(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam merupakan hari kemuncak kepada Eksesais ABABIL 2021 yang berlangsung di Lapang Sasar Udara (LASARUD) Kota Belud, Sabah yang menyaksikan pelbagai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menunjukkan keberkesanan dalam melaksanakan operasi mencabar.
Hari ini ada video pendek hari kemuncak Eksesais ABABIL 2021 di Lasarud, Kota Belud ehsan usaha pemilik akaun FB “MD Fairuz”, yang telah memberi kebenaran untuk berkongsi video milik beliau dengan laman web Defence Security Asia untuk tontonan kita semua. Terima kasih.
Admin juga upload video di channel YouTube “Defence Security Asia.”
Selain itu juga disertakan gambar-gambar lain sekitar Ekesais ABABIL 2021.
Eksesais yang bermula 7 September lalu, disertai oleh 446 anak-anak kapal dan anggota TUDM termasuk daripada Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Semalam telah dilaksanakan demonstrasi Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (ATG) LASARUD, Kota Belud.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang hadir menyaksikan hari kemuncak Eksesais ABABIL itu bersama-sama Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan pegawai-pegawai kanan ATM yang lain.
Eksesais ABABIL bermatlamat menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik TUDM di dalam pelaksanaan operasi udara, untuk menilai tahap kesiagaan (readiness) aset-asetnya dan sistem persenjataan pesawat tempur.
Antara aset-aset TUDM yang terlibat dalam Eksesais ABABIL 2021 termasuklah pesawat tempur F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208; pesawat angkut Hercules C130H; pesawat maritim Beechcraft B200T dan helikopter EC 725 AP.
Eksesais ABABIL 2021 merangkumi latihan Tembakan Misil Udara ke Udara (Air to Air Missile Firing – AAMF), Tembakan Misil Udara ke Permukaan (Air to Surface Missile Firing – ASMF) dan Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (Air to Ground – ATG).
“Demonstrasi penembakan udara ke permukaan bumi (ATG) pada hari ini telah menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat penembakan ke sasaran yang dikenalpasti.
“Penembakan kesemua aset-aset persenjataan ini yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiagaan warga dan aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara.