Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) JF-17 Pakistan Guna Peluru Berpandu Hypersonik CM-400AKG Musnahkan S-400 India

Dalam satu video yang dikeluarkan oleh pihak Pakistan semalam, ia menunjukkan sebuah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China dilengkapi dengan dua buah peluru berpandu hypersonik CM-400AKG berlepas daripada pangkalannya untuk misi memusnahkan sistem S-400 India itu.

0 2,523
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Pakistan dilapor menggunakan peluru berpandu hypersonik CM-400AKG buatan China dalam dalam misi memusnahkan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia milik India beberapa hari lalu.
Dalam satu video yang dikeluarkan oleh pihak Pakistan semalam, ia menunjukkan sebuah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkan oleh Pakistan dan China dilengkapi dengan dua buah peluru berpandu hypersonik CM-400AKG berlepas daripada pangkalannya untuk misi memusnahkan sistem S-400 India itu.
Penyebaran video itu sekaligus mengesahkan pemilikan peluru berpandu hypersonik oleh Angkatan Tentera Pakistan, yang sebelum ini menjadi tanda tanya dikalangan penganalisis pertahanan serantau.
Pesawat pejuang JF-17 “Thunder” dibangunkan secara bersama di antara Pakistan Aeronautic Corporation (PAC) dan syarikat Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada China.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Tentera Pakistan mendakwa ia telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara canggih S-400 milik India dalam satu serangan udara yang dilancarkan di Adampur, daerah Jalandhar, Punjab, India.
Menurut Inter-Services Public Relations (ISPR), sayap media tentera Pakistan, serangan itu dilaksanakan menggunakan peluru berpandu hypersonik yang dilancarkan daripada pesawat pejuang JF-17 “Thunder”.
Tambah kenyataan itu, peluru berpandu berpanduan tepat yang digunakan telah berjaya meneutralkan sepenuhnya sistem pertahanan udara S-400 yang terkenal dengan keupayaannya mengesan dan menembak sasaran dari jarak jauh.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sistem S-400 “Triumf” itu merupakan antara sistem peluru berpandu darat ke udara paling canggih yang dimiliki oleh India.
India mula menerima sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia pada Disember 2021, selepas menandatangani kontrak pembelian bernilai AS$5.43 bilion (kira-kira RM25 bilion) dengan Russia pada Oktober 2018 semasa lawatan Presiden Vladimir Putin ke New Delhi.
Sistem S-400 pertama India dilaporkan ditempatkan di Adampur atau kawasan berhampiran Jalandhar, Punjab, yang bersempadan dengan Pakistan.
Lokasi ini membolehkan India mengawasi dan mempertahankan ruang udara barat terhadap ancaman dari Pakistan.
Selain itu, India juga dipercayai menempatkan sistem S-400 di kawasan strategik ini untuk mengekang kemungkinan ancaman dari China di sempadan timur laut, khususnya sekitar Doklam dan Arunachal Pradesh.
Beberapa laporan menunjukkan bahawa India merancang menempatkan sistem S-400 di lokasi-lokasi strategik lain termasuk berhampiran New Delhi, dan satu lagi mungkin diarahkan ke kawasan selatan untuk pertahanan menyeluruh.
Pakistan
Pesawat pejuang JF-17 Pakistan bersama peluru berpandu CM-400AKG (warna putih)
S-400
S-400 Triumf
Sementara itu, penganalisis ketenteraan yang dipetik oleh agensi berita China berkata kejayaan menyerang sistem S-400 itu boleh memberi kesan besar terhadap kedudukan pertahanan udara India di rantau ini.
Semalam, kerajaan India menafikan dakwaan oleh tentera Pakistan mengenai kejayaannya memusnahkan sistem pertahanan udara S-400 itu, sambil menyatakan bahawa ia adalah sebahagian daripada kempen maklumat palsu oleh Islamabad.
Pada Februari tahun lepas, Tentera Udara Pakistan (PAF) mendedahkan bahawa ia kini memiliki peluru berpandu hypersonik, yang merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruhnya untuk memodenkan angkatan tenteranya bagi menangani ancaman berterusan “pihak luar.”
Menurut PAF, kemampuan peluru berpandu hypersonik itu adalah untuk mewujudkan angkatan yang “berbisa” dan menyeimbangkan semula dinamik kuasa di rantau Asia Selatan di bawah panglima tentera udaranya Air Chief Marshal Zaheer Ahmed Baber Sidhu.
Pakistan bagaimanapun tidak mendedahkan jenis peluru berpandu hypersonik yang dimilikinya, walaupun pemerhati meramalkan ia berkemungkinan besar dibekalkan oleh pembekal senjata terbesarnya, China.
Peluru berpandu hypersonik CM-400AKG itu boleh terbang selaju Mach 5 menjadikannya peluru berpandu hypersonik atau peluru berpandu dengan kelajuan supersonik yang tinggi.
Pakistan
Peluru berpandu hypersonik CM-400AKG
Dengan berat keseluruhan kira-kira 900kg, peluru berpandu CM-400AKG itu dikatakan adalah peluru berpandu anti-kapal yang memiliki corak penerbangan seperti sebuah peluru berpandu ballistik dan boleh membedil sasaran sejauh 240km.
Peluru berpandu itu menggunakan Inertial Navigation System (INS) sebagai sistem panduannya.
Namun apa yang menarik bagi para pemerhati tentang peluru berpandu CM-400AKG itu adalah corak penerbangannya yang unik seperti peluru berpandu ballistik berbanding seperti peluru berpandu anti-kapal.
Peluru berpandu itu boleh dilancarkan daripada altitud yang tinggi berbanding peluru berpandu anti-kapal yang dilancarkan daripada altitud rendah bagi membolehkan ia mengelak pengesanan oleh radar musuh dan seterusnya ditembak jatuh.
Pakistan dilaporkan telah membeli kira-kira 60 buah peluru berpandu CM-400AKG daripada China dengan harga US$100 juta (RM450 juta) untuk dilengkapkan dengan pesawat-pesawat pejuang JF-17 milik PAF itu.
Pakistan dilaporkan mula memiliki peluru berpandu CM-400AKG, yang diiklankan sebagai peluru berpandu hypersonik, sejak sekitar tahun 2013.
JF-17
(video capture)
Peluru berpandu ini dibangunkan oleh China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC) dan direka khas untuk dilancarkan dari pesawat pejuang JF-17 Thunder, yang dibangunkan hasil kerjasama antara Pakistan dan China.
Spesifikasi dan Keupayaan CM-400AKG
  • Kelajuan: CM-400AKG dikatakan mampu mencapai kelajuan antara Mach 4.5 hingga Mach 5.5, menjadikannya dalam kategori hipersonik menurut pengeluar.
  • Jarak Jangkauan: Antara 100 hingga 240 kilometer, bergantung kepada profil penerbangan dan sasaran.
  • Berat: Sekitar 900 kilogram.
  • Sistem Panduan: Menggunakan gabungan Sistem Navigasi Inersia (INS), Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS), dan pencari pasif radar atau inframerah/TV untuk ketepatan tinggi.
  • Profil Penerbangan: Peluru berpandu ini mengikuti trajektori balistik dari altitud tinggi dan melakukan serangan menegak ke sasaran, menjadikannya sukar dikesan dan dipintas oleh sistem pertahanan udara musuh.
JF-17
(video capture)
Peranan dan Aplikasi
CM-400AKG pada asalnya direka sebagai peluru berpandu anti-kapal, namun ia juga boleh digunakan untuk menyerang sasaran darat berkeutamaan tinggi seperti sistem pertahanan udara, pangkalan udara, dan infrastruktur strategik.
Keupayaan ini memberikan Pakistan kelebihan dalam melaksanakan serangan tepat dari jarak jauh tanpa perlu memasuki ruang udara musuh.
Kontroversi dan Penilaian
Walaupun CM-400AKG dipromosikan sebagai peluru berpandu hypersonik, beberapa penganalisis pertahanan antarabangsa meragui kelajuan sebenar peluru berpandu ini.
Mereka berpendapat bahawa kelajuannya mungkin berada dalam julat supersonik tinggi (Mach 3 hingga Mach 4.9) dan bukan hypersonik sebenar (Mach 5 ke atas).
Namun, profil penerbangan dari altitud tinggi dan serangan menegak ke sasaran tetap menjadikannya ancaman yang sukar dipintas oleh sistem pertahanan udara konvensional.
Kesimpulan
Pemilikan CM-400AKG oleh Pakistan menunjukkan usaha negara tersebut dalam memperkuat keupayaan serangan udara ke permukaan mereka, khususnya dalam menghadapi ancaman dari India.
Walaupun terdapat perdebatan mengenai status hypersonik peluru berpandu ini, keupayaannya untuk menyerang sasaran strategik dari jarak jauh dengan ketepatan tinggi menjadikannya aset penting dalam inventori Angkatan Udara Pakistan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.