(VIDEO) Aksi Bersahaja AVM Aurangzeb Ahmed Lonjak Dirinya Sebagai Hero Dimata Rakyat Pakistan

Walaupun dicemuh oleh pengguna media sosial India, namun bagi penduduk Pakistan yang menonton aksi beliau pada sidang media harian tentera Pakistan itu, Aurangzeb adalah hero kepada mereka.
(VIDEO) Aksi Bersahaja AVM Aurangzeb Ahmed Lonjak Dirinya Sebagai Hero Dimata Rakyat Pakistan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Aksi bersahaja Ketua Pengarah Perhubungan Awam Tentera Udara Pakistan (PAF) Air Vice Marshal Aurangzeb Ahmed pada sidang media harian angkatan tentera negara itu ketika memberikan taklimat terkini tentang apa yang berlaku di perbatasan konflik Pakistan-India telah melonjakan secara tidak langsung diri beliau kepada seorang “hero” kepada penduduk negara Asia Selatan itu.
Walaupun dicemuh oleh pengguna media sosial dan media-media tradisional India , namun bagi penduduk Pakistan yang menonton aksi pegawai kanan Tentera Udara Pakistan itu pada sidang media harian tentera negara itu, Aurangzeb adalah wira kepada mereka.
Aksi bersahaja beliau tetapi penuh dengan maklumat terperinci tentang apa yang berlaku di medan konflik Pakistan-India itu amat mengujakan penduduk Pakistan dan menanam keyakinan terhadap pencapaian angkatan tentera mereka ketika berhadapan dengan India.
Dalam sekelip mata, Aurangzeb menjadi tumpuan seluruh Pakistan selepas Islamabad bertindak tegas terhadap pencerobohan India.
Gaya keyakinannya, kepetahan berkata-kata dan kenyataan berani dalam sidang media menjadikan beliau sebagai wira negara, dengan media sosial dibanjiri pujian dan meme yang mengangkat “aura” serta kepimpinan yang ditonjolkannya.
Sebagai contoh ketika Aurangzeb memberikan jawapan ketika ditanya oleh wartawan tentang pendapatnya berkenaan pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India, terutamanya selepas tiga buah daripadanya ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan.
“Ia bukanlah (bermaksud) pesawat pejuang Rafale (milik Tentera Udara India) itu adalah pesawat pejuang yang tidak bagus. Pesawat pejuang Rafale adalah bagus, amat bagus jika dikendalikan dengan baik.”
(It’s not that Rafale is a bad plane,  the Rafale is an equally potent, very potent aircraft….. if employed well.)
Jawapan bersahaja Aurangzeb itu seolah-oleh menidakkan tahap kemahiran yang dimiliki oleh juruterbang pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India semasa mengendalikan pesawat pejuang termoden India itu, sehingga mengakibatkan mereka ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan.
Pihak kepimpinan politik dan ketenteraan India terus menafikan secara terbuka kehilangan enam pesawat pejuang, termasuk tiga buah jet tempur tercanggih negara itu, Dassault Rafale, yang didakwa ditembak jatuh oleh Tentera Udara Pakistan dalam pertempuran udara di ruang udara Asia Selatan baru-baru ini.
Ketika diminta mengulas secara langsung berhubung dakwaan kehilangan beberapa pesawat pejuang, termasuk tiga Rafale buatan Perancis, salah seorang pegawai tertinggi Tentera Udara India, Air Marshal A.K. Bharti hanya memberi kenyataan ringkas yang mengundang pelbagai tafsiran: “Kita berada dalam situasi pertempuran, dan kehilangan adalah sebahagian daripada pertempuran,” tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Bagi ramai penganalisis pertahanan serantau, kenyataan berhati-hati Bharti itu dilihat sebagai satu bentuk pengakuan tidak langsung beberapa pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk Rafale telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Ia adalah suatu pengakuan yang pahit bagi tentera India.
Indian Air Force’s Rafale 
Kenyataan beliau itu sekali gus menguatkan tanggapan bahawa India mungkin mengalami beberapa kehilangan pesawat pejuang dalam masa singkat, meskipun tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di New Delhi.
Satu lagi petikan kenyataan pegawai kanan Tentera Udara Pakistan yang menarik perhatian penonton dan pengguna media sosial negara itu turut membabitkan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India yang ditembak jatuh oleh  Pakistan.
“Saya adalah Timbalan Ketua Staff Operasi Udara Tentera Udara Pakistan, Saya memulakan kembali apa yang saya tinggalkan sejak semalam. PAF (Pakistan Air Force) menentang IAF (Indian Air Force) 6-0.”
(I am the Deputy Chief of Air Staff Operations, I’ll pick up from where I left a day before yesterday. PAF (Pakistan Air Force) versus Indian Air Force (IAF), six-nil (6-0).”
 “Enam-Kosong” sebagaimana yang diperkatakan oleh Aurangzeb itu merujuk kepada enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India yang berjaya ditembak jatuh oleh Pakistan manakala “Kosong” itu pula bermakna tiada pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan yang berjaya ditembak jatuh oleh India.
Pengguna media sosial Pakistan terpegun dengan aksi bersahaja pegawai kanan Tentera Udara Pakistan itu.
Kenyataan “Enam-Kosong” itu telah mencetuskan sensasi di media sosial, dengan tanda pagar seperti #PAF6IAF0 tular dan menjadi trending di seluruh Pakistan.
“Seluruh perbincangan tentang peperangan dan selepasnya kini seolah-olah telah ‘dibayangi’ sepenuhnya oleh aura lelaki bernama Aurangzeb ini,” tulis seorang pengguna X.
Dalam sidang media sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, “Seperti yang anda tahu, Godzilla telah pupus, dan yang ini pun sama,” merujuk kepada sebuah pesawat pejuang India dengan panggilan radio “Godzilla.”
Seorang pengguna X pula menyifatkan kenyataan itu sebagai satu bentuk “troll” terhadap India.
Aurangzeb Ahmed telah ditauliahkan sebagai Juruterbang Tugas Am (GDP) dalam Tentera Udara Pakistan pada tahun 1992, menandakan permulaan kerjaya ketenteraan yang cemerlang.
Dengan pengalaman luas dalam kepimpinan operasi, beliau pernah mengetuai skuadron pesawat pejuang serta sebuah pangkalan udara operasi, membuktikan keupayaan kepimpinan luar biasa dalam situasi pertempuran yang kritikal.

Kepakaran strategiknya menyaksikan beliau memegang jawatan penting seperti Penolong Ketua Staf Udara (Operasi) dan Ketua Pengarah Perang & Strategi, di mana beliau memainkan peranan utama dalam merangka doktrin operasi Tentera Udara Pakistan.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam Seni Ketenteraan dari China dan Sarjana dalam Keselamatan Nasional & Pengajian Perang dari Universiti Pertahanan Nasional (NDU) di Islamabad.
Pengalaman antarabangsa beliau termasuk mengetuai pasukan aeronautik Tentera Udara Pakistan di Arab Saudi, membuktikan kebolehannya beroperasi dalam persekitaran pelbagai negara.
Atas jasa dan sumbangan cemerlangnya kepada negara, beliau telah dianugerahkan Sitara-e-Imtiaz (Militari), salah satu penghormatan ketenteraan tertinggi Pakistan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Aurangzeb AhmedIndiaPakistanRafaleTaklimat
Comments (0)
Add Comment