran telah diserang ketika sedang berlabuh di Pelabuhan Latakia di Syria.
Kebakaran besar dan asap tebal menyelubungi pelabuhan terbabit berpunca daripada letupan dan kebakaran yang melanda kapal komersial didakwa dimiliki oleh Iran itu.
Media-media tempatan berbahasa Arab dan pertubuhan hak asasi manusia, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) mengesahkan bahawa kapal terbabit adalah milik Iran dan serangan itu telah menyebabkan kerosakan yang teruk terhadap kapal itu.
Media rasmi Syria pula berkata kebakaran di atas kapal itu telah berjaya dikawal dan mereka yang tercedera telah dibawa ke hospital.
Ia bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang punca kejadian letupan dan kebakaran kapal itu.
Sekiranya benar kapal yang terbakar di Pelabuhan Latakia itu adalah milik Iran, maka saspek utama pelaku sudah semestinya Israel yang mungkin mahu membalas atas apa yang berlaku terhadap kapal tangki “Mercer Street” di perairan Oman minggu lepas.
Dalam kejadian yang berlaku terhadap kapal tangki “Mercer Street” itu, seorang rakyat British dan seorang rakyat Romania terbunuh.
Pihak-pihak Israel, British dan Amerika Syarikat mendakwa Iran bertanggungjawab terhadap serangan kapal tangki yang dioperasikan oleh syarikat miliki bilionair Israel, Eyal Ofer itu.
Mereka mendakwa Iran menerusi proksinya iaitu militan Houthi di Yemen telah melancarkan dron dilengkapi bahan letupan terhadap kapal “Mercer Street” semasa ia sedang belayar daripada Tanzania ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebelum ini, beberapa buah kapal milik Iran dan Israel telah diserang oleh pihak-pihak yang tidak dikenali.