(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pertempuran-pertempuran kecil antara tentera Azerbaijan dan tentera Armenia terus berlaku di beberapa lokasi di sempadan kedua-dua negara, menyebabkan kemalangan jiwa dikalangan anggota tentera masing-masing.
Kementerian Pertahanan Azerbaijan mengesahkan insiden pertempuran antara tentera kedua-dua negara di wilayah Kelbajar.
“Unit-unit tentera Azerbaijan telah melepaskan tembakan bagi membalas serangan oleh anggota tentera Armenia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu hari ini.
Ia berkata pada 23 Julai, seorang anggota tenteranya dikenali dengan nama Yagubli Farman Telman berpangkat pegawai waran telah syahid selepas terkena tembakan daripada unit penembak tepat tentera Armenia di Kalbajar yang terletak di sempadan kedua-dua negara itu.
Ia menambah, situasi di sempadan kedua-dua negara masih stabil dan tentera Azerbaijan masih lagi mampu mengawal keadaan tetapi memberi amaran kepada tentera Armenia supaya menghentikan tindakan-tindakan bersifat provokasi.
Kementerian Pertahanan Azerbaijan berkata ia akan bertindak balas terhadap tindakan provokasi tentera Armenia di sempadan kedua-dua negara itu.
Semalam mahkamah di Azerbaijan telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada 13 orang anggota tentera Armenia atas dakwaan memasuki negara itu secara haram.
Sementara itu Kementerian Pertahanan negara itu menafikan dakwaan pihak tentera Armenia bahawa pihak lawan telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat tanpa pemandu (UAV) milik tentera Azerbaijan di perkampungan Arazdeyen di negara itu.
Ia berkata dakwaan itu adalah sebahagian daripada kempen penyelewengan maklumat oleh pihak Armenia.
Sejak kebelakangan ini, anggota tentera Azerbaijan dan Armenia saling berbalas tembak di beberapa lokasi di sempadan kedua-dua negara, beberapa bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian gencatan senjata bagi mengakhiri konflik Nagorno-Karabakh.
Perjanjian gencatan senjata antara Baku dan Yerevan yang di-broker oleh Russia itu telah ditandatangani pada November tahun lepas, menyusuli pertempuran sengit selama 6 bulan antara kedua-dua pihak di Nagorno Karabakh.
Wilayah bergolak itu adalah milik Azerbaijan tetapi diduduki secara haram oleh tentera dan militia Armenia.
Perjanjian gencatan senjata itu memberi kebenaran kepada tentera Azerbaijan untuk terus menduduki kawasan-kawasan yang berjaya ditakluknya iaitu lebih daripada separuh wilayah Nagorno Karabakh.
Secara dasarnya, gencatan senjata itu dilihat ramai pihak sebagai mengesahkan kemenangan tentera Azerbaijan, manakala dikalangan rakyat Armenia, gencatan itu adalah suatu bentuk kekalahan memalukan negara mereka.
Tentera Russia pula diberikan peranan sebagai tentera pengaman di wilayah Nagorno Karabakh.